Saturday, December 20, 2008

ERTI KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA

Dalam diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di dalam hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah rasa kasih sayang.

Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain. Atau kepada selain manusia yakni benda-benda dan makhluk-makhluk lain. Atau hati manusia juga boleh jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini jarang berlaku.

Di sini kita hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia. Sebab ianya utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka mesti cintakan ALLAH yang memang lebih utama dan agung.

Jadi fokus utama untuk dihuraikan
secara lebih luas ialah tentang cinta sesama manusia. Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang mendalam oleh seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya. Iaitu kerana ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan hatinya. Daya tarikan itu ada berbagai-bagai.

Ada yang bersifat semulajadi dan ada yang bersifat `aradhi' (mendatang). Di antara
perkara-perkara yang menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana faktor-faktor inilah manusia tertarik dengan manusia yang lain. Maka tumbuhlah rasa kasih sayang sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila rasa itu kian mendalam, ia disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam, seseorang itu akan jadi asyik mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang, kerana tidak boleh lagi kontrol cintanya, terus menjadi gila.

Dengan perasaan kasih sayang,
seseorang akan menumpukan perhatian, perasaan dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya. Bermacam-macam pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada rasa susah padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun orang lain melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita sanggup lari meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon suaminya. Dia rela menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai maka sifat dan kesan kasih itu juga berbeza-beza.
Bergantunglah kepada siapa dan mengapa kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama dengan kasih pada isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama dengan kasih pada kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada saudara-mara. Kasih pada pemimpin tidak sama dengan kasih pada pengikut. Kasih pada bangsa tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih pada agama tidak sama dengan kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang menciptakan dalam ruang seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang berbagai sifat dan rupanya!

Akibat berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat kasih itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia tidak diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan berkurang dan mungkin hilang. Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih serta jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat bertanggungjawab. Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia taat, patuh dan melayan suami sesungguh hati. Kasih pada guru membuatkan murid gigih belajar dan mengamalkan ajarannya.

Manakala kasih pada murid menjadikan guru-guru hilang letih untuk mendidik dan mengajar hingga muridnya berjaya. Kasih > pada ibu bapa membuatkan anak-anak sangat menjaga hati orang tuanya. Manakala kasih kepada anak-anak menjadikan ibu bapa rela berbuat apa saja untuk anak-anaknya.

Demikianlah kesan adanya kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti terikat satu sama lain. Lalu akan saling memberi dan menerima secara suka dan rela. Orang yang saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak dapat memberi kasih sayang walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban dan bersusah-susah untuk yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan dan hiburan.

Sedangkan tanpa kasih sayang, pengorbanan dibuat secara terpaksa, menjadikan ia amat berat dan menyeksakan manusia. Seorang murid yang buat kerja guru dengan rasa cinta pada guru, akan membuatnya dengan sepenuh hati, ghairah dan bahagia. Dia tidak jemu dan tidak letih. Dia akan berbuat lebih dari yang diperintahkan. Sebaliknya murid yang buat kerja guru dalam keadaan terpaksa, sedangkan dia benci pada guru itu, akan rasa berat dan jemu. Al hasil, kerjanya jadi tidak sempurna.

Demikianlah juga keadaan rakyat terhadap pemerintah, pengikut terhadap pemimpin dan sebaliknya. Begitu jugalah isteri terhadap suami, anak-anak terhadap ibu bapa dan manusia terhadap manusia lainnya.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa cinta dan kasih para Sahabat yang sungguh mendalam terhadap Rasulullah SAW dan sebaliknya, telah membuatkan mereka berjuang dan berkorban habis-habisan. Hingga nyawa pun sanggup dikorbankan demi cinta. Al hasil dalam tempoh yang sekejap sahaja, Islam telah membentuk negara dan empayar kepada tiga perempat dunia.

Demikian bukti bahawa dengan cinta, manusia rela mengorbankan lebih masa dan tenaga hingga memperolehi hasil yang luar biasa. Sedangkan tanpa cinta, sesuatu kerja itu dibuat dengan sambil lewa dan hasilnya mengecewakan! Sebab itu kita mesti pandai mengisi ruangan daripada rasa kasih sayang dan cinta ini. Ia sangat besar manfaatnya kepada kehidupan manusia. Kita patut usahakan agar tumbuh kasih sayang sesama manusia supaya buahnya yang lebat lagi manis itu dapat kita kecapi bersama.

Tapi sayang sekali hari ini, dunia sudah ketandusan kasih sayang. Orang miskin tidak sayang pada orang kaya, rakyat tidak sayang pada raja atau ketua negaranya, masyarakat tidak sayang pada ulama, bahkan anak-anak tidak sayangkan ibu bapa dan isteri tidak menyayangi suami. Benci-membenci jadi budaya tradisi yang membuatkan manusia terhina dengan segala bentuk krisis dan masalah sesamanya. Kakitangan pejabat mencaci-caci boss mereka di belakangnya. Orang politik dimaki hamun oleh pengundinya, ulama dihina-hina oleh masyarakat, menteri-menteri dimusuhi oleh berbagai lapisan masyarakat dan jadi bahan bualan yang negatif.

Demikian seterusnya yang berlaku dalam realiti hidup hari ini akibat tidak adanya sifat-sifat yang cantik untuk membuat manusia saling jatuh hati dan sayang-menyayangi. Mana kasih sayang pengikat perpaduan manusia? Mana keharmonian hidup, ketenangan serta kepuasan? Kita rindu untuk melihat orang kaya mengasihi orang miskin dan si miskin membalas kasih si kaya. Hinggakan mereka bekerjasama dengan penuh harmoni dan mesra.

Kita juga rindukan pemimpin yang memberi kasih kepada pengikut dan sebaliknya. Dan kita ingin melihat orang bukan Islam kasih pada orang Islam dan sebaliknya! Ya, kita ingin melihat dunia kembali damai, aman, harmoni dan makmur dengan wujudnya kasih sayang sesama manusia. Untuk itu mari kita cetuskan sebab-sebab untuk orang lain, sekalipun bukan sebangsa dan seagama apa lagi kalau sekeluarga dan seagama, agar cenderung dan jatuh hati pada kita. Bila masing-masing mengusahakannya, maka kita pun menyayangi dan disayangi.

Dari sana, moga-moga impian dan kerinduan kita menjadi kenyataan! Kesilapan manusia hari ini, di samping membiarkan rasa benci-membenci terus subur, tidak pula mengusahakan untuk sayang-menyayangi. Sebaliknya lebih mengalih perhatian kepada benda dan makhluk-makhluk yang lain. Melupakan tanggungjawab untuk membina kasih sayang sesama manusia. Kemudian mencari jalan lain untuk menjauhkan lagi dan tanggungjawab tersebut. laitu mengalih perhatian dan kasih sayang kepada benda-benda, pokok-pokok, binatang, barang-barang antik dan sebagainya.

Benda-benda kecintaan ditatang-tatang, dibelek-belek dan dijaga sungguh-sungguh. Binatang kesayangan dibelai-belai, dilayan dan dikawal hingga dibuat undang-undang, sesiapa yang membunuh binatang didenda. Barang-barang antik dipuja-puja dan dijaga di muzium-muzium dan lain-lain dengan istimewa sekali. Begitu juga pokok-pokok dan bunga hiasan, begitu disayangi dan dari semasa ke semasa rasa sayang itu disuburkan! Memang tidak ada salahnya perkara-perkara itu.

Tapi apalah ertinya kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan. Maksudnya, tanggungjawab yang asasi dan penting diabaikan, sebaliknya dibuat kerja-kerja yang tidak penting. Ibarat orang menghidangkan kita berbagai macam laukpauk, tetapi tidak disertakan nasi. Apa perasaan kita? Apa ertinya pokok di hutan tidak dipotong tetapi badan manusia dipotong dan dibunuh? Pokok-pokok, benda-benda, barang antik dan binatang kalau tidak disayangi dan tidak diberi perhatian, tidak memberi kesan negatif pada kita. Tetapi anak-anak yang tidak dapat kasih sayang akan jadi penyakit masyarakat.Orang miskin yang terbiar tanpa diberi simpati akan buat masalah dalam masyarakat. Orang yang bukan seagama dan sebangsa yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang akan mencari pasal untuk membalas dendam dan geram.

Demikian kalau manusia tidak berkasih sayang, kesannya sungguh negatif dan bahaya sekali. Dunia hari ini begitu ketandusan kasih sayang. Keadaannya genting sekali. Manusia saling benci-membenci iaitu kebalikan dari berkasih sayang. Akibatnya masing-masing saling mencari jalan untuk menyusahkan orang lain. Masing-masing saling berprasangka dan saling mencurigai. Paling tidak, saling tidak mempedulikan dan tidak ambil tahu. Usaha-usaha untuk mengatasinya hampir-hampir tidak ada sama sekali. Kalaupun ada, tidak berkesan. Kerana caranya tidak tepat dan tidak membawa kesan yang berkekalan.

Petikan artikel dari seorang rakan untuk tatapan semua..!!

Friday, December 19, 2008

AIR MATA TAUBAT NABI ADAM AS

" Semenjak Nabi Adam terkeluar dari Syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah SWT. Beliau sujud di atas gunung selama 100 tahun. Kemudian beliau menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dan air mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pokok kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. Burung-burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini." Nabi Adam terdengar kata-kata burung itu. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya Aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dari air mata taubatmu." Begitulah rasa berdosa dan bersalah kepada Allah telah menyebabkan Nabi Adam menangis selama beratus tahun lamanya. Sehingga kemudiannya Allah telah menerima taubatnya dan menjadikan air yang lazat, pohon cengkih dan kayu manis daripada air mata taubatnya itu."

Bagaimana pula dengan kita. Pernahkah kita menangis apabila terbuat dosa? Sesungguhnya airmata taubat dari seseorang manusia itu boleh menyelamatkannya dari bakaran api Neraka.

Untuk renungan kita bersama..!!

Thursday, December 18, 2008

LIFE IS A GIFT

There was a blind girl who hated herself because she was blind. She hated everyone, except her loving boyfriend. He was always there for her. She told her boyfriend, 'If I could only see the world, I will marry you.'

One day,someone donated a pair of eyes to her. When the bandagescame off, she was able to see everything, including her boyfriend.

He asked her, 'Now that you can see the world, will you marry me?' The girl looked at her boyfriend and saw that he was blind. The sight of his closed eyelids shocked her. She hadn't expected that. The thought of looking at them the rest of her life led her to refuse to marry him.

Her boyfriend left in tears and days later wrote a note to her saying: 'Take good care of your eyes, my dear, for before they were yours, they were mine.'

This is how the human brain often works when our status changes. Only a very few remember what life was like before, and who was always by their side in the most painful situations.

Life Is a Gift

Today before you say an unkind word - Think of someone who can't speak.

Before you complain about the taste of your food - Think of someone who has nothing to eat.

Before you complain about your husband or wife - Think of someone who's crying out to GOD for a companion.

Today before you complain about life - Think of someone who died too early on this earth..

Before you complain about your children - Think of someone who desires children but they're barren.

Before you argue about your dirty house someone didn't clean or sweep - Think of the people who are living in the streets.

Before whining about the distance you drive Think of someone who walks the same distance with their feet.

And when you are tired and complain about your job - Think of the unemployed, the disabled, and those who wish they had your job.

But before you think of pointing the finger or condemning another - Remember that not one of us is without sin.

And when depressing thoughts seem to get you down - Put a smile on your face and think: you're alive and still around.

Email from friend..!!

Sunday, December 14, 2008

SEBUAH PENGORBANAN

Pernahkah kita berfikir sejauh manakah kita berkorban untuk agama? Pernahkah kita berkorban untuk negara? Pernahkah kita berkorban untuk bangsa sendiri? Pernahkah kita berkorban untuk keluarga dan sanak saudara? Mungkin jawapannya “TIDAK” atau “YA”..!! Tetapi sejauh manakah pengorbanan itu? Adakah dilakukan secara ikhlas atau ada udang disebalik batu? Semuanya jawapanya ada dalam diri kita sendiri.

Untuk sampai kepada kemampuan melakukan pengorbanan sepertimana yang dituntut oleh agama Islam dalam perjuangan kita, tidak dapat tidak mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi serta ikhlas hanya untuk AlLah Azzawajalla. Pengorbanan mungkin sesuatu yang mudah dan selalu di sebut, terutamanya apabila untuk orang lain atau pihak bawahan yang ditagih melaksanakannya. Pengorbanan menjadi terlalu sukar malah sering dilupakan begitu saja apabila diri sendiri atau pimpinan atasan sepatutnya memulakan. Saudara-saudaraku sebenarnya itulah rahsia yang tersirat di sebalik kalimah `pengorbanan`.

Pengorbanan Nabi Ibrahim as, pengorbanan Ismail as, dan pengorbanan Hajar ra bukanlah semudah kita mendengar segala kisah-kisah mereka. Pengorbanan yang terpaksa mereka pasrahkan demi sebuah keyakinan tuntutan penghambaan kepada AlLah SWT. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW, pengorbanan kaum keluarga ahlul-bait dan pengorbanan seluruh generasi sahabah demi melengkapkan sebuah keyakinan laiLahaillalLah MuhammadurrasululLah. Semuanya ini terakam sebagai bukti dan saksi yang terus hidup di dalam jiwa mereka yang dihidupkan oleh AlLah dengan keyakinan sebagaimana yang diperintahkanNya.

Begitulah sebenarnya saudara-saudaraku lumrah kehidupan yang AlLah SWT ciptakan di dunia fana ini sentiasa menuntut ia akan pengorbanan bagi menguji keyakinan para hambaNya yang benar-benar beriman dengan hari akhirat. Ada kalanya pengorbanan tersebut terlalu mahal harganya mengikut kacamata biasa nilaian dunia, tetapi insyaAlLah akan ada manusia yang beriman tetap menyahut tuntutannya sebagai hambaAlLah di sepanjang masa. Firman AlLah bermaksud ;

`Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.`

- Az-Zaariyat 56.

Tuesday, December 9, 2008

MISI TAMAT DI TERENGGANU..!!

Tanggal 1 Dis, 2008 tarikh akhir saya berada di Terengganu dan telah menyerahkan tugas setelah menyiapkan tugas pengambilahan tapak projek & ‘setup’ pengurusan projek pengubahsuaian rumah keluarga ATM di 18 RAMD, Seberang Takir, Terengganu. Hampir 3 bulan berada di Terengganu & pada masa yang sama Terengganu dilanda banjir. Dari KL ke Terengganu balik melalui Kelantan, Gerik dan terus ke Perlis. Sepanjang perjalanan pulang hujan lebat dan kami terpaksa mengharungi banjir. Di Marang kami terpaksa mengharungi banjir sepanjang 2km yang hampir 3 kaki dalam dan terpaksa mengekori belakang lori bagi mengurangkan ancaman banjir. Kami tiba di Kuala Terengganu jam 5 pagi dan berehat semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis.

Keesokannya pula kami memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Perlis melalui Kelantan yang mana kami sekali lagi terpaksa mengharungi banjir di Setiu dan Jeli. Walau bagaimanapun kenderaan boleh melalui jalanraya kerana banjir telah mulai surut, cuma ditepi-tepi jalan air masih kelihatan dikiri kanan jalan. Kami selamat tiba di Perlis jam 10 malam. Alhamdulillah sepanjang perjalanan kami tidak menghadapi sebarang masalah besar.



Melalui sempadan Pahang Terengganu, sepanjang perjalanan hujan lebat.

Pemandangan waktu pagi di Kerteh, Terengganu.

Merentasi banjir di Setiu, kiri kanan jalan masih dinaiki air.

Berhenti rehat di Banjaran Titiwangsa ketinggian 1050m dari paras laut,
Lebuhraya Timur Barat.


Coretan kembara perjalanan menaiki kembara…!!

Tuesday, December 2, 2008

DOA ISTERI KUNCI KEJAYAAN SUAMI

Bagi membentuk keluarga bahagia, isteri perlu berdoa supaya keluarganya hidup dalam harmonis, diberi keselamatan dan kekuatan iman. Doa seorang isteri untuk suami memang mustajab kerana jika wanita bermunajat, ia memang ikhlas.

Sebelum suami ke tempat kerja, isteri mendoakan kejayaan ketua rumah tangga itu. Insya-Allah, dengan keikhlasan isteri, doa itu akan dimakbulkan dan suami mendapat kejayaan. Usaha yang disusuli dengan doa adalah faktor yang memberi kebahagiaan kepada rumah tangga.

Fenomena dalam masyarakat hari ini, menunjukkan kebanyakan pasangan hanya menampakkan kecantikan luaran dan tidak mengutamakan kecantikan dalaman. Ada pasangan yang hanya mahu tampil cantik lahiriah hingga mengabaikan kepentingan dan kehendak suami. Misalnya, isteri mahu kekal cantik tanpa menjaga makan minum suami hingga semuanya diserah kepada amah.Kadangkala suami pulang kerja kepenatan tetapi si isteri sibuk dengan kelas gim atau yoga.

Mana-mana suami suka jika pulang bekerja, mereka disambut dengan senyuman dan rumah yang kemas. Jika isteri cantik tetapi rumah tangga tidak terurus, anak tidak terjaga pakaian dan makan minumnya, ia akan menyebabkan suami cepat bosan dan tidak selesa di rumah. Justeru, sebagai isteri, mereka perlu tahu cita rasa suami dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana rumah adalah tempat terbaik bagi memupuk kasih sayang keluarga.

Dalam usaha melahirkan keluarga bahagia, selain suami berperanan menjaga dan bertanggungjawab terhadap makan minum, isteri ada peranan tersendiri. Untuk menjadi isteri dan ibu cemerlang kepada sebuah rumah tangga bahagia, peranan wanita memang penting.

Jangan meminggirkan peranan isteri kerana mereka adalah kunci kebahagiaan suami. Isteri yang bijak, bukan saja mampu menjadi wanita yang cantik dari segi luaran dan dalaman tetapi berperanan dalam semua aspek.

Walaupun mereka memegang jawatan besar di syarikat, harapan yang disandarkan suami untuk menjadi suri terbaik dan ibu cemerlang mesti ditandai dengan kehebatannya menangani masalah anak-anak kerana ia melahirkan generasi masa depan yang cemerlang. Wanita harus menjadi golongan yang serba boleh sama ada di pejabat mahupun rumah.

Kehebatan sesebuah keluarga banyak dipengaruhi perawatakan isteri yang bukan saja seorang wanita tetapi ibu dan isteri. Jika anak-anak yang lahir itu mulia akhlak dan hebat dalam pendidikan, ia menggambarkan betapa hebatnya peranan isteri membentuk mereka menuju kegemilangan. Ini sekali gus membawa mereka menuju kecemerlangan rumah tangga.

Oleh yang demikian, para isteri juga jangan lupa mendoakan agar sisuami ditetapkan iman..takut-takut bila menerima kejayaan lupa pula langit dan bumi..!! Untuk renungan kita bersama..!!

Monday, December 1, 2008

SEPETANG DI KUALA LUMPUR

Ahad 30 Nov, 2008, jam 5 ptg dari Wangsa Maju ke Sg.Buloh melalui Bt. Cave & Selayang..!!

Kenderaan bergerak perlahan dalam traffic jam yang jaraknya dalam 2km..!!

Sudah hampir 1/2 jam berada dalam kesesakan jalan raya, mungkin ada kemalangan atau pemeriksaan polis ataupun ada penyelenggaraan jalanraya dihadapan, mungkin..!!??

Semasa melalui sebuah taman tertulis "PADANG PERMAINAN LAYANG-LAYANG", rupa-rupanya kenderaan sesak disebabkan layang-layang di atas kepala..!!
"SEPETANG DI KUALA LUMPUR"

Saturday, November 29, 2008

LIMA CARA MEMILIH SAHABAT


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.


Petikan artikel dari seorang sahabat.

Friday, November 28, 2008

ETIKA PERNIAGAAN : MEMUPUK BUDAYA KESELAMATAN

Suatu aspek yang sering dilupakan oleh kebanyakan syarikat perniagaan termasuk jabatan-jabatan yang berkenaan ialah keselamatan di tempat kerja dan tempat-tempat kunjungan awam seperti di tempat peranginan atau pengangkutan awam. Sebab utama kemalangan ialah kerana tidak wujud budaya keselamatan atau sikap ‘ingat sebelum kena’ dalam syarikat, jabatan, di kalangan pengurus, kakitangan organisasi, serta orang awam yang terlibat. Yang wujudnya ialah kesilapan pengurusan dan pengurusan tidak berfungsi. Kedua-dua ini berlaku sebahagian besarnya kerana salah cara berfikir tentang kemalangan. Kemalangan diberi nama ‘tragedi’ .Tragedi tidak dapat dielakkannya. Oleh itu difikirkan tidak ada apa-apa yang boleh dibuat untuk mengelakkannya. Tetapi harus diingati bahawa sikap berjaga-jaga dan usaha menjalankan pembikinan (maintenance) alat-alat yang terlibat secara regular akan mengurangkan kekerapan dan darjah seriusnya sesuatu kemalangan berlaku. Tetapi budaya ini hanya boleh dipupuk melalui kesedaran tentang prinsip-prinsip pengurusan yang utuh.

Akhir-akhir ini kita sering menyaksi dan mendapat tahu melalui media massa banyak kes tragedi yang melibatkan kematian atau kecederaan akibat daripada ‘kemalangan’ seperti keruntuhan bangunan, keruntuhan jalan bukit, kebakaran tempat awam dan perlanggaran kenderaan atau pengangkutan awam. Memang di akhir bahawa sesetengah daripada ‘kemalangan’ ini disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan manusia seperti hujan lebat selama beberapa hari yang menyebabkan keruntuhan sebahagian bukit, tetapi kebanyakan daripada tragedi ini adalah kerana kecuaian, kelalaian atau kealpaan manusia. Dalam bukunya Global Disasters, Allinson (1993) menegaskan bahawa boleh dikatakan hampir semua kemalangan adalah berpunca daripada kesilapan dalam pengurusan (mismanagement) atau mencerminkan pengurusan yang tidak berfungsi (dyfunctional management). Kedua-dua ini berlaku sebahagian besarnya, kerana salah cara berfikir tentang sesuatu. Pertama, terdapat kepercayaan yang meluas bahawa kemalangan atau ‘tragedi’, (label yang selalu diberi) tidak dapat dielakkan. Kepercayaan ini berasaskan beberapa idea dan rangkai kata. Oleh itu, syarat pertama untuk memulakan meneliti mengelakkan tragedi ialah menyenaraikan dan membuang idea dan rangkai kata yang membuai pihak pengurusan dalam pemikiran bahawa kemalangan atau tragedi tidak dapat dielakkan. Dalam menganalisis empat kemalangan korporat yang besar (yang meliputi kemalangan kapal angkasa Challenger), Allison mendapati pihak pengurusan tidak nampak perkaitan di antara asas-asas pengurusan yang lemah dan ‘kemalangan’ yang berlaku. Biasanya tidak terdapat rangkaian arahan yang jelas, pembahagian tanggungjawab, komunikasi yang berjalan dengan licin, arahan atau perintah bertulis. Oleh itu, pihak pengurusan atas perlulah lebih peka terhadap tanggungjawab moralnya menentukan sistem pengurusan yang betul dan berpandukan etika diwujudkan. Dengan lebih khusus, satu sistem pengurusan yang berstruktur perlulah diadakan untuk mengelakkan suasana beretika dalam organisasi yang menekankan keselamatan.

Mengikut Allinson lagi, banyak perbincangan menyebut konsep “kesilapan manusia” (Human error) yang mana meletakkan kesilapan atau tuduhan berlakunya sesuatu tragedi ke atas bahu seseorang atau orang-orang tertentu. Pendekatan ini cenderung mengelak dari menyebut faktor pengurusan secara terasing daripada rangkaian atau sistem faktor-faktor penyebab yang saling berinteraksi. Apabila terdapat usaha yang kuat untuk mengelak tuduhan atau menunding jari kepada seseorang individu atau kumpulan sebagaimana dalam kes yang menuduh “kesilapan juruterbang”, maka ini dipanggil ‘mencari salah’ (scapegoating). Mencari salah tidak dapat menolong mengelakkan tragedi daripada berulang, cuma hanya seolah-olah mewujudkan satu penyelesaian. Oleh kerana ‘kesilapan manusia’ atau ‘faktor manusia’ senantiasa ada, maka tidak ada apa-apa yang boleh dibuat, dan rangkai kata yang selalu disebutkan akan terus disebut ‘kita semua membuat kesilapan’, ‘ tiada manusia sempurna’, ‘dia hanya manusia biasa’. Oleh itu tragedi dikatakan dapat dielakkan.

Penggunaan perkataan “tragedi” juga menunjukkan betapa kuatnya pengaruh perkataan : ‘tragedi’ membawa makna ‘tidak dapat dielak’ bukan sahaja sesuatu peristiwa yang menjadi tumpuan, tetapi juga peristiwa-peristiwa yang serupa dan banyak lagi yang akan berlaku. Jadi tanggungjawab dengan senang sahaja dibatalkan atau dihapuskan dengan menggunakan perkataan ‘tragedi’. Sebagaimana kata Allison, contoh terbaik ialah kemalangan Bhopal yang selalunya dirujuk sebagai tragedi Bhopal. Jadi,sebagai tragedi, kejadian ini dipanggil ‘nasib’ atau ‘telah ditentukan’ dan respons yang boleh diambil ialah hanya menerimanya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan kepercayaan bahawa ‘kemalangan tetap akan berlaku’ atau ‘tidak boleh dielakkan’. Sikap atau kepercayaan begini tidak hairanlah menjadi satu penghalang kepada usaha menggubal satu program yang menyeluruh dalam pengurusan pengekalan kemalangan (disaster prevention management).

Harus diingati bahawa tidak ada orang yang mengatakan bahawa kesilapan manusia boleh dihapuskan sama sekali. Apa yang ditekankan ialah kesilapan manusia boleh dikurangkan ketahap minimum. Malah satu daripada hasil pengurusan pengelakan kemalangan ialah mengurangkan kekerapan dan kesan kesilapan manusia. Begitu juga dengan kemalangan. Kita tidak mengatakan bahawa kemalangan tidak akan berlaku. Apa yang dihujahkan ialah membuang kepercayaan karut daripada rangkai kata “kemalangan tetap akan berlaku” dan menukarkannya dengan kata-kata “kemalangan korporat secara global adalah sebahagian besarnya bukan kemalangan , tetapi hampir semuanya fungsi pengurusan yang salah (mismanagement)”.

Pemikiran yang mencari sebab tunggal untuk sesuatu kemalangan (pemikiran ‘monocausal’) juga adalah simplistik. Contohnya adalah seperti yang diberi oleh Pratley (1995). Pada 4 Oktober 1992, sebuah kapal terbang pengangkut barang Boeing 747 EI AI kehilangan satu enjin semasa sedang mendaki perlahan-lahan selepas meninggalkan lapangan terbang Schiphol. Enjin yang jatuh menimpa pula enjin berdekatannya dan menyerpihkannya. Akhirnya kapal terbang itu jatuh beserta dengan lebih separuh daripada had minyak bahan bakarnya ke atas satu blok rumah pangsa di kawasan luar bandar Amsterdam, membunuh sambil membakar anak-anak kapal dan kira-kira 50 orang penghuni rumah pangsa tersebut.

Kejadian ini disebabkan oleh interaksi beberapa peristiwa, tindakan dan keadaan yang malang. Walau bagaimanapun, laporan kemalangan itu mengatakan bahawa faktor penyumbang utama ialah kesilapan dalam rekabentuk kancing besi (bolt). Pembuat kapal terbang, Boeing, boleh dipersalahkan kerana kesilapan ini dan kerana mengambil masa untuk mencari kesilapan itu. Tetapi adalah merupakan satu reaksi yang keterlaluan untuk menuduh Boeing kerana keseluruhan rangkaian peristiwa yang membawa kepada kemalangan itu. Boeing hanya patut dipersalahkan kerana kesilapan rekabentuk dan kecuaian serius dalam kawalan mutu, kerana kelemahan Boeing dalam hal ini telah menyebabkan enjin pertama terserpih. Tetapi kesemua peristiwa yang berikutnya tidak dapat dipersalahkan Boeing sahaja, walaupun kemalangan itu tidak akan berlaku jika rangkaian peristiwa-peristiwa yang berlaku tidak dicetuskan oleh kesilapan penting di pihak Boeing. Namun begitu, satu pengajaran besar boleh didapati di sini : adalah satu menjadi perkara penting bagi sesebuah syarikat memperbaiki rekabentuk produknya dan responsif kepada pandangan timbalbalik mengenainya. Dalam kes ini Boeing memang telah lama mengetahuinya.

Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah konsep tanggungjawab moral, syarikat-syarikat akan bertindak mengikut setakat mana komitmen moral mereka terhadap kesejahteraan komuniti atau masyarakat umum.

Perspektif Islam Tentang Keselamatan

Etika keselamatan dalam Islam tidak lari daripada konsep tanggungjawab seseorang terhadap dirinya atau terhadap orang lain, di bawah jagaannya. Mengikut sejarah pemerintahan Islam, seseorang pemimpin yang baik dan adil mestilah antara lain, senantiasa memerhati dan mengambil tahu secara menyeluruh hal ehwal pejabat atau negara yang ditadbirnya. Dalam satu laporan, Khalifah Umar AlKhattab, di zaman pemerintahannya pernah mengatakan bahawa beliau takut jika seekor baghal terjatuh daripada jalan di kawasan pergunungan di Iraq dan patah kakinya, dan Tuhan kemudian akan bertanya kepadanya mengapa beliau tidak menturapkan jalan-jalan di kawasan tersebut. Riwayat ini menunjukkan bahawa seseorang pentadbir atau pengurus patut senantiasa memikirkan keselamatan orang-orang di bawahnya dan masyarakat umum walaupun mereka berada jauh dari pandangan mata. Khalifah Umar juga mengamalkan pintu terbuka terhadap rakyat dan untuk ini beliau menubuhkan satu pejabat untuk menerima dan meneliti apa-apa rungutan terhadap mana-mana pegawai kerajaan, termasuk gabenor dan hakim.

Khalifah Umar pernah berpesan kepada gebenor-gabenor yang baru dilantik supaya menekankan perkhidmatan kepada masyarakat, katanya :

“Dengar, sesungguhnya aku bukan menghantar kamu sebagai pemerintah dan orang berkuasa, tetapi aku menghantar kamu sebagai pembimbing agar manusia mengikut kamu. Berilah kepada orang-orang Islam hak mereka; jangan pukul mereka takut mereka terhina; jangan puji mereka takut mereka hilang disiplin. Jangan tutup pintu terhadap mereka takut yang gagah di antara mereka mencederakan yang lemah”.

Khalifah Ali b. Abu Talib pula pernah mengarahkan Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar supaya mengamalkan komunikasi yang regular dan berterusan dengan gabenor-gebenor lain, kommisioner dan pegawai-pegawai lain.

Ciri komunikasi begini dan sikap terbuka orang atasan adalah merupakan syarat-syarat penting dalam menangani apa-apa masalah dalam organisasi dan masyarakat. Sebagaimana kata Allison (1995), dalam kebanyakan kemalangan yang berlaku hari ini, terdapat sesuatu ketika atau tahap dalam organisasi di mana komunikasi terputus—sama ada orang berkuasa tidak menerima laporan, atau orang berkuasa menerima laporan tetapi tidak berbuat apa-apa, atau orang bawahan mendapat maklumat tetapi tidak menyampaikan kepada pihak atasan kerana orang atasan tidak mahu mendengar atau orang bawahan tidak merasakan maklumat itu penting untuk disampaikan ke atas.

Perasaan bertanggungjawab ke atas orang-orang di bawah jagaan masing-masing merupakan satu kreteria penting dalam menangani bukan sahaja masalah keselamatan, malah banyak masalah lain dalam keluarga, organisasi dan masyarakat. Mengikut satu Hadith, Rasullah s.a.w.pernah berkata :

“Setiap orang daripada kamu adalah penjaga, dan akan ditanya mengenai jagaannya. Pemimpin adalah penjaga ke atas rakyat dan dia akan ditanya mengenai rakyatnya; seseorang lelaki (suami) adalah penjaga ahli-ahli keluarganya dan akan disoal tentang jagaannya; perempuan (Isteri) adalah penjaga ahli-ahli keluarga (suaminya dan anak-anaknya) dan akan disoal mengenai jagaanmu.”

Jika arahan ini dihayati oleh mana-mana pengurus atau sesiapa saja anggota organisasi, banyak masalah yang melanda organisasi dan masyarakat akan dapat diatasi. Kita boleh bayangkan komunikasi akan berjalan dengan licin, semua lapisan organisasi akan mendapat maklumat dan bertindak menyampaikan maklumat atau berbuat sesuatu. Komitmen akan tetap ada terhadap keselamatan dan pengelakan berlakunya keadaan-keadaan berbahaya.

Apa yang jelas daripada sejarah Islam di atas ialah peranan orang atasan atau ketua pentadbiran dalam menjaga kebajikan orang-orang bawahannya. Dan apa yang dilakukan oleh seseorang ketua atau pemimpin sangat penting mengikut Islam kerana dia adalah Khalifah Allah yang diamanahkan menjaga dan menjalankan kebaikan dan kebajikan di dunia. Nilai-nilai pemimpin pula adalah nilai-nilai yang diharapkan dihayati daripada al-Quran dan Hadith.

Walaupun peranan pemimpin penting dalam menjaga keselamatan dan kebajikan secara umum, peranan semua tahap masyarakat tidak dilupakan mengikut pandangan Islam. Sebagaimana jelas daripada Hadith di atas, semua tahap dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab terhadap seseorang atau kelompok tertentu suami terhadap ahli keluarganya, isteri terhadap suami dan ahli keluarganya, anak terhadap ayah, pemimpin terhadap rakyat, manakala hamba abdi terhadap tuannya.

Oleh itu, jika semua pihak menyedari dan menunaikan tanggungjawab masing-masing, maka jika sesuatu potensi punca kemalangan mula dikenalpasti, sudah tentu ianya disampaikan ke pihak yang berkuasa mengambil tindakan segera. Dengan ringkas, azam untuk berkomunikasi (the will to communicate) tetap wujud di semua tahap keluarga, organisasi, mahupun masyarakat.

Budaya Keselamatan

Kajian mengenai kemalangan-kemalangan besar yang berlaku misalnya kemalangan kapal angkasa Challenger menunjukkan budaya korporat sebagai punca yang penting dalam rangkaian peristiwa-peristiwa yang mencetus kemalangan tersebut. Semenjak tahun-tahun 1980-an, teori pengurusan telah kecewa dengan limitasi kawalan ekonomi atau birokratik, dan dengan itu menekankan pemupukan budaya korporat sebagai menambah kawalan pengurusan. Melalui matlamat yang jelas, sistem makna atau nilai yang dikongsi bersama di antara pengurusan dan pekerja, perasaan terlibat dalam organisasi, keberkesanan organisasi dapat dipertingkatkan. Ringkasnya pengurusan patut mengurus budaya organisasi secara aktif kerana budaya boleh menerangkan kelakuan beretika atau tidak beretika (termasuk mengenai keselamatan dan kesihatan), di samping budaya itu sendiri dapat diubah melalui cara yang lebih komited dan dengan kemahiran.

Metodologi Pemupukan Budaya

Metodologi pemupukan budaya yang menyeluruh (unitary) memang telah terkenal dan bertapak dalam pengurusan. Proses ini meliputi strategi, falsafah dan misi korporat. Strategi ini tidak terhad kepada matlamat ekonomi sahaja tetapi termasuk pernyataan. “Apakah jenis organisasi yang syarikat mahu jadi – cirinya, nilai-nilai yang dipegangnya, perhubungan dengan pelanggan, pekerja, masyarakat setempat, dan pemegang saham. Nilai-nilai ini pula diterjemahkan sebagai kod etika yang lebih spesifik; diedar dengan meluas, disampaikan (communicated), dikuatkuasa dan disemak semula.

Disamping pemupukan budaya yang menyeluruh ini, ada pula pendekatan yang menekankan peranan sub-budaya dalam organisasi yang dipercayai lebih berkesan, dalam memberi kesedaran kepada golongan-golongan tertentu seperti ahli profesional. Sub-budaya mampu menjadi punca penyeliaan dan kritik ke atas golongan-golongan lain yang kurang beretika dan menyebabkan kemalangan dalam organisasi. Pendekatan ini tidak memberatkan budaya korporat yang menyeluruh yang bergantung kepada pihak pengurusan sebagai arkitek kod moral, tetapi menggalakkan anggota-anggota sub-budaya berkenaan supaya meningkat kesedaran nilai etika yang masing-masing memegang atau membawa ke dalam organisasi (Sinclair, 1993).

Rumusan

Artikel ini tidak bertujuan menambahkan polemik atau perdebatan tentang pendekatan mana lebih berkesan, sama ada pendekatan budaya menyeluruh atau sub-budaya. Tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah teori dan amalan pengurusan mempunyai peranan penting dalam pemupukan budaya (atau etika) keselamatan dan harus digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam keselamatan dan kesihatan pekerja dan semua pihak yang mempunyai kepentingan (stakeholders) termasuk masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, apabila syarikat, jabatan atau organisasi memberikan tumpuan kepada etika keselamatan, harus diingat bhawa etika keselamatan hanya merupakan satu aspek tanggungjawab moral. Tanggungjawab moral seseorang adalah lebih luas daripada keselamatan atau kesihatan pekerja dalam industri-industri tertentu. Tanggungjawab moral meliputi semua ‘stakeholder’ yang berinteraksi secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana organisasi (misalnya orang awam yang mungkin menjadi mangsa kemalangan yang timbul dari amalan yang tidak beretika sesebuah syarikat). Oleh itu pendidikan dan latihan dalam etika dan tanggungjawab sosial korporat harus menjadi agenda penting bagi jabatan-jabatan, jawatankuasa-jawatankuasa, organisasi-organisasi yang bertanggungjwab dalam keselamatan dan kesihatan, termasuk juga syarikat-syarikat perniagaan yang mana merupakan majikan kepada pekerja-pekerja.

Sekian, untuk maklumat dan renungan kita bersama..!!

Thursday, November 27, 2008

INFO PASAL RAMBUT...!!

Apa itu rambut..!
  • Rambut diperbuat daripada bahan kimia yang dikenali sebagai keratin, iaitu bahan yang sama yang digunakan untuk membuat kuku.
  • Rambut dibina oleh satu struktur khusus iaitu papila yang terletak di dalam lapisan kulit. Papila dan bahagian akar rambut diselubungi oleh satu sarung yang dipanggil folikel.
  • Bahagian batang rambut (hair shaft) adalah struktur yang berada di atas permukaan kulit. Ia terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu, dari luar ke dalam, kutikel, kortek dan medula.
  • Seluruh badan kita dilitupi oleh rambut kecuali bibir, tapak tangan dan tapak kaki. Struktur rambut di bahagian kulit kepala, bahagian atas dan bawah bibir, ketiak dan kelangkang (groin) selalunya adalah lebih tebal. Manakala di bahagian lain pula, rambut adalah lebih halus dan dikenali sebagai bulu atau velus (vellus).
  • Sehelai rambut boleh membesar selama lima tahun dan kemudiannya kekal dorman selama 12 minggu sebelum ia mati dan gugur.

Syampu
Mitos pertama mengenai rambut adalah terlampau kerap bersyampu. Ini boleh menyebabkan rambut mengalami keguguran. Sebenarnya, cara anda menggosok kepala adalah penyebab utama rambut gugur. Cara menggosok kepala yang tidak betul akan mencabut akar rambut. Rambut yang gugur 50-100 helai sehari adalah perkara normal. Ini berlaku kerana rambut juga perlukan generasi. Jika jumlah rambut gugur lebih daripada jumlah yang dihadkan, maka anda mengalami masalah rambut gugur. Masalah itu terjadi mungkin disebabkan oleh fungsi tubuh anda terganggu, stress dan kurang vitamin.

Mayonis
Ada juga di kalangan wanita mengatakan bahawa mayonis adalah perapi rambut yang baik. Ia terbukti apabila ada di kalangan personaliti barat menggunakan cara yang sama untuk mendapatkan rambut yang cantik. Malahan cara ini sering menjadi ikutan dan terus meletakkan status petua sebagai berkesan.

Jika dilihat secara asasnya mayonis diperbuat daripada campuran telur, minyak dan cuka. Memang benar bahawa bahan-bahan ini adalah perapi yang baik. Tapi anda harus ingat, tidak semua rambut serasi dengan
bahan-bahan tersebut.

Misalnya bagi rambut berminyak, sebaiknya hindari penggunaan minyak yang banyak. Rambut yang kering dan kulit kepala yang sensitif pula, hindarkan penggunaan cuka. Ingat juga, setelah menggunakan mayonis sebagai perapi, basuhlah dengan bersih kerana dikhuatiri lubang pori-pori akan tersumbat.

Air hujan
Biasanya, air tadahan hujan dikatakan baik dijadikan air mandi dan membasuh rambut. Hal ini kerana, air tadahan datang daripada sumber semulajadi. Hujan yang turun daripada langit dapat ditadah terus menerus tanpa ditambah dengan
klorin.

Perkara ini mungkin praktikal pada zaman dahulu. Anda harus sedar, udara kini kotor. Banyak pencemaran terjadi di muka bumi. Awan pula menakung air yang datang dari bumi. Justeru, air hujan tidak boleh dikatakan bersih dan baik untuk rambut. Dikhuatiri air yang ditadah adalah air hujan asid.

Syampu bayi
Syampu bayi sering dianggap sebagai bahan yang mampu menjadikan rambut wanita dewasa kembali lembut seperti rambut bayi. Sebenarnya, tekaan anda itu salah. Satu-satunya kelebihan menggunakan syampu bayi adalah mata anda tidak pedih.

pH yang terdapat dalam syampu bayi lebih rendah berbanding pH pada syampu orang dewasa. Hal ini kerana kulit kepala bayi masih lembut berbanding kulit kepala orang dewasa. Penggunaan syampu bayi orang dewasa tidak berkesan kerana syampu bayi tidak mampu bekerja secara maksimum pada kulit kepala
orang dewasa.

Rokok
Ramai orang mengatakan bahawa merokok mengakibatkan rambut akan cepat beruban. Kenyataan ini benar sekali. Perokok bakal menanggung risiko cepat beruban 4 kali lebih besar berbanding mereka yang tidak merokok.

Air limau
Ada petua yang mengatakan perahan air lemon boleh mengilatkan rambut. Petua ini mungkin ada kebenarannya namun semuanya bergantung pada warna rambut anda. Sejak dahulu kala, air perahan lemon telah digunakan sebagai bleaching semulajadi pada rambut bewarna terang.

Seperti rambut warna perang atau coklat terang. Rambut yang diusap dengan air perahan limau nampak lebih berkilat jika terkena cahaya matahari. Namun begitu bagi rambut bewarna gelap, termasuk hitam, merah tua atau coklat tua, kilat rambut tidak berkilau.

Biar susah, jangan menyusahkan. !!

Tuesday, October 28, 2008

SEDIKIT TENTANG PERNIAGAAN...!!

Saya ingin berkongsi pengalaman bersama anda mengenai dunia perniagaan, baik apa jua bidang perniagaan yang anda ceburi samada secara sepenuh masa atau secara separuh masa. Ramai antara kita yang begitu teruja bila sebut untuk membuka bisnes atau menjadi ahli perniagaan. Ada yang membayangkan kemewahan sebagai ahli perniagaan, punya masa dan kebebasan masa, ada yang terbayang glamor bermain golf dan berkereta mewah serta lain lain lagi bayangan kemewahan. Itulah antara impian dan idaman setiap orang. Tanpa kita sedari dunia perniagaan itu sebaliknya penuh dengan masalah demi masalah yang perlukan minda yang pro aktif, bijak meramal apa yang bakal berlaku dan jati diri yang kuat.Ada juga bila sebut saja untuk membuka perniagaan ramai yang sanggup untuk menjadi rakan kongsi walaupun pada hakikatnya mereka tidak dapat menyumbang apa apa meskipun dari segi pemikiran tetapi bila sebut nak bisnes ….ramai yang berkeinginan untuk turut serta. Itulah tarikan glamor dunia perniagaan!!!

Selama saya menceburi dunia perniagaan saya dapati tidak ramai yang benar benar dapat melihat dan mencipta(create) peluang perniagaan. Itulah sebab kenapa ramai di sekeliling kita ingin memulakan perniagaan tetapi tidak tahu apakah yang ingin diniagakan. Saya berpendapat untuk anda menjadi seorang ahli perniagaan anda haruslah mempunyai keupayaan untuk mencipta(create) sesuatu perniagaan, jika tidak anda hanya sekadar akan meniru bentuk perniagaan orang lain tanpa sesuatu yang unik pada perniagaan anda. Kita ambil contoh mudah…..budaya tukar cover proposal perniagaan , saya sendiri pernah mengalami masalah ini dimana telah menyiapkan suatu proposal untuk sebuah perniagaan dan di hantar untuk kelulusan sebuah badan, akhirnya projek yang sama berjaya diperolehi oleh orang lain dengan menggunakan setiap apa yang beliau cadangkan di dalam Proposal Perniagaan ini. Inilah jenis yang saya katakan semua orang nak berniaga tapi keupayaan untuk mencipta peluang perniagaan tidak ada pada semua orang. Orang seperti ini boleh mencuri idea orang lain dan memulakan perniagaan tanpa perlu bersusah payah untuk memerah otak mencari peluang tapi AWAS dlam perniagaan andai anda tidak berupaya untuk mencipta peluang perniagaan anda akan menemui kesukaran untuk monitor dan membaca dengan tepat perjalanan perniagaan anda apabila masalah mula timbul.

Saya membaca sebuah buku.…penulis menterjemahkan erti Perniagaan = Masalah dan dalam hujahnya beliau berkata untuk anda berjaya dalam perniagaan anda haruslah menjdi seorang yang bijak dalam menyelesaikan masalah. Jika anda dapat menyelesaikan setiap masalah dalam perniagaan anda maka anda akan menjadi seorang business man yang hebat dan berjaya. Ramai juga yang berfikir mana, lebih baik perniagaan sepenuh masa atau secara sambilan? Pada saya ini terpulang pada bentuk perniagaan dan kesungguhan anda untuk melibatkan diri dalam perniagaan. Adakah anda sanggup untuk berhenti kerja semata mata untuk menjual air soya di warung tepi jalan? Atau anda sanggup berhenti kerja untuk membuka pusat pemprosesan air soya? Saya gunakan pusat pemprosesan bukan kilang pemprosesan kerana kilang mungkin terlalu besar untuk memulakan perniagaan. Bagi saya baik anda mulakan dengan suatu yang sederhana ke sesuatu yang besar dari anda berlaku sebaliknya.

Kelebihan anda memulakan perniagaan secara sepenuh masa membolehkan anda untuk memberi tumpuan yang lebih bagi memastikan kejayaan perniagaan anda. Bak kata..kalau syarikat tidak menguntungkan habislah anda…itulah satu2nya sumber pendapatan anda, jadi anda perlu sentiasa berfikir dan mencari jalan keluar yang menguntungkan kepada setiap masalah yang timbul di dalam perniagaan anda. Tidak ramai yang berani mengambil risiko berhenti kerja dan terus mulakan perniagaan sendiri. Banyak kebimbangan yang timbul di dalam fikiran mereka rumah belum habis bayar, loan itu ini, anak sekolah, etc. Bagi saya untuk memulakan suatu perniagaan anda perlukan komitmen yang tinggi terhadap bidang yang anda ceburi. Namun yang paling utama ialah kemampuan anda mencipta peluang, kenapa saya tekankan mencipta peluang, kerana kebiasaannya orang bijak mencipta peluang akan sentiasa berlegar difikirannya peluang peluang baru yang boleh menghasilkan pulangan yang menguntungkan. Orang jenis ini apa saja anda berikan pada dia, dia akan nampak peluang untuk menghasilkan duit dari situ….atau lebih tepat kita katakan “he can turn stone into gold whenever he touch it”

Petikan artikel daripada seorang rakan untuk dikongsi bersama..!!

Thursday, October 16, 2008

TERINGAT BUAT ORDERS UNTUK ATTACK & DEFENCE..!!

Sudah lebih 12 tahun saya meninggalkan tentera dan pada tarikh 15hb. Okt, 2008, di 18 RAMD, Kem Pantai, Seberang Takir, Terengganu, saya mendapat panggilan telefon daripada CO 18 RAMD, memaklumkan iaitu GOC & Panglima 8 Bde akan meninjau perkembangan projek pengubahsuaian rumah keluarga yang sedang berjalan. Pada mulanya saya ingat wakil syarikat akan memberikan taklimat mengenai projek ini, tetapi apabila semuanya telah mengambil posisi masing-masing, saya telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai projek tersebut. Memandangkan saya ni bekas tentera, sahabat saya ni minta saya berikan taklimat kepada GOC Mej Jen Dato’ Md Nor & Panglima 8 Bde Brig Jen Azizan Md Delin, senior saya semasa di RMC dulu. Saya ingat lepas berhenti tak payah lagi nak bagi taklimat macam ni, rupa-rupanya kena buat jugak. Teringat kena buat orders untuk attack & defence....tapi sekali-sekala terasa binoculars tergantung kat leher...!!

Tuesday, October 14, 2008

TERENGGANU KITE....!!

Nama Negeri Terengganu semenjak yang diketahui adalah kekal disebut seperti namanya sekarang tidak berubah sebagaimana yang berlaku kepada Negeri Pahang dari nama"Indera Pura" dan Singapura daripada nama "Temasik" dan lain-lain negeri. Menurut cerita yang dikatakan dapat didengar daripada Marhum Baginda (Sultan Umar, Sultan Terengganu yang ke sembilan memerintah 1839-1875, kononnya pada zaman dahulukala sebelum negeri ini dikenali dengan Terengganu, ada suatu rombongan dari negeri Pahang mengembara di sebelah Ulu Terengganu kerana memburu. Apabila angkatan itu sampai ke sungai Terengganu Mati, seorang daripadanya ada berjumpa sebatang taring, kata seorang di antara mereka; "Taring apakah?, jawab seorang lain " Taring anu…" kerana tidak ingat hendak menyebut namanya, dan kisah perbualan antara mereka habis begitu sahaja.

Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu ada berjumpa pula dengan seekor rusa dan dapat dibunuhnya. Apabila orang-orang yang berjumpa rusa itu membawa balik perburuannya ke tempat perhentian mereka, maka bertanyalah masing-masing "di manakan dapat rusa itu? Jawab mereka yang berburu " di tempat taring anu". Ada pula di antara kumpulan itu berjumpa kayu gaharu, apabila ditanya; jawabnya di tepi sungai taring anu", lama kelamaan lekatlah dipanggil nama"Terengganu".Penulis ada juga mendengar cerita-cerita lain menyebabkan dinamakan "Terengganu". Seumpama cerita yang menyatakan asalnya daripada "Terang-nya-ganu"dan "terangnya anu" dan ada pula cerita yang menyatakan menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan"cahaya kilat yang memancar, di kaki langit" kejadian itu berlaku pada suatu malam kononya ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan, kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang di angkasa langit berhadapan dengan mereka disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat sebagai petir membelah bukit, sinar cahayanya terang-benderang itu sampai ke Kuala Terengganu, oleh kerana hendak memperingati had sempadan terangnya cahaya yang ganjil itu maka dinamakan tempat itu "Terang Ganu" kemudian manakala sudah menjadi negeri, dinamakan negeri itu "Negeri Terengganu" (terang hingga ke sana). Sama ada cerita ini benar atau tidak, belumlah dapat penyusun mengesah-kannya.
Kalau nak tahu lebih lanjut...datanglah ke Terengganu & tanyalah orang Terengganu...!! Brader Harris, Brader Md Zain & Brader Jamaludin Sayuti telah berada di Terengganu pada 14hb. Okt, 2008.

Wednesday, September 10, 2008

MASA ITU EMAS ATAU NYAWA...!!

Emas adalah satu jenis logam yang berharga dan sering menjadi satu ukuran kekayaan. Ianya juga menggambarkan betapa penting dan berharganya masa, maka masa itu diibaratkan seperti emas. Namun hakikatnya, masih ramai orang membuang masa tanpa melakukan perkara-perkara berfaedah. Adakah barangkali gambaran tersebut masih tidak membolehkan seseorang itu benar-benar terpanggil bagi menghargainya? Mungkin ada yang masih beranggapan bahawa masa itu tidak lebih daripada emas yang boleh didapati dikedai-kedai emas dan gagal menjadikan mereka benar-benar menghargainya? Barangkali ada kebenarannya, seperti kata pepatah “Seinci masa boleh beli seinci emas, tetapi seinci emas tidak boleh membeli seinci masa”.

Masa itu Nyawa..!! Mari kita renungkan sejenak “Sesaat berlalu, bermakna nyawa anda pendek sesaat.” Mari kita lihat kebenarannya, katakan umur anda sekarang 40 tahun, bermakna 350,400 jam bersamaan 40 tahun umur (nyawa) anda telah berlalu. Bukankah 350,400 jam itu adalah ukuran masa? Jelaslah disini bahawa masa tersebut merujuk kepada nyawa anda!! Peribahasa mengatakan bahawa kekayaan yang hilang dapat dicari semula jika rajin, kesihatan yang terganggu akan sembuh jika berubat, tetapi masa yang hilang terbuang tidak dapat dicari selama-lamanya.

Sedarilah, apabila anda membuang masa, sebenarnya anda membuang nyawa..!! Lebih malang lagi ada di antara kita yang “membuang nyawa” orang lain (buang masa orang lain). Kalau kita berjanji pukul 3, kita datang pukul 5, bermakna kita telah memendekkan umur kawan kita selama 2 jam…!! Oleh itu tepatilah masa agar kita tidak memendekkan nyawa sahabat kita..!! Marilah kita renung-renungkan…!!

Sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ansar, ayat 19:3, yang bermaksud : “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”.

“INGAT 5 SEBELUM TIBANYA 5 ; MASA LAPANG SEBELUM SIBUKMU, MASA MUDA SEBELUM MASA TUAMU, MASA SIHAT SEBELUM SAKITMU, MASA KAYA SEBELUM MISKINMU, DAN MASA HIDUP SEBELUM MATIMU”.

Monday, September 8, 2008

KEM SG.BESI

Sudah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke Kem Sg.Besi, tempat dimana saya pernah menjalani latihan sebagai pegawai kedet pada tahun 1980-1982. Pada minggu yang lalu saya berkesempatan masuk semula ke Kem Sg.Besi. Tetapi bukan untuk menjalani latihan tetapi untuk meninjau projek memasang pagar keselamatan di kem tersebut yang sedang dibina oleh seorang sahabat saya. Saya tidak menyangka bahawa selama ini kem tersebut tidak mempunyai pagar keselamatan sehinggalah saya sendiri meninjau pembinaan pagar tersebut yang dibina sepanjang 7,000 meter mengelilingi kem tersebut. Saya menyusuri sekeliling pagar tersebut daripada Bukit Besi sehinggalah ke Balakong. Saya teringat pula, kenangan 28 tahun yang lalu dimana saya menjalani latihan membaca peta, taktik, semboyan dan latihan merentas desa melalui kebun belimbing besi yang ada disini. Disinilah juga saya dikerah oleh Staff Sjn Mahmud memerah tenaga memanjat sand dune dan berlari untuk latihan tinju bersama-sama dengan Jalal,Harun,Razali,Md Akhir dan lain-lain yang mewakili SP Coy (Tempat secret training SP Coy). Saya sempat mengimbau kenangan lalu sambil meninjau projek memasang pagar keselamatan ini, tetapi tidak bersempatan untuk berjumpa dengan skot kerana agak sibuk sikit.

Tuesday, August 26, 2008

KETENANGAN DAN KEBAHAGIAAN DALAM KELUARGA

"WANITA (ISTERI) YANG PALING BAIK IALAH BILA KAMU MELIHATNYA, IA MEMBAHAGIAKAN KAMU, BILA KAMU PERINTAHNYA, IA TAAT AKAN PERINTAH MU DAN APABILA KAMU TIADA BERSAMANYA, IA AKAN SETIA KEPADA CINTA MU DAN SEGALA HARTA MU.

Al Quran Surah Al Rum Ayat 21 menerangkan objektif utama sesebuah perkahwinan ialah untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan kepada pasangan. Tiada siapa di dunia ini yang paling sempurna termasuklah suami atau isteri. Persoalannya adakan seorang suami dan isterinya itu, bertungkus lumus, membuatkan rumahtangga mereka sebagai syurga mereka? Adakah seorang isteri itu sentiasa menjaga dirinya daripada perangai perangai yang akan membuatkan suaminya lebih suka menghabiskan masanya di tempat kerja, warong, kelab dan sebagainya?Apakah tahap ketaatan yang telah ditetapkan oleh Syariat ke atas seorang isteri terhadap suaminya? Hadis Rasullullah telah menyebutkan "Sekiranya aku disuruh memerintah sesiapa untuk sujud kepada seseorang, nescaya aku akan suruh si isteri untuk sujud di kaki suaminya. Tetapi sekiranya suami mu menyuruh kamu isterinya melakukan perkara perkara yang dilarang oleh Syariat, maka si isteri tidak payah mematuhi perintah itu terhadapnya. "

Pesannya lagi :

Adalah sangat digalakkan, suami menganjurkan masa-masa tertentu untuk dihabiskan hanya dengan isterinya tanpa ada gangguan dari anak anak, sahabat handai dan keluarga lain. Masa dan waktu (privacy) inilah dimana kasih sayang mesti dibaja, dipupuk dan disemai untuk membuahkan kasih yang berkekalan dan ketenangan yang diharapkan di dunia ini. Ini juga dikira ibadah dalam Islam. Adalah tidak salah, sekiranya suami dan isteri memadu kasih bersama-sama di tempat pilihan mereka , mandi bersama, minum dari cawan yang sama, suap menyuap di antara satu sama lain serta menukar hadiah-hadiah terutama sekali bila tiada tarikh tertentu dan tiada bersebab. Hadiah-hadiah itu (walaupun hanya sekuntum bunga) akan mengeratkan lagi rasa hormat, kasih dan tanggung jawab isteri terhadap kekasihnya dunia dan akhirat.

Si Isteri hendaklah menunjukkan sikap kemanjaan dan kemesraan terhadap suaminya dan sentiasa memahaminya.

Ciuman dari suami itu adalah syurga buat si isteri, balaslah kasihnya dengan ciuman kasih sayang.Sentiasa menjaga rahsia suami dan janganlah bercerita kepada orang lain walaupun keluarga dan adik beradiknya sendiri.

Tunjuklah tanda hormat terhadap ahli ahli keluarga suami terutama ibu bapanya dan jangan sekali-kali menunjukkan protes apabila suami berkunjung atau menziarahi keluarganya. Sentiasa menghargai pengorbanan suami dan juga mengutamakan suami dalam apa juga situasi dan keadaan.

Akhir kata, sekiranya kedua dua suami dan isteri itu menjadikan niat berumahtangga mereka atas dasar kerana Allah semata-mata, maka pasangan itu akan dapat mencapai kebahagian yang diidam-idamkan untuk berjaya di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

Wallahualam...!!

Monday, August 25, 2008

PENGALAMAN TERKANDAS DI LEBUHRAYA PLUS

Pada 20 hb. Ogos 2008 bersamaan hari Rabu yang lalu saya telah menemani anak lelaki saya untuk balik ke Kuala Lumpur setelah beliau menghabiskan cuti semesternya di Perlis. Kami memulakan perjalanan dari Perlis lebihkurang jam 9 pagi melalui lebuhraya K.Perlis – Changlun dan seterusnya melalui Lebuhraya PLUS Bkt Kayu Hitam – Kuala Lumpur. Anak saya memandu kenderaan Perodua Kembara yang digunakannya untuk berulang-alik ke Institiut Perguruan Ilmu Khas di Cheras. Semasa dalam perjalanan saya singgah di Taiping untuk menziarahi bapa saya kerana sudah agak lama saya tidak menemuinya.

Kemudian kami meneruskan perjalanan, dan saya mengambil kesempatan untuk singgah pula dirumah adik saya di Bt.Gajah. Saya juga mengambil kesempatan untuk memeriksa kenderaan disini dan semuanya dalam keadaan baik. Pada jam 6 ptg kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan selepas Perhentian Tapah lebihkurang 10 km ke susur keluar Tg. Malim, kenderaan kami mengalami kerosakan. Lebihkurang 10 minit kami berada disitu beberapa buah trak tunda telah sedia untuk menunda kenderaan kami tetapi bayarannya yang dikenakan agak tinggi. Saya terus menghubungi adik saya di Ipoh dan beliau menasihati saya supaya tidak menggunakan trak tunda tersebut.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah trak peronda PLUS berhenti dan saya meminta bantuan untuk menarik kenderaan kami ke susur keluar Tg Malim. Pemandu yang bertugas En Izam dan En Manoharan membantu kami dan kami selamat tiba di susur keluar Tg Malim lebihkurang jam 9.30 mlm. Kemudian adik saya telah menghantar trak tunda untuk ditarik balik ke worksyop di Bt.Gajah sebuah worsyop kenalan adik saya. Kami tiba di Bt.Gajah lebihkurang jam 2 pagi dan bermalam di rumah adik saya pada malam tersebut. Pada keesokannya kami ke worksyop dan dimaklumkan iaitu kenderaan kami mengalami masalah putus ‘timing belt’ dan bayaran yang dikenakan juga berpatutan. Kenderaan kami memakan masa 2 hari untuk dibaiki kerosakannya. Saya difahamkan, adakalanya trak tunda dan worksyop akan mengenakan bayaran yang tinggi kerana pada masa itu kita tidak mempunyai pilihan dan bayarannya boleh mencecah beribu-ribu ringgit. Alhamdulillah, di atas bantuan peronda PLUS dan juga bantuan adik saya, kenderaan saya dapat dibaiki semula dan anak saya dapat menggunakan kenderaan ini pada hari Sabtu yang lalu.

Sunday, August 24, 2008

MANUSIA BERTANYA AL-QURAN MENJAWAB..!!

KENAPA AKU DIUJI?

Surah Al-Ankabut ayat 2-3
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:" Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

KENAPA AKU TIDAK MENDAPATKAN APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

Surah Al-Baqarah ayat 216
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

Surah Al-Baqarah ayat 286
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

RASA KECEWA?

Surah Al-Imran ayat 139
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) , jika kamu orang-orang yang beriman.

BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA?

Surah Al-Imran ayat 200
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.

Surah Al-Baqarah ayat 45
Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',

APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?

Surah At-Taubah ayat 111
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

Surah At-Taubah ayat 129
Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Ilah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal.

AKU TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

Surah Yusuf ayat 87
Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.

Surah An-Nisaa' ayat 86
Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.

Pesan Hasan Al-Banna:

"Sesungguhnya amanah yang ada itu lebih banyak dari waktu yang tersedia, untuk itu bantulah saudaramu dalam menyelesaikannya serta sederhanakanlah apa yang bisa disederhanakan" saat tak seorangpun paham perasaanmu, berlarilah padaNya.

Wallahualam.