Thursday, October 11, 2012

HIDUP INI IBARAT DUA PERMUKAAN SYLING


Perjalanan kehidupan kita diibaratkan dua permukaan syiling, yang satu berupa dugaan dan yang satu lagi berupa nikmat. Apabila dilambung keudara kita tidak tahu samada kita akan menerima muka atau ekor yakni dugaan atau nikmat. Kita juga tidak boleh memilih untuk muka atau ekor kerana semuanya ini adalah ketentuan Ilahi. Adakala ketikanya kita akan mendapat masalah yang tidak menyenangkan dan adakala waktu yang lainnya kita akan mendapat perkara yang menyenangkan dan positif. Kita tidak pernah tahu apa yang bakal terjadi dimasa hadapan dan kita juga tidak perlu tahu akan hal yang sedemikian. Apa yang perlu kita tahu ialah persediaan apabila kita menerima dugaan dan begitu juga sebaliknya, apabila kita menerima nikmat dan kesenangan. Kita selalu berada dipersimpangan ini samada susah atau senang dan kita juga tidak boleh memilihnya. Inilah kehidupan kita, namun hidup kita juga tidak pernah terlalu buruk sehinggalah menenggelamkan kita kedasar kehidupan kita. Apa yang penting ialah persediaan kita menghadapi liku-liku perjalanan kehidupan ini dan juga persediaan untuk menemuiNya samada kita ke neraka atau syurga. 

Thursday, October 4, 2012

KAWAN SEMASA SENANG


Sudah menjadi lumrah kehidupan didunia ini. Ramai yang akan berada disekililing kita apabila kita senang dan kaya. Tetapi tidak ramai yang akan berada disekeliling kita apabila kita mengalami kesusahan. Manusia memang macam-macam ragam perangainya dan kita sering akan menemuinya tidak kira peringkat umur dan disetiap lapisan masyarakat dan tidak kira di desa ataupun di Bandar. Bila sudah menjadi lumrah kehidupan ianya akan menjadi satu penyakit masyarakat iaitu satu sikap yang mengambil kesempatan terhadap orang lain. Kawan-kawan atau saudara mara yang mendekati dan bersama kita hanya pada waktu senang untuk merasai kesenangan kita dan juga menikmati razeki yang kita perolehi. Namun bila kita susah tiada siapa tidak kira rakan taulan, saudara mara akan lesap malah menghilangkan diri, nak menghulurkan bantuan jauh sekali. Bak kata pepatah “Habis madu sepah dibuang”.  Ibarat air laut juga ada pasang surutnya, mungkin hari ini hari kita, esok entah hari siapa...!!

Monday, February 13, 2012

SYAK WASANGKA ADALAH SATU PENYAKIT YANG SANGAT MERBAHAYA

Dalam kehidupan seharian kita samada dalam keluarga ataupun masyarakat, sekiranya kita cuba membawa perubahan atau kebaikan, kita sering akan disalah ertikan atau pun syak wasangka yang negatif. Walaupun niat dan maksud kita adalah baik dan ikhlas tetapi kaum keluarga atau masyarakat akan beranggapan sebaliknya. Inilah yang sering berlaku yang menyebabkan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Penyakit ini telah menjadi satu penyakit yang amat serius dalam keluarga dan masyarakat kita terutamanya umat Islam. Apakah kita menyedari apa yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita ini adalah berpunca dari diri kita sendiri. Kerana pemikiran kita akan sentiasa memikirkan yang negatif terlebih dahulu yang menyebabkan perkara positif tidak diambil kira. Oleh itu pemikiran kita akan dipengaruhi oleh syak wasangka yang bersifat negatif.


Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12


Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Berhati-hatilah kamu dengan berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Oleh itu marilah kita cuba mengerahkan pemikiran kita kepada pemikiran yang lebih positif daripada memikirkan syak wasangka yang negatif. Kekuatan aqidah dan keakraban ukhuwah dikalangan keluarga dan masyarakat sepatutnya dijadikan tunjang perjuangan sebelum kita pergi menemuiNya.

Sunday, January 8, 2012

PERHUBUNGAN KITA SEMAKIN JAUH & SINGKAT

Dulu, ikatan kekeluargaan sangat mesra. Bila tiba musim perayaan atau kenduri kendara semua adik-beradik dan sanak saudara akan berkumpul penuh kemesraan. Tetapi semenjak akhir-akhir ini ikatan kekeluargaan telah berubah dari pola perhubungan sesama manusia. Perasaan kasih-sayang telah mula pudar, perasaan ingin membantu juga telah hilang, perasaan bertolak-ansur juga telah tiada dan perasaan ingin mengenali sesama keluarga juga telah tiada dalam diri.

Apa yang terjadi kini amat menyedihkan, apabila perasaan benci mula memutik, perasaan dendam mula berbunga, perasaan bongkak mula meluap-luap. Revolusi perubahan makin merenggangkan kasih-mesra apa lagi dengan pengaruh perasaan benci ini akan menyelinap keseluruh lingkungan kekeluargaan.

Kehidupan kita memang bergerak sangat cepat…adakalanya kita tidak sedari yang dahulunya adik-adik dan anak-anak kita masih kecil tetapi sekarang sudah dewasa. Apakah kita menyedari mengapa terjadi demikian? Mungkin kerana dalam perjalanan hidup kita ini, kita sering disajikan dengan perasaan yang bersifat negatif, sehinggakan kita lupa bahawa perhubungan sesama kita perlukan perasaan kasih-sayang, perasaan saling bantu membantu, perasaan mengambil berat dan mungkin perasaan bertolak-ansur serta memaafkan.

Mungkin kita sibuk berlumba-lumba untuk mencari kekayaan dunia dan merasa megah dan timbul perasaan ego dan ingin menunjuk-nunjuk yang aku sudah berjaya dan kaya raya. Apakah kita sedari bahawa tingkah-laku kita ini adakalanya membuatkan orang-orang sekeliling kita terutamanya saudara-mara akan menjauhkan diri dari kita. Kerana sifat ego serta suka membangga diri akan membuatkan kita lupa diri.

Allah berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 36 bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”.

Untuk renungan.