Saturday, January 17, 2009

MAKLUMAT MENGENAI PERTUBUHAN KEBAJIKAN BEKAS ASKAR JURUTERA DIRAJA (EX-SAPPERS)



TUJUAN / MATLAMAT PERTUBUHAN

(1) Untuk membantu ahli-ahli dan keluarga tanggungan mereka apabila berlaku kecederaan, sakit, kemalangan atau kematian yang memerlukan bantuan atau pertolongan.

(2) Menghargai dan memelihara semangat bekas-bekas anggota RAJD yang telah berjasa dan berkorban untuk negara, agama dan bangsa.

(3) Memberi kesedaran kepada orang-orang awam bahawa membantu bekas-bekas anggota tentera yang cacat, cedera dan daif serta tanggunggan mereka itu adalah satu kewajipan semua masyarakat.

(4) Membantu ahli-ahli dalam memberi khidmat nasihat apabila ditimpa masalah atau musibah kepada yang memerlukan.

(5) Membantu ahli-ahli dalam aktiviti ekonomi, seperti perniagaan dan pertanian serta berusaha untuk mendapatkan sebarang kemudahan yang biasa dinikmati oleh masyarakat.

(6) Mencari dan mengumpul sumber kewangan melalui yuran, derma, sumbangan dan lain-lain untuk mencapai tujuan dan maksud Pertubuhan.

(7) Mengeratkan semangat persahabatan di antara ahli-ahli, keluarga, balu-balu dan anggota-anggota RAJD yang masih berkhidmat.


KEAHLIAN : Untuk menjadi ahli pertubuhan ini mestilah mematuhi :

(a) Bekas askar Jurutera DiRaja yang telah berhenti atau bersara daripada perkhidmatan tentera ; atau

(b) Bekas askar Jurutera DiRaja (AW) dan Rejimen Pakar (AW) ; atau

(c) Balu-balu askar Jurutera DiRaja ; dan

(d) Warganegara Malaysia berumur 25 tahun ke atas

Sunday, January 11, 2009

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM LT KOL (B) ABD MAJID BIN SAIDIN (EX-RAJD)

Allahyarham Lt Kol (B) Abd Majid bin Saidin telah kembali kerahmatullah pada 2 Jan, 2009, jam 1825 di Johor Bahru kerana mengidap “Limb Cancer”. Jenazahnya telah dikebumikan di Kajang pada 3 Jan, 2009 jam 1200. Saya pernah berkhidmat di bawah pemerintahan beliau di Markas Jurutera 3 Div berpengkalan di Kem Terendak, Melaka pada tahun 1989. Ketika itu beliau sebagai Pemerintah Rejimen Jurutera 3 Div. (PRJ 3 DIV). Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya…AL-FATIHAH..!!

Terima kasih kepada Mejar Khamis & Mejar (B) Zahari di atas maklumat ini.

Allahyarham Lt Kol (B) Abd Majid bin Saidin semasa meraikan Tp Jurutera untuk menyertai misi pengaman di Namibia (UNTAG) tahun 1989

Thursday, January 8, 2009

PERTUBUHAN KEBAJIKAN BEKAS ASKAR JURUTERA DIRAJA WILAYAH UTARA (EX-SAPPERS)

Pertubuhan ini telah ditubuhkan pada 15hb. April, 2006, dan diilhamkan oleh bekas Ketua Jurutera Brig Jen (B) Dato Pahlawan Hj.Jamil Tahir dan Lt Kol (B) Khairuddin Mohd Ali yang telah menetap di Sg.Petani, Kedah. Ianya bertujuan untuk membantu bekas askar Jurutera dan tanggungan yang menghadapi bencana atau musibah, memberikan khidmat nasihat kepada yang menghadapi masalah, membantu aktiviti ekonomi dan yang paling utama sebagai platform untuk mengeratkan semangat setiakawan bagi anggota-anggota yang telah bersara dan berhenti dari perkhidmatan.

Pertubuhan ini terbuka kepada bekas anggota RAJD, anggota sularela AW dan Pakar, balu-balu anggota RAJD yang menetap di Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Sehingga kini ahli pertubuhan ini telah mencecah seramai 200 orang. Pada 28hb. Dis, 2008 yang lalu, satu mesyuarat agong tahunan telah diadakan dan telah menetapkan dalam kalendar aktiviti pertubuhan 2009 ialah untuk menyertai Sambutan Hari Kor Jurutera pada 22hb. April, 2009 yang akan diadakan di Kluang nanti. Ramai dikalangan ahli-ahli memberikan sokongan dan ingin menyertai dalam rombongan ini. Beberapa program juga sedang dirancang oleh AJK dan akan dimaklumkan kepada ahli-ahli dari masa kesemasa.

Brig Jen (B) Dato Pahlawan Hj. Jamil Tahir sedang menyampaikan sumbangan

kepada salah seorang balu ahli Pertubuhan.


Untuk maklumat lanjut mengenai pertubuhan ini sila hubungi HP : 012-2775646 atau 019-4117762

"JASA DAN PENGORBANAN SENTIASA DIHARGAI"