Sunday, July 6, 2008

DAKWAAN LIWAT : Mufti Perlis minta Anwar, Saiful Bersumpah

Oleh ZIEMAN - 03 Jul, 2008

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini kali kedua berhadapan dengan isu dakwaan meliwat dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya 'mubahalah' (bersumpah).

"Daripada bertengkar tidak tentu arah, saya syorkan mubahalah agar dapat menyelesaikan kekalutan isu liwat ini. Disebabkan isu yang semakin kalut ini, rakyat menjadi celaru," kata beliau dalam Kuliah Hadith lewat malam semalam di Masjid Alwi, Kangar Perlis.
(Rakaman ucapan Mufti Perlis boleh diakses di laman web beliau http://www.drmaza.com/).

Asri menjelaskan: "Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berbohong. Dia kata dia, ada kata orang ni. Ada kata konspirasi, niat jahat sampai rakyat berkelahi dan bertumbuk. Macam-macam cerita kita dengar.

Di sebalik isu berkenaan, Asri berkata, beliau kecewa kerana politik tanah air kini menjurus ke arah tindakan mengaibkan satu sama lain.

"Dalam Islam, pada asalnya tidak boleh buka aib orang, cerita peribadi orang tidak boleh dedah pada orang lain. Tapi dalam politik Malaysia sekarang, main lawan dedah aib. Dua kali lima, lima kali dua. Semua dok pakat bongkar hal orang," katanya lagi.

Tambah Asri, beliau tidak berhasrat membela sesiapa dalam isu liwat tersebut.
"Saya tak nak bela sesiapa. Yang untungnya, surat khabar laku. Asalnya memang perkara peribadi macam ini tidak boleh dedah," katanya.

"Ada orang kata kena kemukakan empat orang saksi. Saya tidak setuju sebab budak (Saiful) ini mendakwa diri dia sendiri (seorang diri), bukan orang lain.

"Pihak yang mendakwa (Saiful) hendaklah mendatangkan bai'nah (bukti). Sila bersumpah pada orang yang dituduh yang dia tidak melakukannya.

"Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya," katanya.

Selepas bersumpah, kata Asri, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut.

"Ini benda peribadi tapi sudah jadi urusan rakyat. Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah," kata Asri.

Kata Asri, politik pada asalnya ialah satu tanggungjawab khilafah yakni memakmurkan dunia dan khalifah yang dilantik mesti menegakkan agama dan menguruskan dunia.

"Tapi sekarang politik sudah jadi lawan tuduh dan lawan dedah. Gelanggang yang kotor. Tokoh Turki Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'," ujar beliau.

Katanya, tokoh agama Rasyid Ridha pula pernah berkata, "Aku berlindung dengan Allah daripada politik dan apa sahaja terbitan politik".

Beliau turut merujuk pertama kali mubahalah dilakukan dalam satu peristiwa pada zaman Nabi apabila puak Kristian di Najran mempertikaikan kebenaran Nabi.

"Nabi telah membawa Hussin, Hassan dan Fatimah dan mencabar puak Kristian di Najran untuk bermubahalah iaitu laknat-melaknati atas nama Tuhan tapi puak Kristian Najran tidak berani...," katanya.

Seperti yang terkandung dalam Ayat 59-61, Surah Ali-Imran di mana antara lain, Allah berfirman,"Kebenaran itu dari Tuhanmu. Jangan kamu termasuk dalam golongan mereka yang ragu. Setelah datang kepada engkau keterangan dan ilmu. Katakanlah pada mereka semua..."

Katanya lagi, ulamak Al Abbas pernah melakukan mubahalah, begitu juga Ibnu Hajar Al-Asqalani (penyusun kitab Bulughul Maram) pernah mencabar pendapat kesesatan ahli sufi Ibnu Arabi dengan mubahalah apabila pertengkaran mereka melarat sampai ke pengetahuan Sultan.

"Ketika itu, Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi bermubahalah di mana dia berkata kalau Ibnu Hajar berada di atas petunjuk Allah, Allah akan laknat aku dan begitu juga jika dia berada di atas kesesatan Allah."

Kata Asri, mubahalah itu dilakukan pada bulan Ramadan. Bila tiba bulan Zulkaedah, bapa saudara Ibnu Arabi buta mata dan mati.
Untuk renungan kita bersama..!!

2 comments:

Anonymous said...

Pak Mufti muda,

Lu suruh Mahathir, Najib, Rosmah, Musa Hassan, Gani Patail, dan yang lain2 bersumpah dahaulu.

Berlaku adil kepada semua yang MULA buat FITNAH siapa bukan kah Mahathir ?

Apa lah lu ini , kalau begini Mufti habis jahanam lah kaum Muslim !

Anonymous said...

Pak Wahab,saya bukanlah org yg layak utk minta mereka2 ini bersumpah. Pada saya sesiapa yg tidak amanah didunia,diakhirat nanti mereka2 ini akan menerima pembalasan masing2,atau akan menerima balanya mungkin didunia ini.Itu tugas Allah SWT.Yg penting sesiapa yg berani buat berani tanggung.Yg sedihnya kita disajikan dgn keaiban org2 melayu juga yg untungnya org lain.Marilah renungkan ini sama2 :

"WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENCUBA JADI TUHAN DENGAN MENGADILI DAN MENGHAKIMI. BAHAWASANYA KAMU MEMANG TAK PUNYA DAYA DAN UPAYA, SERTA KEKUATAN UNTUK MENENTUKAN KEBENARAN YANG SEJATI. BUKANKAH KITA MEMANG TERCIPTA LAKI-LAKI DAN WANITA, SERTA SUKU-SUKU DAN BANGSA-BANGSA YANG PASTI BERBEZA. BUKANKAH KITA MEMANG HARUS SALING MENGENAL DAN MENGHORMATI, BUKAN UNTUK SALING BERCERAI-BERAI DAN BERMUSUH-MUSUHAN!"

"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.."

( Al-Qur'an, Surah Al-Hujurat ( 49 ):6 ).
Wallahualam.