Tuesday, December 2, 2008

DOA ISTERI KUNCI KEJAYAAN SUAMI

Bagi membentuk keluarga bahagia, isteri perlu berdoa supaya keluarganya hidup dalam harmonis, diberi keselamatan dan kekuatan iman. Doa seorang isteri untuk suami memang mustajab kerana jika wanita bermunajat, ia memang ikhlas.

Sebelum suami ke tempat kerja, isteri mendoakan kejayaan ketua rumah tangga itu. Insya-Allah, dengan keikhlasan isteri, doa itu akan dimakbulkan dan suami mendapat kejayaan. Usaha yang disusuli dengan doa adalah faktor yang memberi kebahagiaan kepada rumah tangga.

Fenomena dalam masyarakat hari ini, menunjukkan kebanyakan pasangan hanya menampakkan kecantikan luaran dan tidak mengutamakan kecantikan dalaman. Ada pasangan yang hanya mahu tampil cantik lahiriah hingga mengabaikan kepentingan dan kehendak suami. Misalnya, isteri mahu kekal cantik tanpa menjaga makan minum suami hingga semuanya diserah kepada amah.Kadangkala suami pulang kerja kepenatan tetapi si isteri sibuk dengan kelas gim atau yoga.

Mana-mana suami suka jika pulang bekerja, mereka disambut dengan senyuman dan rumah yang kemas. Jika isteri cantik tetapi rumah tangga tidak terurus, anak tidak terjaga pakaian dan makan minumnya, ia akan menyebabkan suami cepat bosan dan tidak selesa di rumah. Justeru, sebagai isteri, mereka perlu tahu cita rasa suami dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana rumah adalah tempat terbaik bagi memupuk kasih sayang keluarga.

Dalam usaha melahirkan keluarga bahagia, selain suami berperanan menjaga dan bertanggungjawab terhadap makan minum, isteri ada peranan tersendiri. Untuk menjadi isteri dan ibu cemerlang kepada sebuah rumah tangga bahagia, peranan wanita memang penting.

Jangan meminggirkan peranan isteri kerana mereka adalah kunci kebahagiaan suami. Isteri yang bijak, bukan saja mampu menjadi wanita yang cantik dari segi luaran dan dalaman tetapi berperanan dalam semua aspek.

Walaupun mereka memegang jawatan besar di syarikat, harapan yang disandarkan suami untuk menjadi suri terbaik dan ibu cemerlang mesti ditandai dengan kehebatannya menangani masalah anak-anak kerana ia melahirkan generasi masa depan yang cemerlang. Wanita harus menjadi golongan yang serba boleh sama ada di pejabat mahupun rumah.

Kehebatan sesebuah keluarga banyak dipengaruhi perawatakan isteri yang bukan saja seorang wanita tetapi ibu dan isteri. Jika anak-anak yang lahir itu mulia akhlak dan hebat dalam pendidikan, ia menggambarkan betapa hebatnya peranan isteri membentuk mereka menuju kegemilangan. Ini sekali gus membawa mereka menuju kecemerlangan rumah tangga.

Oleh yang demikian, para isteri juga jangan lupa mendoakan agar sisuami ditetapkan iman..takut-takut bila menerima kejayaan lupa pula langit dan bumi..!! Untuk renungan kita bersama..!!

No comments: