Wednesday, March 17, 2010

MEMAHAMI KEMATIAN

Kematian adalah sesuatu yang setiap manusia yang hidup akan menemui kematian. Kita tidak dapat lari walaupun mempunyai kuasa, wang dan pengaruh serta mempunyai pengawal peribadi yang sentiasa mengawal dari setiap sudut kehidupan. Kematian adalah pasti kepada manusia dan sentiasa mengejar kita dan kita tidak dapat memikirkan bila dan dimana kita akan menemui kematian. Perbezaan hidup dan mati hanyalah setarikan nafas sahaja. Aku masih ingat bagaimana ibu yang amat disayangi telah pergi buat selama-lamanya. Sebelumnya aku sentiasa menemaninya dan mendapat belaian kasihsayang daripada seorang ibu yang menjaga aku daripada kecil hinggalah dewasa. Disaat kematianya aku melihat jenazahnya terbaring kaku, dikafan, disembahyang dan dikebumikan. Kemudian tiba pula giliran satu-satunya abang yang telah pergi buat selama-lamanya walaupun kami sentiasa bergurau dan bermain bersama.

Kadang-kadang amat sukar untuk memahami erti kematian dan mereka yang ada disekeliling kita telah pergi buat selama-lamanya. Walaupun orang yang hadir dalam kehidupan seharian kita tiba-tiba sahaja diambil nyawanya tanpa banyak persoalan. Sehari sebelumnya kita bersama mereka tetapi kini telah tiada buat selama-lamanya.

Aku masih ingat, bagaimana aku menjaga bapak yang dimasukkan ke hospital dan selang beberapa bulan selepas itu dia juga pergi buat selama-lamanya. Beberapa bulan yang lalu, aku juga kehilangan seorang rakan perniagaan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya. Beberapa hari sebelumnya kami duduk semeja dan berbicara mengenai perniagaan kami dan selang beberapa hari aku menerima berita kematiannya.

Minggu yang lalu aku menerima berita kematian seorang rakan Ex-Sappers yang meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang. Baru rasanya aku berjumpa dengan beliau, kini beliau telah tiada. Selang sehari selepas itu, aku juga kehilangan emak mertua yang disayangi. Semalam aku dan isteri bersamanya dan keesokannya beliau telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku mengiringi jenazahnya dari mula hinggalah jenazahnya selamat dikebumikan. Kami amat merasa kehilangannya kerana beliau adalah pengganti ibu aku yang telah meninggal 20 tahun yang lalu dan kini kedua-duanya telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Hanya doa kami yang dapat mengiringi pemergian mereka.

Kematian ada disekeliling kita, setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai cara kematian, melalui suratkhabar, tv, radio dan bermacam-macam cara. Dalam waktu yang singkat ini aku dipaksa untuk memahami bahawa manusia itu bukan yang bergerak kesana kemari tanpa tujuan. Tubuh badan tidak memahami apa-apa hanya roh dan jiwa yang hidup di dalamnya. Tangan, kaki, paru-paru, jantung dan otak, semuanya berhenti bekerja ketika roh pulang ketempat asalnya. Tetapi akal ini memang tidak cukup untuk menjawap semuanya ini, hanya kekuasaan Allah SWT adalah segala-galanya.

Firman Allah swt..

"Dia yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian Dia keluarkan kamu menjadi anak-anak, kemudian kamu sampai dewasa, kemudian kamu menjadi orang tua. Dan diantara kamu ada orang yang diwafatkan sebelum itu dan supaya kamu sampai kepada ajal (waktu) yang ditentukan, mudah-mudahan kamu memikirkannya" ( Surah al-Mukminum ayat 67)

No comments: