Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, "Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?"
"Sebesar biji gandum," jawabnya.
Kemudian, Nabi Sulaiman as memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.
"Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?" tanya Nabi Sulaiman as.
"Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah," jawab si semut. "Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya."
Nabi Sulaiman as, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi Sulaiman as, meskipun sangat baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman as tersimpan sifat terbatas dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat Allah sifat mutlak dan absolut.Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman as, dia tetap manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman as, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman as. Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman as ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman as akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman as tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya.
Oleh yang demikian, bertawakal atau berpasrahlah diri kita hanya kepada Allah SWT dan bukannya kepada manusia. Wallahualam.
Sumber: DarulNu'man
1 comment:
mejasara
ini kes semut lebih makrifat dari manusia macam kita yang sekejap ingat sekejap lupa(lalai).razalicd
Post a Comment