Friday, December 3, 2010

SEPOHON EPAL DAUNYA LEBAT

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pohon epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pohon epal ini setiap hari. Dia memanjat pohon tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia beristirahat lalu terlelap di perdu pohon epal tersebut. Anak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pohon epal itu juga menyukai anak tersebut.

Masa berlalu… anak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pohon epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pohon epal tersebut dengan wajah yang sedih.

“Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon epal itu.” Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,” jawab remaja itu.

“Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya,” tambah remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pohon epal itu berkata, “Kalau begitu, petiklah epal yang ada padaku. Juallah untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan.”

Remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal dipohon itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pohon epal itu merasa sedih. Masa berlalu…

Suatu hari, remaja itu kembali. Dia semakin dewasa.

Pohon epal itu merasa gembira.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon epal itu.”Aku tiada waktu untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?” Tanya anak itu.

“Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya.” Pohon epal itu memberikan cadangan.

Lalu, remaja yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pohon epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pohon epal itu pun turut gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana remaja itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pohon epal itu. Dia sebenarnya adalah lelaki yang pernah bermain-main dengan pohon epal itu. Dia telah matang dan dewasa.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pohon epal itu.

” Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi kanak-kanak lelaki yang suka bermain-main di sekitar mu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?” tanya lelaki itu.

“Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pohon ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira,” kata pohon epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pohon epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pohon epal itu. Dia adalah lelaki yang pernah bermain di sekitar pohon epal itu.”

Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat boat. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati…” kata pohon epal itu dengan nada pilu.”

Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pohonmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa lelah dan ingin istirehat,” jawab lelaki tua itu.”

Jika begitu, istirehatlah di perduku,” kata pohon epal itu.Lalu lelaki tua itu duduk beristirahat di perdu pohon epal itu dan beristirahat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Sebenarnya, pohon epal yang dimaksudkan didalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka,dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita didalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup.

Anda mungkin terfikir bahwa anak lelaki itu bersikap kejam terhadap pohon epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah jasa ibu bapa kepada kita. Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut hari ibu dan hari bapa setiap tahun.

Dipetik daripada izoblog.com

Sunday, November 28, 2010

BERAPAKAH NILAI MASA PADA ANDA?

Masa adalah anugerah Allah kepada semua manusia. Masa bererti peluang buat kita semua. Nilai masa pada orang Melayu lebih dari emas. Orang Arab pula menganggap masa dan manusia seperti dua musuh yang berlawanan; si bijak akan menundukkan masa, yang tidak bijak akan dikalahkan oleh masa. Masa tidak akan kembali. Ia akan terus berjalan sama ada kita mahu atau tidak. Ia cukup bernilai. Yang telah lepas akan hanya tinggal kenangan. Yang akan datang belum tentu menjadi milik kita. Yang kita miliki hanyalah saat ini.

Allah bersumpah dengan masa dalam banyak ayat di dalam al-Quran. ‘Demi masa’. ‘Demi waktu Fajar’. ‘Demi 10 malam’. ‘Demi waktu Dhuha’. ‘Demi malam ketika ia tiba’. ‘Demi siang ketika ia menjelma’.

Lima perkara yang sepatutnya direbut oleh manusia; semuanya berkait dengan masa. Masa hidup sebelum mati. Masa kaya sebelum masa miskin. Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa muda sebelum masa tua. Masa sihat sebelum masa sakit.

Begitulah sebenarnya nilai masa pada manusia.

Kita akan makin sibuk dari hari ke hari. Tanggungjawab akan semakin besar. Kerja akan bertambah. Cabaran dalam kehidupan akan meningkat. Dulu kita ada masa untuk berbual panjang; sekarang nak bincang kena mencuri-curi masa. Dulu kita boleh makan-makan dan jalan-jalan; sekarang makan dan jalan di tempat yang kita kena buat kerja sahaja. Tengah-tengah suasana sibuk itu juga kadang-kadang kita jatuh sakit. Tengah-tengah sibuk itu kadang-kadang kita ada masalah-masalah yang kecil. Susahnya nak cari pembantu masa tu. Ada yang tak dapat membantu sebab dia pun tak cukup masa. Tapi tak kurang juga yang tidak boleh membantu sebab dia tak reti guna masa. Dakwa sibuk, masa lapang sebenarnya bersepah-sepah. Tidur sampai berjam-jam sehari. Menung pun panjang. Chat dalam facebook bukan main lama dah tu sambung pula sms. Kerja bagi tak siap-siap.

Hasan al-Banna mewasiatkan agar kita nasihat menasihati satu dengan yang lain dalam masalah masa. Katanya: “Kewajipan lebih banyak dari masa. Bantulah orang lain agar mereka memanfaatkan masa mereka. Jika kamu ada urusan (peribadi) lakukanlah dengan ringkas.”

Sememangnya kita perlu kepada nasihat ini. Kadang-kadang kita tak sedar bahawa kita tak gunakan masa kita secara maksima. Lepas beberapa hari, rupanya banyak kerja tertangguh. Sebab tertangguh, tanpa sebab! Puncanya kerana kita tak hargai masa. Kita rasa ada masa lagi, rupanya dah tak ada masa. Kalaulah masa tu macam kredit talefon kita, tentu kita lokek untuk membazirkannya macam kita kedekut hendak bagi orang lain pinjam telefon kita. Tapi oleh kerana masa tidak macam itu, mungkin kita tidak terasa sangat kehilangannya.

Kita kadang-kadang tidak sedar yang kerja kita ini ditanggung oleh orang lain sebab kita tidak selesaikannya. Ada orang yang sudah terbeban dengan satu bebanan di luar dari batas perikemanusiaan kerana menanggung kerja-kerja orang lain yang tidak siap-siap. Kita buat selamba sahaja. Lepas itu boleh nasihatkan lagi kawan kita supaya bertahan dan bersabar. Janganlah macam itu. Rahmatlah sikit pada orang lain.

Cuba kita bayangkan kalau semua dari kita jaga masanya dengan baik dan isi dengan tugasan-tugasan yang diberikan …. alangkah indahnya dunia ni. Beban makin berat jadi kita kenalah bersedia. Cabaran semakin besar maka kita kena sempitkan masa untuk urusan peribadi dan berikan masa kepada amal-amal kita dan buatlah kebajikan dan luangkanlah sedikit masa dengan orang-orang yang kita sayangi.

Berilah masa nilainya yang hakiki.

Adaptasi hasil nukilan Ustaz Mohamad Fauzi.

Tuesday, October 5, 2010

DIMANAKAH RASA KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA..?

Dalam diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di dalam hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah rasa kasih sayang.

Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain. Atau kepada selain manusia yakni benda-benda dan makhluk-makhluk lain. Atau hati manusia juga boleh jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini jarang berlaku.

Di sini kita hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia. Sebab ianya utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka mesti cintakan ALLAH yang memang lebih utama dan agung.

Jadi fokus utama untuk dihuraikan secara lebih luas ialah tentang cinta sesama manusia. Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang mendalam oleh seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya. Iaitu kerana ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan hatinya. Daya tarikan itu ada berbagai-bagai.

Ada yang bersifat semulajadi dan ada yang bersifat `aradhi' (mendatang). Di antara perkara-perkara yang menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana faktor-faktor inilah manusia tertarik dengan manusia yang lain. Maka tumbuhlah rasa kasih sayang sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila rasa itu kian mendalam, ia disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam, seseorang itu akan jadi asyik mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang, kerana tidak boleh lagi kontrol cintanya, terus menjadi gila.

Dengan perasaan kasih sayang, seseorang akan menumpukan perhatian, perasaan dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya. Bermacam-macam pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada rasa susah padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun orang lain melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita sanggup lari meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon suaminya. Dia rela menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai maka sifat dan kesan kasih itu juga berbeza-beza. Bergantunglah kepada siapa dan mengapa kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama dengan kasih pada isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama dengan kasih pada kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada saudara-mara. Kasih pada pemimpin tidak sama dengan kasih pada pengikut. Kasih pada bangsa tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih pada agama tidak sama dengan kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang menciptakan dalam ruang seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang berbagai sifat dan rupanya!

Akibat berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat kasih itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia tidak diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan berkurang dan mungkin hilang. Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih serta jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat bertanggungjawab. Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia taat, patuh dan melayan suami sesungguh hati. Kasih pada guru membuatkan murid gigih belajar dan mengamalkan ajarannya.

Manakala kasih pada murid menjadikan guru-guru hilang letih untuk mendidik dan mengajar hingga muridnya berjaya. Kasih > pada ibu bapa membuatkan anak-anak sangat menjaga hati orang tuanya. Manakala kasih kepada anak-anak menjadikan ibu bapa rela berbuat apa saja untuk anak-anaknya.

Demikianlah kesan adanya kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti terikat satu sama lain. Lalu akan saling memberi dan menerima secara suka dan rela. Orang yang saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak dapat memberi kasih sayang walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban dan bersusah-susah untuk yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan dan hiburan.

Sedangkan tanpa kasih sayang, pengorbanan dibuat secara terpaksa, menjadikan ia amat berat dan menyeksakan manusia. Seorang murid yang buat kerja guru dengan rasa cinta pada guru, akan membuatnya dengan sepenuh hati, ghairah dan bahagia. Dia tidak jemu dan tidak letih. Dia akan berbuat lebih dari yang diperintahkan. Sebaliknya murid yang buat kerja guru dalam keadaan terpaksa, sedangkan dia benci pada guru itu, akan rasa berat dan jemu. Al hasil, kerjanya jadi tidak sempurna.

Demikianlah juga keadaan rakyat terhadap pemerintah, pengikut terhadap pemimpin dan sebaliknya. Begitu jugalah isteri terhadap suami, anak-anak terhadap ibu bapa dan manusia terhadap manusia lainnya.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa cinta dan kasih para Sahabat yang sungguh mendalam terhadap Rasulullah SAW dan sebaliknya, telah membuatkan mereka berjuang dan berkorban habis-habisan. Hingga nyawa pun sanggup dikorbankan demi cinta. Al hasil dalam tempoh yang sekejap sahaja, Islam telah membentuk negara dan empayar kepada tiga perempat dunia.

Demikian bukti bahawa dengan cinta, manusia rela mengorbankan lebih masa dan tenaga hingga memperolehi hasil yang luar biasa. Sedangkan tanpa cinta, sesuatu kerja itu dibuat dengan sambil lewa dan hasilnya mengecewakan! Sebab itu kita mesti pandai mengisi ruangan daripada rasa kasih sayang dan cinta ini. Ia sangat besar manfaatnya kepada kehidupan manusia. Kita patut usahakan agar tumbuh kasih sayang sesama manusia supaya buahnya yang lebat lagi manis itu dapat kita kecapi bersama.

Tapi sayang sekali hari ini, dunia sudah ketandusan kasih sayang. Orang miskin tidak sayang pada orang kaya, rakyat tidak sayang pada raja atau ketua negaranya, masyarakat tidak sayang pada ulama, bahkan anak-anak tidak sayangkan ibu bapa dan isteri tidak menyayangi suami. Benci-membenci jadi budaya tradisi yang membuatkan manusia terhina dengan segala bentuk krisis dan masalah sesamanya. Kakitangan pejabat mencaci-caci boss mereka di belakangnya. Orang politik dimaki hamun oleh pengundinya, ulama dihina-hina oleh masyarakat, menteri-menteri dimusuhi oleh berbagai lapisan masyarakat dan jadi bahan bualan yang negatif.

Demikian seterusnya yang berlaku dalam realiti hidup hari ini akibat tidak adanya sifat-sifat yang cantik untuk membuat manusia saling jatuh hati dan sayang-menyayangi. Mana kasih sayang pengikat perpaduan manusia? Mana keharmonian hidup, ketenangan serta kepuasan? Kita rindu untuk melihat orang kaya mengasihi orang miskin dan si miskin membalas kasih si kaya. Hinggakan mereka bekerjasama dengan penuh harmoni dan mesra.

Kita juga rindukan pemimpin yang memberi kasih kepada pengikut dan sebaliknya. Dan kita ingin melihat orang bukan Islam kasih pada orang Islam dan sebaliknya! Ya, kita ingin melihat dunia kembali damai, aman, harmoni dan makmur dengan wujudnya kasih sayang sesama manusia. Untuk itu mari kita cetuskan sebab-sebab untuk orang lain, sekalipun bukan sebangsa dan seagama apa lagi kalau sekeluarga dan seagama, agar cenderung dan jatuh hati pada kita. Bila masing-masing mengusahakannya, maka kita pun menyayangi dan disayangi.

Dari sana, moga-moga impian dan kerinduan kita menjadi kenyataan! Kesilapan manusia hari ini, di samping membiarkan rasa benci-membenci terus subur, tidak pula mengusahakan untuk sayang-menyayangi. Sebaliknya lebih mengalih perhatian kepada benda dan makhluk-makhluk yang lain. Melupakan tanggungjawab untuk membina kasih sayang sesama manusia. Kemudian mencari jalan lain untuk menjauhkan lagi dan tanggungjawab tersebut. laitu mengalih perhatian dan kasih sayang kepada benda-benda, pokok-pokok, binatang, barang-barang antik dan sebagainya.

Benda-benda kecintaan ditatang-tatang, dibelek-belek dan dijaga sungguh-sungguh. Binatang kesayangan dibelai-belai, dilayan dan dikawal hingga dibuat undang-undang, sesiapa yang membunuh binatang didenda. Barang-barang antik dipuja-puja dan dijaga di muzium-muzium dan lain-lain dengan istimewa sekali. Begitu juga pokok-pokok dan bunga hiasan, begitu disayangi dan dari semasa ke semasa rasa sayang itu disuburkan! Memang tidak ada salahnya perkara-perkara itu.

Tapi apalah ertinya kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan. Maksudnya, tanggungjawab yang asasi dan penting diabaikan, sebaliknya dibuat kerja-kerja yang tidak penting. Ibarat orang menghidangkan kita berbagai macam laukpauk, tetapi tidak disertakan nasi. Apa perasaan kita? Apa ertinya pokok di hutan tidak dipotong tetapi badan manusia dipotong dan dibunuh? Pokok-pokok, benda-benda, barang antik dan binatang kalau tidak disayangi dan tidak diberi perhatian, tidak memberi kesan negatif pada kita. Tetapi anak-anak yang tidak dapat kasih sayang akan jadi penyakit masyarakat.Orang miskin yang terbiar tanpa diberi simpati akan buat masalah dalam masyarakat. Orang yang bukan seagama dan sebangsa yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang akan mencari pasal untuk membalas dendam dan geram.

Demikian kalau manusia tidak berkasih sayang, kesannya sungguh negatif dan bahaya sekali. Dunia hari ini begitu ketandusan kasih sayang. Keadaannya genting sekali. Manusia saling benci-membenci iaitu kebalikan dari berkasih sayang. Akibatnya masing-masing saling mencari jalan untuk menyusahkan orang lain. Masing-masing saling berprasangka dan saling mencurigai. Paling tidak, saling tidak mempedulikan dan tidak ambil tahu. Usaha-usaha untuk mengatasinya hampir-hampir tidak ada sama sekali. Kalaupun ada, tidak berkesan. Kerana caranya tidak tepat dan tidak membawa kesan yang berkekalan.

Petikan artikel email dari seorang rakan untuk tatapan semua..!!

Wednesday, September 29, 2010

Roti Canai...!!

Roti canai atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini, merupakan satu makanan kegemaran di Malaysia. Ia dimakan sebagai makanan pagi, tengahari, petang, dan malam. Sering kali dimakan bersama dengan teh tarik, atau teh ais.Biasanya dihidangkan dengan kuah dal atau parpu atau kari dengan sambal ikan bilis.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu dibelakang roti adalah hasil dari tingkahlaku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai dibelakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia.

Roti canai di India dan Singapura, ia lebih dikenali sebagai roti pratha. Rupa roti pratha dengan roti canai adalah sama dan bentuknya masih lagi bulat.

Aku cuba-cuba la nak buat roti canai nak tunjuk terror kat mat saleh ni..sebab diaorang dengar orang Malaysia pandai buat roti canai. Inilah first & the last aku buat roti canai….tak jadi, nampaknya kena serah kepada yang arif dalam pembikinan roti canai.

Kenangan mengusik jiwa diperantauan…!!

Wednesday, September 1, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H/2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
"MAAF ZAHIR & BATIN"

Tuesday, August 24, 2010

BULAN KEMERDEKAAN

Dalam beberapa hari lagi kita akan menyambut Kemerdekaan yang ke 53 pada 31hb.Ogos, 2010. Bila tiba hari kemerdekaan saya sentiasa teringat semasa menyambut Hari Kemerdekaan di bumi asing sebuah Negara di Afrika. Ketika itu saya bertugas di Negara tersebut. Saya terlibat secara langsung dalam membuat persiapan padang diperbarisan sambutan hari kemerdekaan ini. Pada pagi 31hb.Ogos,1989, ramai dikalangan jemputan-jemputan dari Negara-negara asing termasuk dari PBB turut hadir bagi meraikan sambutan ini. Perbarisan pada pagi tersebut berjalan lancar dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton-penonton. Sepertimana biasa selepas perbarisan para tetamu akan dihidangkan dengan jamuan makan. Kami menonjolkan masakan Malaysia seperti roti canai dan kari, nasi lemak, mee goreng, beehon goreng, dan beberapa jenis kuih-muih termasuk teh tarik. Para tetamu jemputan amat menyukai makanan Malaysia ini dan selepas majlis tersebut lokasi kami menjadi tumpuan kehadiran mereka apabila ada kelapangan atau pun apabila mereka bertugas berhampiran. Kenangan ini menjadi ingatan dalam diari kehidupan saya sehingga kini.

Para tetamu jemputan yang hadir.

Perbarisan sambutan Kemerdekaan.


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 53

“1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI”

Tuesday, August 10, 2010

Wednesday, May 5, 2010

FITRAH MANUSIA

Aku selalu berkata kalau sekiranya aku dapat kembali semula ke waktu-waktu dahulu...aku akan memanfaatkan setiap peluang dan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya...tetapi malangnya semua itu tidak mungkin akan berlaku. Seorang penyair Arab berkata melalui puisinya "Alaita as Syabab ya'uudul An - Alangkah baiknya kalau hari muda itu datang semula hari ini". Ketika itu dia sudah terlalu tua. Memang inilah fitrahnya manusia, kita sering menangisi masa silam yang suram, namun hari-hari yang sedang kita lalui tidak juga kita hiasi dengan amalan yang akan menjadi bekalan untuk hari esok.