Thursday, December 24, 2009

TAHNIAH AYESHA SHAHIRA YANG MENDAPAT 8A DALAM PMR

Pada 24hb. Dis, 2009, keputusan PMR untuk tahun 2009 telah dikeluarkan. Satu-satunya anak perempuan kesayanganku yang juga menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Alhamdulillah, berkat doa, kesungguhan dan dedikasinya dalam pelajaran, beliau telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, dengan keputusan 8A dalam PMR.

Keputusan yang diperolehi hari ini adalah sebagai titik permulaan untuk Ayesha terus berjaya dalam pelajaran. Teruskan tekad dan berusaha lebih gigih lagi kerana dihadapan kita masih banyak lagi cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi. Baba, sentiasa mendoakan kejayaan untuk Ayesha dan sentiasa menyokong demi kebaikan dan kejayaan Ayesha.

Tahniah Ayesha, I Love u always….!

Sunday, December 20, 2009

PERTEMUAN RAKAN-RAKAN SKOT MENGHADIRI MAJLIS KENDURI PERKAHWINAN ANAK-ANAK BOLEH DIJADIKAN ACARA DALAM AKTIVITI TJT 21



Pada 19hb. Dis, 2009, saya telah sama-sama dengan rakan-rakan skot tjt 21 menghadiri majlis kenduri perkahwinan anak kepada Mej(B) Harun Din di Penaga, Pulau Pinang. Pada mulanya saya tidak menjangka kehadiran rakan-rakan daripada KL yang penuh komited datang dari jauh semata-mata ingin mengunjungi rakan-rakan yang menganjurkan kenduri perkahwinan anak disamping bersua muka dengan rakan-rakan yang telah bersara atau yang berkhidmat di kawasan sekitarnya. Pertemuan ini telah menjadikan kita lebih akrab walaupun ada yang telah bersara dan mengikut hala tuju karier masing-masing. Saya dapat bayangkan kalau semua skot dapat menghadiri kenduri Harun Din pada hari tersebut maka suasananya mungkin lebih meriah dan rasanya ruang khemah yang disediakan mungkin tidak dapat menampung tetamu yang lain. Nasi minyak, kari kambing & ikan, ayam golek, ulam-ulaman & teh tarik yang disediakan rasanya keadaan mungkin berbeza.

Kemeriahan dengan suasana gembira terpancar diraut wajah masing-masing menceritakan segala-galanya. Dendangan lagu-lagu perkahwinan dan suara-suara tetamu lain tidak langsung menganggu perbualan rakan skot kita ini disamping mengimbau kenangan lama semasa dalam latihan di RMC dahulu & juga berkongsi pengalaman masing-masing. Kemesraan dan keakraban rakan-rakan skot tjt21 ini telah memberikan satu petunjuk bahawa kita semua amat prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain. Saya amat berharap suasana ini dapat diteruskan dan juga kepada rakan skot yang akan menerima menantu ditahun-tahun mendatang janganlah lupa menjemput rakan-rakan skot kita kerana kehadiran rakan-rakan skot akan memeriahkan suasana majlis itu nanti.

Tahniah & terima kasih Mej (B) Harun Din kerana menjemput kami.

Thursday, December 10, 2009

Wednesday, November 25, 2009

Monday, November 9, 2009

KISAH & TAULADAN

Pada 31hb. Okt, 2009 yang baru lalu saya telah dihubungi oleh seorang bekas pegawai RAJD dari KL yang saya amat kenali. Beliau telah memaklumkan kepada saya bahawa ada kisah salah seorang bekas anggota RAJD (Ex-Sappers) yang berada di Jitra dalam blog xnuripilot. Kisah mengenai anak kepada exsappers yang belajar di Sumatra yang menghadapi dilema selepas berlakunya gempa bumi disamping masalah kewangan untuk meneruskan pengajian disana. Setelah meneliti senarai keahlian Ex-Sappers Wilayah Utara, saya dapati Ex-Sappers yang dimaksudkan tidak ada dalam senarai. Saya terus menghubungi AJK Ex-Sappers dan cuba mendapatkan maklumat mengenainya. Saya akhirnya dapat berhubung dengan Ex-Sappers ini dan beliau mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan semua Ex-Sappers yang telah menghubunginya. Belia menceritakan kepada saya mengenai inisiatif pegawai TUDM yang pada mulanya telah membawa kes ini ke pengetahuan yang berwajib dan juga keperihatinan pegawai Ex-Sappers yang begitu mengambil berat dalam menyalurkan kes ini ke pengetahuan Ketua Jurutera untuk tindakan susulan. Akhirnya kes ini dapat diselesaikan dan kini anaknya telah diterima untuk menyambung pengajian di dalam Negara.

Daripada kes yang tersebut di atas, apa yang ingin saya kongsi dengan Ex-Sappers di Wilayah Utara ini ialah mengenai keperihatinan salah seorang bekas pegawai Ex-Sappers yang masih bertanggungjawab dan mengambil berat dalam hal-hal kebajikan terutamanya Ex-Sappers walaupun dimana mereka berada. Walaupun kita telah berhenti atau bersara dari RAJD dan menjalani kehidupan masing-masing sebenarnya ada insan yang masih mengambil berat terhadap Ex-Sappers. Jasa dan pengorbanan yang telah kita curahkan selama berkhidmat tetap dikenang dan dihargai. Penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap keperihatinan bekas pegawai RAJD, Lt Kol Basri Hj Omar (B) PGB yang telah menjadikan inspirasi kepada kami semua, di Ex-Sappers Wilayah Utara. Petikan sms yang saya terima daripada Lt Kol Basri berbunyi begini “Moga Allah Redha kerja ini dan juga kerana Allah..hari ini depa susah kita bantulah…tak boleh tolong dengan duit…tolong tenaga dan masa”. Sikap dan semangat beginilah yang kita harapkan agar dapat diterjemahkan melalui kerja-kerja kebajikan sebegini. Harapan kami juga agar ramai lagi dikalangan Ex-Sappers tidak kira samada pegawai atau LLP untuk tampil dan terus bantu membantu sesama kita. Jadikan sisa-sisa hidup kita ini sebagai seorang yang bermanafaat kepada orang lain dan mempersembahkan yang terbaik untuk dunia dan akhirat, mudah-mudahan…!!

Untuk renungan..!

Tuesday, September 29, 2009

DIMANAKAH KITA??

Ada lima jenis pekerja atau pemimpin untuk kita renungkan dan secara praktikalnya mempermudahkan pemahaman bagi kita mengukur dan menilai diri sendiri dan pekerja-pekerja dibawah tanggungjawab kita.

1. Pekerja atau pemimpin “Wajib”

Jenis pekerja atau pemimpin wajib ini mempunyai ciri-ciri yang disukai: kehadiranya, diperlukan, mesti ada sehingga ketiadaanya sangat dirasakan (rasa kehilangan).
• Dia sangat disukai kerana keperibadiannya yang sangat mengesankan, wajahnya yang selalu bersih, cerah dengan senyum tulus yang dapat membahagiakan sesiapa yang bertemu dengannya.
• Tutur katanya yang sopan tidak pernah melukai sesiapa pun yang mendengarnya, bahkan percakapannya sangat bijak, menjadi penyejuk bagi hati yang gersang, pembimbing bagi yang tersesat, perintahnya tidak dirasakan sebagai suruhan, orang merasa terhormat dan bahagia untuk memenuhi harapannya tanpa rasa tertekan.
• Akhlaknya sangat mulia, membuat setiap orang merasa bahagia dan senang dengan kehadirannya, dia sangat menghargai hak-hak dan pendapat orang lain, setiap orang akan merasa aman dan tenang serta mendapat manafaat dengan kehadirannya.

2. Pekerja atau Pemimpin “Sunat”

Ciri pekerja atau pemimpin jenis ini adalah : kehadiran dan keberadapannya memang menyenangkan, tetapi ketiadaannya tidak merasa kehilangan. Kelompok ini hampir mirip dengan sebahagian yang telah dihuraikan, berperestasi, budaya kerjanya baik, peribadinya menyenangkan, hanya sahaja ketika tiada, lingkungannya tidak merasa kehilangan, kenangannya tidak begitu mendalam. Seandainya kelompok kedua ini lebih berilmu dan bertekad mempersembahkan yang terbaik dari kehidupannya dengan tulus dan bersungguh-sungguh, nescaya dia akan naik peringkatnya kepada golongan yang lebih tinggi dan lebih utama.

3. Pekerja atau Pemimpin “Mubah”

Ciri khas pekerja atau pemimpin jenis ini adalah: ada dan tiada sama sahaja. Sungguh menyedihkan memang dengan kehadirannya tidak membawa erti apa pun baik manfaat ataupun mudarat, dan kepergianya pun tidak membuat orang merasa kehilangan. Pekerja jenis ini adalah orang yang tidak mempunyai motivasi, cincai sahaja, asal kerja, asal datang, tidak memikirkan kualiti, prestasi, kemajuan, perbaikan dan hal produktif yang lain. Sehingga kehidupannya pun tidak menarik, datar-datar sahaja. Sungguh menyedihkan jika hidup yang hanya sekali ini tidak bermakna. Mesti segera dipelajari latar belakang dan penyebabnya, seandainya boleh dimotivasikan dengan kursus, latihan, pertukaran kerja, mudah-mudahan boleh meningkatkan semangatnya.

4. Pekerja atau Pemimpin “Makhruh”

Ciri pekerja atau pemimpin kelompok ini adalah: adanya menimbulkan masalah, tiadanya tidak menjadi masalah. Bila dia ada dipejabat akan mengganggu kerja dan suasana walaupun tidak sampai menimbulkan kerugian besar, sekurang-kurangnya membuat suasana tidak tenang; ketenangan berkerja serta kerja yang baik berlaku jika dia tidak ada. Contohnya, dari penampilan dan kebersihan badannya mengganggu, kalau bercakap banyak sia-sianya, kalau diberi tugas dan pekerjaan selain tidak selesai, tidak memuaskan bahkan mengganggu kerja pekerja yang lain.

5. Pekerja atau Pemimpin “Haram”

Ciri khas kelompok ini adalah: kehadirannya sangat merugikan dan ketiadaannya sangat diharapkan kerana menguntungkan. Orang jenis ini adalah manusia termalang dan terhina kerana sangat diharapkan “ketiadaanya”. Tentu sahaja semua ini adalah kerana perilakunya sendiri, tiada perbuatan buruk yang tidak kembali kepada dirinya sendiri. Akhlaknya sangat buruk bagai penyakit kronik yang boleh berjangkit. Kerap memfitnah, mengadu domba, suka bercakap besar, tidak amanah, serakah, tamak, sangat tidak berdisiplin, pekerjaannya tidak pernah jelas ujungnya, bukan menyelesaikan pekerjaan malah sebaliknya menjadi pembuat masalah “trouble maker”.

Sila kita renungkan, adakah anda termasuk dalam kategori yang mana? Mudah-mudahan semua ini menjadi bahan renungan agar hidup yang hanya sekali ini anda boleh gunakan untuk mengubah diri dan mempersembahkan yang terbaik dan yang bermanafaat bagi dunia dan akhirat. Jadilah manusia yang “wajib ada”. Mudah-mudahan..!!


Untuk renungan kita bersama..!!

BOSS....!!

Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Sungguh cantik kain pelekat, dipakai orang pergi ke pekan.
Hari raya semakin dekat, silap dan salah mohon dimaafkan.

Berharap padi dalam lesung, cuma yang ada rumpun jerami,
Harapan hati bertatap langsung, cuma terlayang ekad ini.

Sebelum cahaya syurga padam, Sebelum hidup berakhir,
Sebelum pintu taubat tertutup, Kami mohon maaf dzahir dan bathin,

Mata kadang salah melihat,Mulut kadang salah berucap,

Hati kadang salah menduga,Maafkan segala kesilapan yang pasti ada..!!

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Dzahir & Batin.

"Mejasara"

Monday, September 14, 2009

MENYUBURKAN BATIN DENGAN HIDANGAN RAMADHAN

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita umur yang panjang untuk menikmati jamuanNya yang sangat hebat ketika ini, iaitu datangnya Ramadhan. Jamuan Allah SWT yang membuat orang putus harapan beroleh harapan, putus asa beroleh kebangkitan, yang hampir lumpuh semangatnya berkobar semula. Janji-janji Allah SWT pada bulan Ramadhan ini memang begitu dahsyat. Seumpama benih yang telah mati, tiba-tiba diberi baja yang membangkitkan kekuatan dahsyat sehingga apa pun layu dibuat segar kembali.

Kalaulah kita banyak menghadapi hidup ini dengan rasa berat, seakan-akan tipis harapan, maka Ramadhan adalah ketikanya dimana Allah SWT tidak akan mengecewakan hambaNya yang berharap dari keberkatan Ramadhan. Semestinya kita bersimbah air mata kerana sangat ingin menikmati jamuan Allah SWT pada bulan Ramadhan ini. Sepertinya kita melihat seorang dermawan yang kaya raya dan mulia akhlaknya akan menjamu seseorang dan ternyata kita akan merasa gembira sekiranya kita dijemput atau dijamu oleh orang yang sangat kita hormati dan segani.

Lebih-lebih lagi Ramadhan bukanlah jamuan dari makhluk, tetapi langsung dari Pencipta Alam Semesta Yang Maha Tahu lumuran dosa kita, Yang Maha Tahu segala derita dan harapan-harapan kita. Amatlah rugi sekiranya kita tidak termasuk orang yang merasa sangat gembira memasuki Ramadhan ini dalam keadaan bersedia.

Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib k.w. bertanya kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah, apakah amal yang paling utama pada bulan ini?” Jawab Rasulullah; “Ya Amirul Mukminin,amalan yang paling utama pada bulan ini ialah menjaga diri dari apa yang diharamkan oleh Allah SWT”.

Untuk renungan kita pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, semoga ibadah kita diterima oleh Allah SWT hendaknya.

Friday, August 21, 2009

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADAN AL-MUBARAK!!


AHLAN WASAHLAN !! RAMADAN AL-MUBARAK....ucapan 'selamat datang' untuk menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, tidak ubah seperti memuliakan tamu yang sangat dinanti-nantikan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK

Friday, July 3, 2009

AKU, KAU BERBEZA....,AKU, KAU ISTIMEWA..!!

LELAKI

Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN??

Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin ini.

Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung (ikut kajian laa..)

Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.

WANITA

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki.

Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??
Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya . Bukankah ibu adalah seorang wanita ?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya , manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH dimukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita :
1. ibunya ,
2. isterinya ,
3.anak perempuannya , dan
4. saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini :
1. suaminya,
2. ayahnya,
3. anak lelakinya dan
4. saudara lelakinya .

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja :
1. sembahyang 5 waktu
2. puasa di bulan Ramadhan
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya .

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. MasyaALLAH.. .sayangnya ALLAH pada wanita ....

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki , tetapi ingatlah wahai lelaki...kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin...maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya. ..supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA..

"Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.(Ali- Imran:103)

Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri "

Renung2 kan lah….!!

4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yg tidak memberikan hak kpd wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak2 perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya Dia membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dgn hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya. (p/s; Duhai lelaki yg bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang?. Adakah kau mengajarnya bersolat & saum?..menutup aurat?..pengetahuan agama?.. Jika tidak cukup salah satunya, maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka jahannam.)

2. Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul! bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan utk suami tapi utk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yg alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dlm neraka. (p/s; Duhai lelaki yg bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang?. Dimanakah dia? Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari'at, maka terimalah hakikat yg kau akan sehidup semati bersamanya di 'taman' neraka sana .)

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada,tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam,tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak. (p/s; Duhai lelaki yg mempunyai adik perempuan, jgn hanya menjaga amalmu, dan jgn ingat kau terlepas... kau juga akan dipertanggungjawabkan diakhirat kelak...jika membiarkan adikmu bergelumang dgn maksiat... dan tidak menutup aurat.)

4. Anak2 lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram disisi Islam. bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya...maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak....dan nantikan tarikan ibunya ke neraka. (p/s; Duhai anak2 lelaki.... sayangilah ibumu.... nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa.... krn ibu juga insan biasa... x lepas dr melakukan dosa...selamatkanlah dia dr menjadi 'kayu api' neraka....jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.)

Firman Allah S.W.T;

"Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu...."

Untuk renungan kita bersama..!!

Friday, June 26, 2009

AKIDAH TUNJANG UTAMA MUSLIM

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

TUNJANG utama Muslim menerima Islam sebagai sistem hidupnya ialah akidah dan ia perlu menepati prinsip digariskan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Penceramah agama, Zulkarnain Hamzah, berkata akidah yang benar dan sah menjadi syarat utama kepada pengakuan seseorang yang menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya.


"Beriman dan yakin bahawa pencipta alam ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain.

"Semua ini dapat dibuktikan melalui keindahan, kerapian dan keselarasan alam ciptaan Allah, yang mana setiap unit alam ciptaan Allah ini memerlukan unit yang lain untuk menjamin kewujudan dan kestabilannya.

"Satu unit daripada kejadian alam ini tidak mungkin wujud dalam keadaan stabil tanpa kewujudan unit lain," katanya dalam Program Pemantapan Iman, di surau The New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program sehari itu disertai lebih 100 warga kerja NSTP termasuk ahli keluarga. Turut hadir, Pengarah Pengeluaran NSTP, Tun Ibrahim Mohd Jafri. Restoran Ali Maju memberi sumbangan 10 hamper untuk program itu.

Zulkarnain yang juga moderator program Astro-Kalam Suci, berkata matlamat dan tujuan Allah menciptakan alam ini sukar difahami secara terperinci kecuali melalui rasul atau wahyu-Nya.

Beliau memetik ayat 115 dan 116 dari surah al-Mukminun yang bermaksud: "Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia."

Jika akidah menjadi syarat utama, ibadat pula adalah kemuncak daripada perasaan tunduk dan patuh kepada Allah.

"Ibadat juga adalah tangga penyambung antara makhluk dan Penciptanya. Selain itu, ibadat mempunyai kesan mendalam di sudut hubungan makhluk dengan Pencipta.

"Logik Islam menuntut supaya seluruh hidup ini adalah ibadat dan taat kepada Allah," katanya.

Perkara itu katanya, selaras dengan maksud firman Allah dalam surah adz-Dzaariyaat, ayat 56 dan 57, maksudnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku sesekali tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan."

Untuk renungan kita bersama.

Thursday, June 25, 2009

PANTUN PERTAMAKU


Aku masih ingat semasa dialam persekolahan dalam darjah 5, aku dan semua murid-murid dikehendaki mereka pantun masing-masing dan pada keesokan harinya kami dikehendaki membaca pantun masing-masing dihadapan kelas. Jadi bila balik kerumah aku meminta bantuan abang aku untuk memberikan aku pantun. Aku pun mendapat pantun yang diberikan oleh abang aku seperti di atas. Rupa-rupanya pantun aku yang menjadi popular dikalangan cikgu-cikgu di sekolah aku. Pantun ini mengingatkan aku kepada satu-satunya abang aku, Abang Mazlan yang kini telah kembali kerahmatullah. Al-Fatihah.

FALSAFAH

PERIBAHASA BERGAMBAR

Patah Hati

Ibu Ayam

Berkaki Ayam

Mulut Tempayan

Malu-malu kucing..!!

Monday, June 22, 2009

ARTIKEL DALAM MINGGUAN MALAYSIA 21 JUNE, 2009


Warkah buat anakku

Lahirnya anak-anak dalam sebuah keluarga adalah merupakan hari yang paling bahagia untuk kedua-dua suami isteri. Mereka akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Mereka akan berkorban apa saja demi anak-anak.

Kepada anak-anakku, percayalah bahawa kasih sayang yang bersemi dalam diri ini tidak sedikit pun luntur. Ayahmu ini sentiasa mengingati anak-anaknya dan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah walaupun kita berjauhan. Cuba bayangkan semasa saat-saat manis kita meluangkan masa bersama, belajar, bermain, melancung, membeli-belah, berkelah, bergurau, gelak ketawa, dan gembira bersama. Itulah saat kebahagiaan yang ayahmu dapat rasakan dan masih segar dalam ingatan ayahmu ini.

Tetapi apa yang berlaku di tengah-tengah perjalanan ini adakalanya diluar kekuasaan kita. Perpisahan ini bukanlah kehendak ayahmu yang sebenar-benarnya, hanya Allah SWT yang lebih mengetahui. Janganlah jadikan perpisahan ini sebagai dendam yang membara dalam diri anak-anakku. Janganlah kita menjadi hakim, dan janganlah pula kita menjadi pendakwa atau pembela. Tugas anak-anakku hanyalah menghormati ayahmu sebagai seorang ayah, hormatilah tanggungjawab yang ayahmu cuba laksanakan, hormatilah kasih-sayang yang ayahmu ingin berkongsi dengan anak-anaknya.

Ingatlah anak-anakku, seorang ayah akan merasa gembira apabila anak-anaknya gembira, seorang ayah akan merasa bangga bila anak-anaknya berjaya, seorang ayah akan menutup mata dengan aman apabila anak-anaknya mendoakannya. Tetapi seorang ayah akan merasa sedih apabila anaknya bersedih, seorang ayah akan merasa kecewa apabila anaknya gagal, seorang ayah akan merasa berdosa apabila anak-anaknya tidak mendoakannya.

Setiap racun ada penawarnya, setiap kesilapan ada puncanya, setiap dugaan akan ada kenikmatannya.

- Untuk tatapan anak-anakku..!!

Baba, Perlis.

Buat semua insan bergelar bapa,

Kasih bapa sepanjang masa, walau jauh di mata tetapi dekat di hati. Jika patah tidak akan tumbuh lagi, jika hilang tiada berganti, dia satu-satunya di bumi ini, tiada dua atau tiga. Demikian besarnya pengorbanan seorang bapa. Selamat hari bapa..

- Puteri

Petikan Artikel Mingguan Malaysia, Ahad 21 Jun, 2009

ARTIKEL DALAM MINGGUAN MALAYSIA 21 JUNE, 2009


kecewa sikap ayah

Bersama Putri

Pada 21 Jun, 2009 (hari ini) kita akan menyambut Hari Bapa. Pada tahun ini saya bercadang untuk balik ke kampung untuk menziarahinya ayah sempena Hari Bapa.

Tetapi pada minggu yang lalu, saya mendapat panggilan telefon daripada ayah, yang beliau akan datang kerumah saya. Saya amat bersyukur kerana ayah tidak pernah datang ke rumah saya selama ini semenjak saya berpindah ke sini. Ini kerana sepanjang hidup saya, ayah hanya pernah berkunjung ke rumah saya hanya dua kali sahaja semasa saya di Melaka.

Mungkin kerana beliau terlalu sibuk dengan anak-anaknya yang lain, atau tidak berupaya untuk perjalanan yang jauh.

Atau mungkin beliau tidak mahu mengganggu kehidupan kami, atau mungkin beliau mahukan kami balik untuk menziarahinya di kampung.

Tetapi kehadiran beliau ke rumah saya pada kali ini amat berbeza dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Beliau tiba dengan sebuah kereta Proton Perdana diiringi oleh adik dan makcik serta seorang pemandu. Saya menjemput mereka semua masuk dan duduk untuk menghilangkan kepenatan perjalanan yang memakan masa lebih dari empat jam itu.

Belum pun isteri saya menghidangkan minuman dan juadah, saya telah merasakan sesuatu yang tidak kena melalui perbualan kami.

Beberapa tahun yang lalu, berlaku perselisihan faham antara saya dan kakak saya yang sememangnya seorang yang dianggap berkuasa dalam keluarga ini (kini bergelar Datin). Saya sering sahaja menjadi mangsa kerana saya tidak sependapat dengan beliau.

Jadi kehadiran ayah ke rumah saya pada kali ini, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ayah mula memberi ceramah beliau mengenai agama dan kita perlu berdampingan dengan ulama-ulama dan ustaz bagi menambah ilmu agama.

Beliau langsung tidak mahu mendengar isi hati saya ini dan mula menuduh saya telah terkeluar dari landasan agama dan kehadiran beliau untuk memperbetulkan kepercayaan agama saya.

Saya rasa amat terkejut dengan tuduhan ini dan tidak dapat menerima pertuduhan ini yang datangnya dari seorang ayah. Saya terus mendesak ayah untuk mendengar rintihan hati saya terhadap perbuatan adik beradik yang lain terhadap saya selama ini.

Apakah kesalahan dan kesilapan saya yang menyebabkan saya dibenci dan dipinggirkan dari keluarga ini.

Dan kali ini, ayah datang ke rumah saya untuk pertama kalinya di sini dengan satu matlamat hanya untuk menuduh saya sudah lari dari landasan agama saya??? Kini, saya telah terputus hubungan dengan ayah dan adik beradik yang lain.

– Pak Teh Ji,

Kangar, Perlis

Pak Teh Ji,

Menyelami isi hati saudara, Puteri harapkan janganlah perasaan itu mengeruhkan hubungan kekeluargaan kelak. Sebagai anak, saudara perlu mengalah. Tidak perlu terasa hati dengan sikap ayah. Biasalah, orang tua kadang-kadang tidak sedar apa yang mereka ucapkan. Niat mereka hanya ingin mendidik dan membetulkan kita. Apa yang perlu saudara lakukan, bertenang dan cuba bina kembali hubungan tersebut. Ramai yang terputus hubungan kerana perkara kecil seperti ini. Usaha saudara untuk mengunjungi ayah di kampung adalah terbaik. Mengalah dan cuba mengambil hatinya semula. Namun, ia mungkin mengambil masa yang lama. Tetapi sebagai anak jangan sesekali melukai hati bapa selagi ada hayatnya. Inilah peluang untuk kita menghargainya sebagai tanda terima kasih.

Petikan Artikel Mingguan Malaysia, Ahad 21 Jun,2009