Allah bersumpah dengan masa dalam banyak ayat di dalam al-Quran. ‘Demi masa’. ‘Demi waktu Fajar’. ‘Demi 10 malam’. ‘Demi waktu Dhuha’. ‘Demi malam ketika ia tiba’. ‘Demi siang ketika ia menjelma’.
Lima perkara yang sepatutnya direbut oleh manusia; semuanya berkait dengan masa. Masa hidup sebelum mati. Masa kaya sebelum masa miskin. Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa muda sebelum masa tua. Masa sihat sebelum masa sakit.
Begitulah sebenarnya nilai masa pada manusia.
Kita akan makin sibuk dari hari ke hari. Tanggungjawab akan semakin besar. Kerja akan bertambah. Cabaran dalam kehidupan akan meningkat. Dulu kita ada masa untuk berbual panjang; sekarang nak bincang kena mencuri-curi masa. Dulu kita boleh makan-makan dan jalan-jalan; sekarang makan dan jalan di tempat yang kita kena buat kerja sahaja. Tengah-tengah suasana sibuk itu juga kadang-kadang kita jatuh sakit. Tengah-tengah sibuk itu kadang-kadang kita ada masalah-masalah yang kecil. Susahnya nak cari pembantu masa tu. Ada yang tak dapat membantu sebab dia pun tak cukup masa. Tapi tak kurang juga yang tidak boleh membantu sebab dia tak reti guna masa. Dakwa sibuk, masa lapang sebenarnya bersepah-sepah. Tidur sampai berjam-jam sehari. Menung pun panjang. Chat dalam facebook bukan main lama dah tu sambung pula sms. Kerja bagi tak siap-siap.
Hasan al-Banna mewasiatkan agar kita nasihat menasihati satu dengan yang lain dalam masalah masa. Katanya: “Kewajipan lebih banyak dari masa. Bantulah orang lain agar mereka memanfaatkan masa mereka. Jika kamu ada urusan (peribadi) lakukanlah dengan ringkas.”
Sememangnya kita perlu kepada nasihat ini. Kadang-kadang kita tak sedar bahawa kita tak gunakan masa kita secara maksima. Lepas beberapa hari, rupanya banyak kerja tertangguh. Sebab tertangguh, tanpa sebab! Puncanya kerana kita tak hargai masa. Kita rasa ada masa lagi, rupanya dah tak ada masa. Kalaulah masa tu macam kredit talefon kita, tentu kita lokek untuk membazirkannya macam kita kedekut hendak bagi orang lain pinjam telefon kita. Tapi oleh kerana masa tidak macam itu, mungkin kita tidak terasa sangat kehilangannya.
Kita kadang-kadang tidak sedar yang kerja kita ini ditanggung oleh orang lain sebab kita tidak selesaikannya. Ada orang yang sudah terbeban dengan satu bebanan di luar dari batas perikemanusiaan kerana menanggung kerja-kerja orang lain yang tidak siap-siap. Kita buat selamba sahaja. Lepas itu boleh nasihatkan lagi kawan kita supaya bertahan dan bersabar. Janganlah macam itu. Rahmatlah sikit pada orang lain.
Cuba kita bayangkan kalau semua dari kita jaga masanya dengan baik dan isi dengan tugasan-tugasan yang diberikan …. alangkah indahnya dunia ni. Beban makin berat jadi kita kenalah bersedia. Cabaran semakin besar maka kita kena sempitkan masa untuk urusan peribadi dan berikan masa kepada amal-amal kita dan buatlah kebajikan dan luangkanlah sedikit masa dengan orang-orang yang kita sayangi.
Berilah masa nilainya yang hakiki.
Adaptasi hasil nukilan Ustaz Mohamad Fauzi.