Tetapi yang paling menggembirakan kami ialah duit belanja sekolah tak perlu minta dari emak atau ayah, bak kata kalau musim durian ni nak beli atau makan apa pun kira mewah. Tetapi dulu tak adalah KFC, Mc Donald, ataupun Pizza, jadi masa tu kalau ke bandar Taiping, kami pekena roti canai di restoran Bismillah, ataupun tengok wayang kat panggung REX. Bila tiba hari sabtu dan ahad adalah hari yang paling ditunggu-tunggu, kerana aku akan bangun seawal 6 pagi, selepas sembahyang subuh terus bergegas ke dusun untuk mencari dan mengutip buah durian. Kadang-kadang kami bermalam didusun durian ini kerana adakalanya pencuri pun ambil kesempatan untuk mencuri.
Tetapi kini keadaan sudah berbeza, durian boleh didapati pada bila-bila masa tanpa menunggu musim. PLUS Expressway Bhd telah menyediakan tempat di hentian R & R arah utara dan selatan di Bukit Gantang untuk membeli berbagai-bagai jenis buah-buahan. Majoriti pengunjung singgah di hentian ini kerana ingin membeli buah-buahan tropika, kerana mereka tidak boleh menemuinya di tempat lain malah mereka tidak perlu memasuki kampung untuk mencarinya. Permintaan paling tinggi ialah durian. Selain durian kahwin, pengunjung boleh merasai nikmat durian kampung seperti raja kunyit, durian katak, tupai mas, kucing tidur, capri, sarang semut, durian susu dan durian belimbing.
Pada tahun 2007, Pesta 'Jom Makan Durian 2007' juga telah diadakan dengan dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara seramai 5,000 orang yang hadir. Pesta ini juga merupakan salah satu program pelancongan negeri Perak. Pesta ini telah berjaya mengumpul sebanyak 16 ribu biji durian dan telah dicatatkan dalam “Malaysia Book of Records”. Begitulah ceritanya kehebatan Durian Bukit Gantang.
Kini semuanya tinggal kenangan kerana ayah dan emak sudah tiada lagi dan kemeriahan bila tiba musim durian juga menjadi suram dan tidak semeriah dulu. Sambutan Hari Raya juga tidak seindah dahulu…!! Semuanya menjadi memori indah yang terpahat dalam ingatan aku, tempat kelahiran aku.