Monday, February 13, 2012

SYAK WASANGKA ADALAH SATU PENYAKIT YANG SANGAT MERBAHAYA

Dalam kehidupan seharian kita samada dalam keluarga ataupun masyarakat, sekiranya kita cuba membawa perubahan atau kebaikan, kita sering akan disalah ertikan atau pun syak wasangka yang negatif. Walaupun niat dan maksud kita adalah baik dan ikhlas tetapi kaum keluarga atau masyarakat akan beranggapan sebaliknya. Inilah yang sering berlaku yang menyebabkan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Penyakit ini telah menjadi satu penyakit yang amat serius dalam keluarga dan masyarakat kita terutamanya umat Islam. Apakah kita menyedari apa yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita ini adalah berpunca dari diri kita sendiri. Kerana pemikiran kita akan sentiasa memikirkan yang negatif terlebih dahulu yang menyebabkan perkara positif tidak diambil kira. Oleh itu pemikiran kita akan dipengaruhi oleh syak wasangka yang bersifat negatif.


Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12


Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Berhati-hatilah kamu dengan berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh itu marilah kita cuba mengerahkan pemikiran kita kepada pemikiran yang lebih positif daripada memikirkan syak wasangka yang negatif. Kekuatan aqidah dan keakraban ukhuwah dikalangan keluarga dan masyarakat sepatutnya dijadikan tunjang perjuangan sebelum kita pergi menemuiNya.

No comments: