Perhentian pertama yang aku berhenti di Gurun dan kenderaan penuh sesak ditempat letak kereta. Kemudian aku meneruskan perjalanan sehinggalah ke R&R Semanggol untuk berehat seketika dan perut mula keroncong. Orang ramai pulak dan meja tiada yang kosong. Teringat pula aku sup tulang yang terkenal di Simpang, Taiping. Aku cuba menghubungi En Syed Shaharudin seorang rakan yang tinggal berdekatan dengan tempat menjual sup tu kerana aku dah lama tak singgah ketempat tu. Katanya kedai tu masih ada dan dia akan tunggu aku dikedai tersebut. Bila tiba di Simpang, Taiping En Syed Shah dah tunggu, apa lagi aku pun terus order mee sup tulang kerana aku dah kelaparan. Kami berbual mengenai Ex-Sappers dan juga kenangan pahit manis sepanjang tahun-tahun berlalu dan tidak sedar jam dah 12 malam dan aku terpaksa meneruskan perjalanan.
Aku masuk semula ke Lebuhraya melalui Tol Changkat Jering dan meneruskan perjalanan melalui Bkt.Gantang dan teringat pulak disinilah aku dilahirkan dan disinilah aku dibesarkan. Teringat aku semasa zaman kanak-kanak dan bagaimana aku belajar mengumpul duit hasil jualan durian yang memang terkenal dengan durian Bkt Gantang satu ketika dahulu. Aku juga teringat bagaimana susah payah emak dan ayah untuk membesarkan kami seramai 10 adik beradik. Sambil memandu aku tidak sedar aku telah melalui Kuala Kangsar dan melalui terowong dan melepasi kawasan kemalangan ngeri tersebut. Aku berhenti sebentar di Petronas Spg.Pulai dan jam telah menunjukkan jam 1.15 pagi. Kemudian aku meneruskan perjalanan dan kereta makin berkurangan dan lori berderet-deret dengan muatan berat bergerak perlahan dilorong kiri. Sepertimana biasa baslah yang banyak memotong kereta aku walaupun aku memandu antara 100-110km sejam.
Sedang aku memandu bersaorangan di lebuhraya dengan iringan lagu-lagu alleycats, lagu “Satu Qiblat Yang Sama” nyanyian Rabbani dan lagu kegemaran aku nyanyian broery ‘Biarlah Bulan Bicara’, rupanya aku telah menghampiri R&R Tapah. Aku berhenti sebentar untuk pekena kopi secawan dan aku perhatikan banyak juga kereta yang berhenti untuk berehat. Sebuah pondok polis sementara didirikan disitu bagi memberikan kemudahan kepada pengguna-pengguna lebuhraya. Masa tu jam telah menunjukkan pukul 2.30 pagi dan aku cuba berehat sebentar berhampiran pondok polis tersebut. Rupa-rupanya aku terlelap dan bila aku sedar jam telah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Aku perhatikan sekeliling kereta yang banyak tadi tinggal beberapa buah sahaja. Aku pun meneruskan perjalanan dan kenderaan tidak banyak di atas lebuhraya dan aku tiba di R&R Jejantas Sg.Buloh untuk mandi dan menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya diwaktu subuh yang sunyi.
Aku terus ke Putrajaya dan menghubungi Ayesha Shahira untuk bersiap sedia dan kami bersarapan di Medan Selera Precint 16. Sambil bersarapan aku melihat keputusan PMR dan sijil-sijil yang Ayesha perolehi didalam fail yang tersusun rapi. Ayesha menyimpan semua sijil-sijil yang dia perolehi semenjak dia dari Tadika lagi. Sambil bersarapan Ayesha beritahu yang dia berminat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sains dan bercita-cita untuk mengambil jurusan medic bila masuk ke Universiti nanti. Sebagai seorang bapa, aku amat terharu serta bersyukur dengan cita-cita dan keazamannya dan aku memberitahu Ayesha yang aku akan sentiasa merestui dan menyokong demi mencapai cita-citanya.
Aku juga menceritakan kepada Ayesha bahawa mereka sekarang amat bertuah kerana mempunyai segala kemudahan dan sokongan daripada ibubapa untuk mencapai apa yang mereka hajatkan. Aku mengambil kesempatan menceritakan bagaimana aku dahulu terpaksa berdikari demi mencapai cita-cita aku kerana adik beradik yang ramai. Selepas aku menduduki peperiksaan SRP (sekarang PMR) dengan keputusan 13 Aggregate tetapi tidak dapat masuk mana-mana sekolah berasrama. Oleh kerana ingin meneruskan cita-cita dan berjaya dalam pelajaran aku memohon untuk memasuki Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (AFATS) dalam Tingkatan 4, sebuah sekolah ketenteraan di Port Dickson yang lengkap segala kemudahan termasuk elaun RM40.00 sebulan ketika itu walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga. Walaupun baru beumur 15 tahun aku telah berdikari dan mengharungi berbagai ranjau dan duri kerana tidak mahu menjadi bebanan kepada emak dan ayah serta berkorban untuk memberi laluan kepada kakak dan adik-adik. Semenjak dari hari itu aku tidak pernah memohon bantuan daripada emak dan ayah malah dengan simpanan sedikit-sedikit aku dapat pulak memberikan sedikit wang kepada emak walaupun aku masih lagi belajar.
Kemudian, Ayesha mengajak aku ke IOI Mall di Sri Petaling untuk membeli sdikit barangan, kami pun menaiki kereta dan terus ke IOI Mall. Waktu itu jam baru pukul 10.30 pagi, masih banyak kedai-kedai yang belum dibuka. Kemudian Ayesha mengajak aku ke Low Yatt Plaza kerana disana banyak perlatan komputer dan murah harganya, kata Ayesha. Jadi kami pun bergerak keluar dan menuju ke Low Yatt Plaza, tetapi kerana aku dah lama tidak memandu di KL, aku telah melalui jalan jauh disamping menunjukkan kepada Ayesha jalan ke MINDEF tempat dimana aku bekerja dahulu. Kemudian melalui bangunan TH Selbron, disitulah pejabat PLKN, nanti kalau Ayesha terpilih untuk menghadiri PLKN disitulah pemilihan nama-nama calun dibuat.
Kemudian aku menyusuri jalan Yap Kwan Seng, melalui kawasan berhampiran Puduraya. Aku ceritakan pula kepada Ayesha semasa zaman dalam latihan kedet di Maktab Tentera Diraja, Sg. Besi dimana kawasan ini kami mundar-mandir dengan pakaian ‘planters order’ dengan bertali leher ditengah panas pada hujung minggu. Kami keluar dari Sg Besi menaiki bas no 109, TONG FONG. Kalau diawal bulan ramailah yang keluar tetapi makin kurang nampak yang bertali leher bila hujung bulan. Kalau balik pula ke RMC diawal bulan kami naik teksi bila hujung bulan naiklah bas no 109 tu. Kalau awal bulan KFC kat Bukit Bintang ramailah kumpulan kami tetapi hujung bulan pekena je mee mamak kat tepi jalan. Kemudian aku melalui Puduraya, aku ceritakan kepada Ayesha ada restoran mamak (sekarang restoren Anuja) diatas ada bilik yang berhawa dingin, makanan kegemaran aku teh ais dengan nasi beriani ayam…hum memang best..!! Sebelum balik ke RMC biasanya aku dan Omda ‘buddy-buddy’ aku masa di RMC akan pekena dulu sebab selepas jam 7 ptg kami tak ada makanan lagi sebab dewan makan dah tutup.
Jalan agak sesak bila melalui Puduraya dan tersangkut dalam kesesakan jalanraya. Hampir 30 min juga dari Puduraya untuk kami sampai ke Low Yatt Plaza. Kami meninjau dikedai-kedai jualan peralatan komputer dan Ayesha membeli barangan yang diperlukan. Masa dah hampir pukul 2.30 ptg, aku terasa lapar dan mengajak Ayesha makan tengahari. Bila dah kenyang nak berjalan pun dah tak larat, Ayesha kata tak ada apa lagi nak beli dan kami pun balik menuju ke Putrajaya. Pada ketika itu jam sudah hampir pukul 4 petang dan aku menghantar Ayesha balik. Aku singgah sekejap di Petronas Precint 16 untuk mengisi tangki dan refill touch & go. Aku rasa bersyukur dan amat gembira kerana dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak kesayangan aku disamping meraikan kejayaannya dalam PMR. Waktu pun dah petang, nak hubungi kawan-kawan rasanya masing-masing sibuk, jadi aku mengambil keputusan untuk bergerak balik ke Perlis.
Aku singgah sebentar di R&R Jejantas Sg.Buloh untuk sembahyang sambil memeriksa kereta aku. Aku meneruskan perjalanan sehingga ke R&R Tapah. Waktu itu hampir maghrib, sambil aku duduk sekejap dalam kereta aku perhatikan banyak burung-burung berterbangan dan hinggap di atas bumbung R&R Tapah. Sekali-sekali terbang kearah utara kemudian berpusing balik kearah selatan dalam kumpulan yang besar. Aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mereka buat? Selang beberapa minit hujan turun agak lebat dan aku duduk dalam kereta, sambil berfikir mungkin hujan nak turun agaknya. Bila hujan reda aku meneruskan perjalanan ke utara sambil mendengar lagu-lagu kegemaran aku dan tidak sedar aku sudah melalui R&R Bukit Gantang dan aku singgah di R&R Semanggol untuk berehat seketika.
Sedang aku berjalan ke kereta, aku disapa oleh seorang yang aku kenal dahulu. Rupa-rupanya salah seorang anggota aku semasa bertugas di Namibia, di bawah Pasukan Pengaman PBB. Halim Hashim, kini telah bersara dari tentera dan menetap di Sg.Petani, Kedah. Aku diperkenalkan dengan keluarganya dan kami berbual agak lama juga sambil bertanyakan kawan-kawan yang masih kita kenali. Aku memberitahu Halim supaya menyertai Pertubuhan Ex-Sappers nanti, agar kita boleh berjumpa dan berkumpul dengan rakan-rakan lama kita. Kemudian aku meneruskan perjalanan terus sehingga ke Kangar Perlis. Aku tiba di Kangar jam 12.30 malam. Alhamdulillah, walaupun perjalanan yang singkat tetapi aku selamat pergi dan balik serta dapat meluangkan masa dengan Ayesha anak kesayangan aku.