Thursday, February 19, 2009

YAKIN & SABAR !!

Setiap perjuangan dalam hidup pasti akan melalui sedikit sebanyak kesukaran. Jika kita bersabar untuk melalui segala kepahitan, kejayaan dalam perjuangan hidup kita pasti akan mendatang. Sambil itu, janganlah sekali-kali kita lupa akan tanggungjawab kita mentaati Tuhan.

Yakinlah bahawa jika kita gagal atau kecewa sekali tidaklah bermakna kita gagal atau kecewa seumur hidup. Terdapat banyak kisah yang berlaku di sekeliling kita yang membuktikan ketepatan janji Allah SWT itu. Anak seorang petani yang serba kekurangan akhirnya menjadi ahli politik yang disanjungi. Isteri yang patuh pada agamanya dan ditinggalkan suami telah digantikan oleh Allah SWT dengan suami yang lebih baik dari yang dahulu, begitu juga suami yang baik digantikan dengan seorang isteri yang solehah. Orang yang dilucutkan jawatannya lalu membabitkan diri dalam perniagaan akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya. Begitu juga halnya dengan orang yang asal hidupnya jauh daripada Tuhan, akhirnya menjadi alim disamping berjaya dalam bidang keduniaan yang diceburinya.

Setiap kepahitan akan berkahir dengan kemanisan, asalkan kita bersabar dan berikhtiar disamping tidak lupa akan tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Yakinlah dengan janji Allah SWT itu kerana Ia tidak pernah memungkiri janji dan jauh sekali bagi Nya untuk menzalimi hamba yang mentaati Nya. Peringatan Allah SWT supaya kita sentiasa bersabar dalam memperjuangkan hidup kita ini jelas digambarkan dalam firman Allah SWT yang mafhumnya :

“Wahai orang yang beriman ! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), dan kuatkanlah kesabaranmu (dalam perjuangan), dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu beroleh kejayaan”. (Ali-Imran : 200)

Pesanan untuk kita semua.

Saturday, February 7, 2009

KISAH BENAR - MANUSIA DAN JIN

Apa yang ingin saya paparkan ini adalah sebuah kisah benar yang telah berlaku kepada sepasang suami isteri yang telah terlalu taksub dengan kepercayaan kuasa jin dan syaitan. Cerita ini mengisahkan bagaimana sepasang suami isteri yang bergelar Dato' dan Datin, yang berpengaruh dan disegani oleh masyarakat sanggup menggunakan khidmat jin dan syaitan ini demi mencapai cita-cita mereka agar sanak saudara dan masyarakat sekeliling menuruti segala kemahuan mereka. Sisuami adalah merupakan seorang ahli politik manakala sisiteri pula bekas guru besar sebuah sekolah kerajaan. Sebagaimana kita sedia maklum sebagai seorang ahli politik tentunya inginkan pengaruh dan sokongan dari pemimpin dan akar umbi bagi mencapai agenda politik mereka. Berbagai-bagai cara digunakan dan mereka sanggup menggunakan khidmat bomoh dan dukun sehinggakan siisteri boleh bertukar menjadi bomoh dan kononnya boleh berkomunikasi dengan jin.

Mereka sanggup bertapa dan memuja jin dan syaitan di puncak gunung pada waktu tengah malam berjam-jam lamanya sehingga pagi dengan harapan mereka akan berdampingan dengan jin dan syaitan ini seterusnya dapat mempunyai kuasa dan pengaruh. Mereka juga kononnya boleh berkomunikasi dengan tok nenek moyang yang telah lama meninggal dunia dan boleh menolong anak cucu dalam apa jua yang dihajati. Apa yang menariknya ialah siisteri ini boleh bertukar suara dan menjadi tok nenek moyang apabila sesiapa berhajatkan sesuatu pertolongan. Siisteri kononnya boleh hidup 500 tahun dan menjadi salah seorang bomoh yang berpengaruh, tetapi perlu menjalani beberapa upacara pada tengah malam di puncak gunung dan akan ditauliahkan oleh bomoh besar yang akan turun pada malam tersebut. Bagi mencapai hajat dan tujuan ini, suami isteri ini sanggup berkorban maruah, masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjalani upacara ini agar hajat mereka tercapai.

PERSOALANNYA : Dizaman yang serba moden ini masih lagi ada manusia-manusia yang mempercayai kekarutan ini, manakala sebagai seorang ahli politik yang berpengaruh dan juga siisteri pula bekas seorang pendidik yang mempunyai pemikiran yang waras dan boleh berfikir secara lojik mengenai kekufuran akibatnya. Manakala dari sudut pandangan agama Islam akidah mereka ini sudah terlalu jauh terpesong, tetapi mereka sanggup menggadaikan keimanan mereka, demi mencapai cita-cita mereka. Kini mereka telah menjadi manusia yang sombong, bongkak, ego dan kepada sesiapa yang engkar menurut kemahuan mereka maka orang tersebut akan menjadi mangsa kebencian mereka. Sifat kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia tidak ada dalam diri mereka, malah mereka sanggup menindas, memutuskan tali silaturrahim dan memporak-porandakan sesiapa sahaja yang mereka benci.

RENUNGAN - PENGERTIAN JIN DALAM AL-QURAN

Ada pula manusia yang meminta perlindungan daripada jin. Mereka terdiri daripada kaum lelaki, dan daripada golongan jin yang diminta, adalah lelaki juga. Perbuatan itu menambahkan mereka dalam kekejian. Firman-Nya,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6).

Ayat di atas merupakan amaran bagi sesiapa yang ingin mengambil perlindungan daripada jin. Satu lagi contoh amalan yang disifatkan keji menurut al-Qur'an ialah melupakan ayat-ayat Allah setelah mendapat kesenangan hidup (25:18).

Manusia dan Jin mempunyai hati atau otak, mata, dan telinga. Firman-Nya,
"Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai." (7:179)

WALLAHUALAM…!!

Friday, February 6, 2009

PASIR MAS, SALOR

Dalam sekitar tahun 1985, saya telah ditugaskan untuk membina dan memperbaiki rumah orang-orang tua dalam projek jiwa murni disini. Ada lebihkurang 30 orang semuanya yang menghuni dipondok-pondok ini. Pihak kami telah membina 10 unit rumah yang telah dapat memberikan keselesaan kepada penghuni-penghuninya. Semasa kami disini, kami telah menerima layanan yang baik daripada penghuni-penghuni dan penduduk setempat. Lebih-lebih lagi kemesraan dan keramahan penduduk-penduduk disini yang menyebabkan kami merasa amat selesa sekali. Boleh dikatakan setiap hari kami akan disajikan dengan berbagai-bagai makanan yang dimasak oleh penduduk setempat disini. Kadang-kadang kami dijemput kerumah penduduk-penduduk yang mengadakan kenduri atau jamuan makan. Ada yang menjamu kami dengan laksam, pulut durian, nasi dengan berbagai-bagai jenis lauk pauk, tidak ketinggalan budu & ikan bakar. Kami juga disajikan dengan buah-buahan seperti timun cina, limau, jabit, mangga dan lain-lain lagi, buah ‘keriat’ pun ada..!! Saya merasa bersyukur kerana dapat membantu dan berkhidmat kepada masyarakat dengan memberikan keselesaan kepada mereka-mereka yang amat memerlukan.

Nostalgia Coretan kembara kehidupan 1985.