Monday, August 25, 2008

PENGALAMAN TERKANDAS DI LEBUHRAYA PLUS

Pada 20 hb. Ogos 2008 bersamaan hari Rabu yang lalu saya telah menemani anak lelaki saya untuk balik ke Kuala Lumpur setelah beliau menghabiskan cuti semesternya di Perlis. Kami memulakan perjalanan dari Perlis lebihkurang jam 9 pagi melalui lebuhraya K.Perlis – Changlun dan seterusnya melalui Lebuhraya PLUS Bkt Kayu Hitam – Kuala Lumpur. Anak saya memandu kenderaan Perodua Kembara yang digunakannya untuk berulang-alik ke Institiut Perguruan Ilmu Khas di Cheras. Semasa dalam perjalanan saya singgah di Taiping untuk menziarahi bapa saya kerana sudah agak lama saya tidak menemuinya.

Kemudian kami meneruskan perjalanan, dan saya mengambil kesempatan untuk singgah pula dirumah adik saya di Bt.Gajah. Saya juga mengambil kesempatan untuk memeriksa kenderaan disini dan semuanya dalam keadaan baik. Pada jam 6 ptg kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan selepas Perhentian Tapah lebihkurang 10 km ke susur keluar Tg. Malim, kenderaan kami mengalami kerosakan. Lebihkurang 10 minit kami berada disitu beberapa buah trak tunda telah sedia untuk menunda kenderaan kami tetapi bayarannya yang dikenakan agak tinggi. Saya terus menghubungi adik saya di Ipoh dan beliau menasihati saya supaya tidak menggunakan trak tunda tersebut.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah trak peronda PLUS berhenti dan saya meminta bantuan untuk menarik kenderaan kami ke susur keluar Tg Malim. Pemandu yang bertugas En Izam dan En Manoharan membantu kami dan kami selamat tiba di susur keluar Tg Malim lebihkurang jam 9.30 mlm. Kemudian adik saya telah menghantar trak tunda untuk ditarik balik ke worksyop di Bt.Gajah sebuah worsyop kenalan adik saya. Kami tiba di Bt.Gajah lebihkurang jam 2 pagi dan bermalam di rumah adik saya pada malam tersebut. Pada keesokannya kami ke worksyop dan dimaklumkan iaitu kenderaan kami mengalami masalah putus ‘timing belt’ dan bayaran yang dikenakan juga berpatutan. Kenderaan kami memakan masa 2 hari untuk dibaiki kerosakannya. Saya difahamkan, adakalanya trak tunda dan worksyop akan mengenakan bayaran yang tinggi kerana pada masa itu kita tidak mempunyai pilihan dan bayarannya boleh mencecah beribu-ribu ringgit. Alhamdulillah, di atas bantuan peronda PLUS dan juga bantuan adik saya, kenderaan saya dapat dibaiki semula dan anak saya dapat menggunakan kenderaan ini pada hari Sabtu yang lalu.

No comments: