Thursday, October 11, 2012

HIDUP INI IBARAT DUA PERMUKAAN SYLING


Perjalanan kehidupan kita diibaratkan dua permukaan syiling, yang satu berupa dugaan dan yang satu lagi berupa nikmat. Apabila dilambung keudara kita tidak tahu samada kita akan menerima muka atau ekor yakni dugaan atau nikmat. Kita juga tidak boleh memilih untuk muka atau ekor kerana semuanya ini adalah ketentuan Ilahi. Adakala ketikanya kita akan mendapat masalah yang tidak menyenangkan dan adakala waktu yang lainnya kita akan mendapat perkara yang menyenangkan dan positif. Kita tidak pernah tahu apa yang bakal terjadi dimasa hadapan dan kita juga tidak perlu tahu akan hal yang sedemikian. Apa yang perlu kita tahu ialah persediaan apabila kita menerima dugaan dan begitu juga sebaliknya, apabila kita menerima nikmat dan kesenangan. Kita selalu berada dipersimpangan ini samada susah atau senang dan kita juga tidak boleh memilihnya. Inilah kehidupan kita, namun hidup kita juga tidak pernah terlalu buruk sehinggalah menenggelamkan kita kedasar kehidupan kita. Apa yang penting ialah persediaan kita menghadapi liku-liku perjalanan kehidupan ini dan juga persediaan untuk menemuiNya samada kita ke neraka atau syurga. 

Thursday, October 4, 2012

KAWAN SEMASA SENANG


Sudah menjadi lumrah kehidupan didunia ini. Ramai yang akan berada disekililing kita apabila kita senang dan kaya. Tetapi tidak ramai yang akan berada disekeliling kita apabila kita mengalami kesusahan. Manusia memang macam-macam ragam perangainya dan kita sering akan menemuinya tidak kira peringkat umur dan disetiap lapisan masyarakat dan tidak kira di desa ataupun di Bandar. Bila sudah menjadi lumrah kehidupan ianya akan menjadi satu penyakit masyarakat iaitu satu sikap yang mengambil kesempatan terhadap orang lain. Kawan-kawan atau saudara mara yang mendekati dan bersama kita hanya pada waktu senang untuk merasai kesenangan kita dan juga menikmati razeki yang kita perolehi. Namun bila kita susah tiada siapa tidak kira rakan taulan, saudara mara akan lesap malah menghilangkan diri, nak menghulurkan bantuan jauh sekali. Bak kata pepatah “Habis madu sepah dibuang”.  Ibarat air laut juga ada pasang surutnya, mungkin hari ini hari kita, esok entah hari siapa...!!

Monday, February 13, 2012

SYAK WASANGKA ADALAH SATU PENYAKIT YANG SANGAT MERBAHAYA

Dalam kehidupan seharian kita samada dalam keluarga ataupun masyarakat, sekiranya kita cuba membawa perubahan atau kebaikan, kita sering akan disalah ertikan atau pun syak wasangka yang negatif. Walaupun niat dan maksud kita adalah baik dan ikhlas tetapi kaum keluarga atau masyarakat akan beranggapan sebaliknya. Inilah yang sering berlaku yang menyebabkan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Penyakit ini telah menjadi satu penyakit yang amat serius dalam keluarga dan masyarakat kita terutamanya umat Islam. Apakah kita menyedari apa yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita ini adalah berpunca dari diri kita sendiri. Kerana pemikiran kita akan sentiasa memikirkan yang negatif terlebih dahulu yang menyebabkan perkara positif tidak diambil kira. Oleh itu pemikiran kita akan dipengaruhi oleh syak wasangka yang bersifat negatif.


Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12


Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Berhati-hatilah kamu dengan berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh itu marilah kita cuba mengerahkan pemikiran kita kepada pemikiran yang lebih positif daripada memikirkan syak wasangka yang negatif. Kekuatan aqidah dan keakraban ukhuwah dikalangan keluarga dan masyarakat sepatutnya dijadikan tunjang perjuangan sebelum kita pergi menemuiNya.

Sunday, January 8, 2012

PERHUBUNGAN KITA SEMAKIN JAUH & SINGKAT

Dulu, ikatan kekeluargaan sangat mesra. Bila tiba musim perayaan atau kenduri kendara semua adik-beradik dan sanak saudara akan berkumpul penuh kemesraan. Tetapi semenjak akhir-akhir ini ikatan kekeluargaan telah berubah dari pola perhubungan sesama manusia. Perasaan kasih-sayang telah mula pudar, perasaan ingin membantu juga telah hilang, perasaan bertolak-ansur juga telah tiada dan perasaan ingin mengenali sesama keluarga juga telah tiada dalam diri.

Apa yang terjadi kini amat menyedihkan, apabila perasaan benci mula memutik, perasaan dendam mula berbunga, perasaan bongkak mula meluap-luap. Revolusi perubahan makin merenggangkan kasih-mesra apa lagi dengan pengaruh perasaan benci ini akan menyelinap keseluruh lingkungan kekeluargaan.

Kehidupan kita memang bergerak sangat cepat…adakalanya kita tidak sedari yang dahulunya adik-adik dan anak-anak kita masih kecil tetapi sekarang sudah dewasa. Apakah kita menyedari mengapa terjadi demikian? Mungkin kerana dalam perjalanan hidup kita ini, kita sering disajikan dengan perasaan yang bersifat negatif, sehinggakan kita lupa bahawa perhubungan sesama kita perlukan perasaan kasih-sayang, perasaan saling bantu membantu, perasaan mengambil berat dan mungkin perasaan bertolak-ansur serta memaafkan.

Mungkin kita sibuk berlumba-lumba untuk mencari kekayaan dunia dan merasa megah dan timbul perasaan ego dan ingin menunjuk-nunjuk yang aku sudah berjaya dan kaya raya. Apakah kita sedari bahawa tingkah-laku kita ini adakalanya membuatkan orang-orang sekeliling kita terutamanya saudara-mara akan menjauhkan diri dari kita. Kerana sifat ego serta suka membangga diri akan membuatkan kita lupa diri.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 36 bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”.

Untuk renungan.

Friday, November 18, 2011

BERIBU KEBAIKAN TETAPI KESALAHAN YANG SATU JUGA YANG NAMPAK

Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, sekiranya kita melakukan kebaikan beberapa ribu kali pun tiadak ada yang ambil kisah atau ingin diperkatakan. Malahan kebaikan seseorang itu akan dilupakan dan hilang begitu sahaja. Tetapi sekiranya kita melakukan kesalahan walaupun hanya sekali akan diperkatakan orang siang dan malam. Malahan ceritanya akan ditokok-tambah menjadi lebih sedap didengar. Apakah cerita kebaikan tidak sedap didengar?? Mungkin tiada promosi agaknye? Mungkin promosi membuat kejahatan lebih diutamakan agaknye…!! Bak kata orang….kalau tengok orang naik motor kalau tak jatuh tak ada fun…tapi kalau jatuh bergolek-golek barulah ada fun….!! Nyata semua ini adalah gara-gara hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk memastikan kita semua dalam kesesatan…!!

Untuk Renungan!!

Thursday, October 6, 2011

PENDENGKI LEBIH RENDAH MARTABATNYA DARI YANG DIDENGKI..!!

Kedengkian(hasad) itu seperti makanan masin yang sentiasa merapuhkan tulang. Hasad itu juga seperti penyakit kronik yang selalu merosakkan tubuh secara perlahan-lahan sehingga membusuk. Ada ungkapan “Tidak ada yang menyenangkan dari seorang pendengki, kerana ia akan selalu menjadi musuh dalam selimut”. Ada pula orang-orang yang berkata seperti ini : “Celaka benar seorang pendengki; memulai dengan persahabatan dan mengakhiri dengan pembunuhan”.

Saya berusaha mencegah diri peribadi saya dan juga anda agar tidak mengidap penyakit dengki. Ini merupakan wujud kasih-sayang saya terhadap diri saya sendiri dan terhadap anda sebelum dapat mencurahkan kasih-sayang kepada orang lain. Bagaimanapun, dengan dengki terhadap orang lain, kita sama halnya dengan memberi makan kesedihan kepada daging-daging kita, memberi minum kegelisahan kepada darah kita, dan menyebarkan rasa mengantuk pelupuk mata kita kepada orang lain.

Seorang pendengki itu, ibarat orang yang menyalakan pemanggang roti, lalu setelah panas ia memasukkan dirinya sendiri kedalam pemanggang itu. Keresahan, kecemasan dan kegelisahan hidup merupakan penyakit-penyakit yang dilahirkan oleh sifat dengki untuk mengakhiri ketenteraman, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Bencana besar yang menimpa seorang pendengki adalah dikeranakan ia selalu melawan qadha’ (ketentuan Allah), melecehkan syari’at, dan selalu menyeleweng dari ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Rasullah SAW.

Sesungguhnya kedengkian itu merupakan penyakit yang tidak bakal mendatangkan pahala, dan juga bukan cubaan yang akan mendatangkan balasan baik dari Allah bagi para pelakunya. Seorang pendengki akan selalu panas ketika melihat orang lain mendapatkan kenikmatan dan kelebihan. Dari itu akan berlanjutan sampai ia mati, atau terkadang sampai kenikmatan orang lain tadi sudah tidak ada lagi.

Semua orang boleh diajak bersahabat kecuali pendengki. Sebab, seorang pendengki akan selalu membawa kita agar meremehkan nikmat-nikmat Allah, menanggalkan semua keperibadian baik kita, melepaskan ciri kehormatan kita, dan meninggalkan semua sejarah baik kita. Itulah, hal-hal yang akan membuat seorang pendengki menerima meskipun mungkin dengan berat hati anda sebagai sahabatnya. Akan tetapi bukankah kita harus berlindung kepada Allah dari kejahatan seorang pendengki ketika mendengki?

Betapapun, seorang pendengki itu tetap seperti ular hitam berbisa yang tidak akan pernah diam sebelum menyemburkan bisanya pada tubuh yang tidak berdosa. Sesungguhnya saya peringatkan anda agar jangan sekali-kali cuba memiliki rasa dengki. Berlindunglah kepada Allah agar tidak bergaul dengan seorang pendengki, kerana Dialah yang selalu mengawasi anda..!!

Petikan artikel dari sebuah buku untuk renungan kita semua..!!

Wednesday, August 10, 2011

MEMAHAMI MAKNA AIDILFITRI

Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.

Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah s.w.t. dan berjanji untuk mentaati perintahnya. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini. (maksud al-Quran surah al-Araf ayat 172).

Fitrah juga berkait dengan hanif. Ertinya suatu sifat dalam diri kita yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Dalam sebuah hadis disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.:

Kebajikan ialah suatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dan dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada. (HR Ahmad).

Maksud dosa dalam hadis tersebut adalah sesuatu yang dirasakan bertentangan dengan hati nurani. Oleh kerana itu, ketika ada polemik mengenai Ibrahim, di mana orang Yahudi mengatakan bahawa Ibrahim ialah orang Yahudi dan orang Nasrani mengatakan bahawa Ibrahim adalah seorang Nasrani, maka al-Quran mengatakan:

Ibrahim bukan orang Yahudi dan bukan pula orang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali dia bukanlah termasuk golongan orang-orang musyrik. (al-Quran surah ali-Imran ayat 67).

Iaitu seorang yang hidupnya digunakan untuk mencari kebenaran dengan tulus dan ikhlas. Tanpa semangat golongan atau kumpulan tertentu. Diiringi dengan muslimat, sambil pasrah kepada Allah.

Dalam firman Allah yang lain disebutkan bahawa agama yang benar tidak lain adalah asal kesucian manusia iaitu fitrah. Dalam surah al-Rum, ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud:

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (maksud surah ar-Rum Ayat 30).

Tahun boleh berganti, zaman boleh berubah. Milenium boleh bertukar dari milenium kedua sampai ketiga. Tetapi manusia tetap sama selama-lamanya sesuai dengan disain Allah. Manusia merupakan makhluk yang selalu merindukan kebenaran dan akan berasa tenteram apabila mendapatkan kebenaran itu. Sebaliknya, kalau dia tidak mendapatkannya, akan gelisah.

Jadi menurut firman Allah di atas, agama yang benar ialah kemanusiaanprimordial (asal). Primordial ertinya sesuatu yang asli, yang berasal dari pokok atau pangkal. Aidilfitri adalah hari raya untuk merayakan kembali fitrah, setelah kehilangan dan ditemui kembali. Hal itu kerana adanya ibadah puasa.

Quraish Shihab dalam bukunya Membumikan al-Quran berpendapat seseorang beraidilfitri dalam erti “kembali ke kesuciannya” akan selalu berbuat yang indah, benar dan baik. Ini adalah kerana kesucian merupakan gabungan dari tiga unsur tersebut (indah, benar dan baik). Melalui kesucian jiwanya, seseorang akan memandang segalanya dengan positif. Ia selalu berusaha mencari perkara-perkara yang baik, benar dan indah kerana ia akan melahirkan seni; mencari yang baik menimbulkan etika; mencari yang benar menghasilkan ilmu. Dengan pandangan yang demikan ia akan menutup mata terhadap kesalahan, kejahatan dan keburukan orang lain. Kalaupun itu terlihat, selalu dicarinya nilai-nilai positif dalam sikap negatif tersebut.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri sejati merupakan satu kemenangan secara batiniah atau rohaniah. Justeru itu ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama; keimanan yang bertambah kuat dan ketakwaan yang semakin menebal. Kita renungi syair Arab;

“Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”

Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas. Dengan kesedaran yang demikian akan membawa kita menjadi manusia yang bertakwa dan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.

Dalam kita merayakan Aidilfitri ini setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iatu,

  • Pertama, bertakbir mengagungkan Allah atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
  • Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
  • Ketiga menahan marah dan saling maaf-memaafkan.

Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: …Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.

Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.

Perasaan

Demikian Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang dari pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu, mereka telah meningglkan semua perkara yang digemari kerana Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.

Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.


Pengurus Penyelidikan YADIM

Oleh : Mohd.Shauki Abd.Majid


Untuk renungan kita menjelangnya Aidilfitri...!!

Thursday, April 21, 2011

NICE PRESENTATION

YAKIN DAN SABAR DALAM MENGHADAPI DUGAAN

Setiap perjuangan dalam hidup pasti akan melalui sedikit sebanyak kesukaran. Jika kita bersabar untuk melalui segala kepahitan, kejayaan dalam perjuangan hidup kita pasti akan mendatang. Sambil itu, janganlah sekali-kali kita lupa akan tanggungjawab kita mentaati Tuhan.

Yakinlah bahawa jika kita gagal atau kecewa sekali tidaklah bermakna kita gagal atau kecewa seumur hidup. Terdapat banyak kisah yang berlaku di sekeliling kita yang membuktikan ketepatan janji Allah SWT itu. Anak seorang petani yang serba kekurangan akhirnya menjadi ahli politik yang disanjungi. Isteri yang patuh pada agamanya dan ditinggalkan suami telah digantikan oleh Allah SWT dengan suami yang lebih baik dari yang dahulu, begitu juga suami yang baik digantikan dengan seorang isteri yang solehah. Orang yang dilucutkan jawatannya lalu membabitkan diri dalam perniagaan akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya. Begitu juga halnya dengan orang yang asal hidupnya jauh daripada Tuhan, akhirnya menjadi alim disamping berjaya dalam bidang keduniaan yang diceburinya.

Setiap kepahitan akan berkahir dengan kemanisan, asalkan kita bersabar dan berikhtiar disamping tidak lupa akan tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Yakinlah dengan janji Allah SWT itu kerana Ia tidak pernah memungkiri janji dan jauh sekali bagi Nya untuk menzalimi hamba yang mentaati Nya. Peringatan Allah SWT supaya kita sentiasa bersabar dalam memperjuangkan hidup kita ini jelas digambarkan dalam firman Allah SWT yang mafhumnya :

“Wahai orang yang beriman ! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), dan kuatkanlah kesabaranmu (dalam perjuangan), dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu beroleh kejayaan”. (Ali-Imran : 200)

Pesanan untuk kita semua.


Saturday, March 12, 2011

DURIAN BUKIT GANTANG - DOLU2..!!

Semasa zaman persekolah dahulu sekitar tahun 70an, musim durian adalah yang paling menggembirakan buat kami sekeluarga. Kampong kami(Kampong Pauh) memang terkenal dengan hasil buah durian ni. Bila tiba musim durian kampong kami bertukar menjadi seperti pasar minggu. Setiap pagi orang-orang kampong akan membawa hasil dusun masing-masing untuk dijual kepada pembeli-pembeli yang telah menunggu dengan basikal, motosikal, van dan lori. Pada masa yang sama juga penjual-penjual lain seperti penjual pakaian, barang-barang permainan, makanan dan lain-lain mengambil peluang untuk berniaga disini. Keadaan kampong kami akan menjadi meriah dan ramai saudara-mara dan sahabat handai jauh dan dekat berkunjung untuk menikmati hasil durian ini. Kalau dirumah hidangan pula semuanya ada perasa durian, samada pulut durian, lempuk, tempoyak, kuah durian, ikan keli masak tempoyak, sambal tempoyak dan berbagai-bagai lagi, bak kata semuanya ada durian. Orang-orang kampong tua, muda semuanya gembira, tak ada yang susah hati ataupun yang sakit.

Tetapi yang paling menggembirakan kami ialah duit belanja sekolah tak perlu minta dari emak atau ayah, bak kata kalau musim durian ni nak beli atau makan apa pun kira mewah. Tetapi dulu tak adalah KFC, Mc Donald, ataupun Pizza, jadi masa tu kalau ke bandar Taiping, kami pekena roti canai di restoran Bismillah, ataupun tengok wayang kat panggung REX. Bila tiba hari sabtu dan ahad adalah hari yang paling ditunggu-tunggu, kerana aku akan bangun seawal 6 pagi, selepas sembahyang subuh terus bergegas ke dusun untuk mencari dan mengutip buah durian. Kadang-kadang kami bermalam didusun durian ini kerana adakalanya pencuri pun ambil kesempatan untuk mencuri.

Tetapi kini keadaan sudah berbeza, durian boleh didapati pada bila-bila masa tanpa menunggu musim. PLUS Expressway Bhd telah menyediakan tempat di hentian R & R arah utara dan selatan di Bukit Gantang untuk membeli berbagai-bagai jenis buah-buahan. Majoriti pengunjung singgah di hentian ini kerana ingin membeli buah-buahan tropika, kerana mereka tidak boleh menemuinya di tempat lain malah mereka tidak perlu memasuki kampung untuk mencarinya. Permintaan paling tinggi ialah durian. Selain durian kahwin, pengunjung boleh merasai nikmat durian kampung seperti raja kunyit, durian katak, tupai mas, kucing tidur, capri, sarang semut, durian susu dan durian belimbing.

Pada tahun 2007, Pesta 'Jom Makan Durian 2007' juga telah diadakan dengan dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara seramai 5,000 orang yang hadir. Pesta ini juga merupakan salah satu program pelancongan negeri Perak. Pesta ini telah berjaya mengumpul sebanyak 16 ribu biji durian dan telah dicatatkan dalam “Malaysia Book of Records”. Begitulah ceritanya kehebatan Durian Bukit Gantang.

Kini semuanya tinggal kenangan kerana ayah dan emak sudah tiada lagi dan kemeriahan bila tiba musim durian juga menjadi suram dan tidak semeriah dulu. Sambutan Hari Raya juga tidak seindah dahulu…!! Semuanya menjadi memori indah yang terpahat dalam ingatan aku, tempat kelahiran aku.