Saturday, March 7, 2009

JOM KE BUKIT GANTANG

Satu masa dahulu Bukit Gantang memang terkenal dengan hasil buah duriannya. Bila tiba musim durian kampong kami bertukar menjadi seperti pasar minggu. Setiap pagi orang-orang kampong akan membawa hasil dusun masing-masing untuk dijual kepada pembeli-pembeli yang telah menunggu dengan basikal, motosikal, van dan lori. Pada masa yang sama juga penjual-penjual lain seperti penjual pakaian, barang-barang permainan, makanan dan lain-lain mengambil peluang untuk berniaga disini. Keadaan kampong kami akan menjadi meriah dan ramai saudara-mara dan sahabat handai jauh dan dekat berkunjung untuk menikmati hasil durian ini. Kalau dirumah hidangan pula semuanya ada perasa durian, samada pulut durian, lempuk, tempoyak, kuah durian, ikan keli masak tempoyak, sambal tempoyak dan berbagai-bagai lagi, bak kata semuanya ada durian. Orang-orang kampong tua, muda semuanya gembira, tak ada yang susah hati ataupun yang sakit.

Tetapi yang paling menggembirakan kami ialah duit belanja sekolah tak perlu minta dari emak atau ayah, bak kata kalau musim durian ni nak beli atau makan apa pun kira mewah. Tetapi dulu tak adalah KFC, Mc Donald, ataupun Pizza, jadi masa tu kalau ke bandar Taiping, kami pekena roti canai di restoran Bismillah, ataupun tengok wayang kat panggung REX. Bila tiba hari sabtu dan ahad adalah hari yang paling ditunggu-tunggu, kerana saya akan bangun seawal 6 pagi, selepas sembahyang subuh terus bergegas ke dusun untuk mencari dan mengutip buah durian. Kadang-kadang kami bermalam didusun durian ini kerana adakalanya pencuri pun ambil kesempatan untuk mencuri.

Tetapi kini keadaan sudah berbeza, durian boleh didapati pada bila-bila masa tanpa menunggu musim. PLUS Expressway Bhd telah menyediakan tempat di hentian R & R arah utara dan selatan di Bukit Gantang untuk membeli berbagai-bagai jenis buah-buahan. Majoriti pengunjung singgah di hentian ini kerana ingin membeli buah-buahan tropika, kerana mereka tidak boleh menemuinya di tempat lain malah mereka tidak perlu memasuki kampung untuk mencarinya. Permintaan paling tinggi ialah durian. Selain durian kahwin, pengunjung boleh merasai nikmat durian kampung seperti raja kunyit, durian katak, tupai mas, kucing tidur, capri, sarang semut, durian susu dan durian belimbing.

Kini, Bukit Gantang menjadi tumpuan lagi, bukan kerana duriannya tetapi kerana politiknye..!! Pada bulan Mac dan April, 2009 ini, Bukit Gantang akan menjadi tumpuan semua ahli-ahli politik tidak kira samada parti kerajaan atau pembangkang, semua akan tertumpu untuk berkempen bagi menyokong calun masing-masing bagi memilih Ahli Parlimen P 59. Jadi makin meriahlah Bukit Gantang kali ini, dengan bendera, sepanduk dan banting-banting yang berwarna-warni. Inilah dia Bukit Gantang, tempat lahir saya..!! Diharapkan kemelut politik Bukit Gantang, khususnya Negeri Perak akan selesai secepat mungkin..!!

Pemandangan Bukit Gantang Tahun 1860

Anak Jati Bukit Gantang..!!

No comments: