Sunday, January 8, 2012

PERHUBUNGAN KITA SEMAKIN JAUH & SINGKAT

Dulu, ikatan kekeluargaan sangat mesra. Bila tiba musim perayaan atau kenduri kendara semua adik-beradik dan sanak saudara akan berkumpul penuh kemesraan. Tetapi semenjak akhir-akhir ini ikatan kekeluargaan telah berubah dari pola perhubungan sesama manusia. Perasaan kasih-sayang telah mula pudar, perasaan ingin membantu juga telah hilang, perasaan bertolak-ansur juga telah tiada dan perasaan ingin mengenali sesama keluarga juga telah tiada dalam diri.

Apa yang terjadi kini amat menyedihkan, apabila perasaan benci mula memutik, perasaan dendam mula berbunga, perasaan bongkak mula meluap-luap. Revolusi perubahan makin merenggangkan kasih-mesra apa lagi dengan pengaruh perasaan benci ini akan menyelinap keseluruh lingkungan kekeluargaan.

Kehidupan kita memang bergerak sangat cepat…adakalanya kita tidak sedari yang dahulunya adik-adik dan anak-anak kita masih kecil tetapi sekarang sudah dewasa. Apakah kita menyedari mengapa terjadi demikian? Mungkin kerana dalam perjalanan hidup kita ini, kita sering disajikan dengan perasaan yang bersifat negatif, sehinggakan kita lupa bahawa perhubungan sesama kita perlukan perasaan kasih-sayang, perasaan saling bantu membantu, perasaan mengambil berat dan mungkin perasaan bertolak-ansur serta memaafkan.

Mungkin kita sibuk berlumba-lumba untuk mencari kekayaan dunia dan merasa megah dan timbul perasaan ego dan ingin menunjuk-nunjuk yang aku sudah berjaya dan kaya raya. Apakah kita sedari bahawa tingkah-laku kita ini adakalanya membuatkan orang-orang sekeliling kita terutamanya saudara-mara akan menjauhkan diri dari kita. Kerana sifat ego serta suka membangga diri akan membuatkan kita lupa diri.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 36 bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”.

Untuk renungan.