Monday, June 22, 2009

ARTIKEL DALAM MINGGUAN MALAYSIA 21 JUNE, 2009


kecewa sikap ayah

Bersama Putri

Pada 21 Jun, 2009 (hari ini) kita akan menyambut Hari Bapa. Pada tahun ini saya bercadang untuk balik ke kampung untuk menziarahinya ayah sempena Hari Bapa.

Tetapi pada minggu yang lalu, saya mendapat panggilan telefon daripada ayah, yang beliau akan datang kerumah saya. Saya amat bersyukur kerana ayah tidak pernah datang ke rumah saya selama ini semenjak saya berpindah ke sini. Ini kerana sepanjang hidup saya, ayah hanya pernah berkunjung ke rumah saya hanya dua kali sahaja semasa saya di Melaka.

Mungkin kerana beliau terlalu sibuk dengan anak-anaknya yang lain, atau tidak berupaya untuk perjalanan yang jauh.

Atau mungkin beliau tidak mahu mengganggu kehidupan kami, atau mungkin beliau mahukan kami balik untuk menziarahinya di kampung.

Tetapi kehadiran beliau ke rumah saya pada kali ini amat berbeza dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Beliau tiba dengan sebuah kereta Proton Perdana diiringi oleh adik dan makcik serta seorang pemandu. Saya menjemput mereka semua masuk dan duduk untuk menghilangkan kepenatan perjalanan yang memakan masa lebih dari empat jam itu.

Belum pun isteri saya menghidangkan minuman dan juadah, saya telah merasakan sesuatu yang tidak kena melalui perbualan kami.

Beberapa tahun yang lalu, berlaku perselisihan faham antara saya dan kakak saya yang sememangnya seorang yang dianggap berkuasa dalam keluarga ini (kini bergelar Datin). Saya sering sahaja menjadi mangsa kerana saya tidak sependapat dengan beliau.

Jadi kehadiran ayah ke rumah saya pada kali ini, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ayah mula memberi ceramah beliau mengenai agama dan kita perlu berdampingan dengan ulama-ulama dan ustaz bagi menambah ilmu agama.

Beliau langsung tidak mahu mendengar isi hati saya ini dan mula menuduh saya telah terkeluar dari landasan agama dan kehadiran beliau untuk memperbetulkan kepercayaan agama saya.

Saya rasa amat terkejut dengan tuduhan ini dan tidak dapat menerima pertuduhan ini yang datangnya dari seorang ayah. Saya terus mendesak ayah untuk mendengar rintihan hati saya terhadap perbuatan adik beradik yang lain terhadap saya selama ini.

Apakah kesalahan dan kesilapan saya yang menyebabkan saya dibenci dan dipinggirkan dari keluarga ini.

Dan kali ini, ayah datang ke rumah saya untuk pertama kalinya di sini dengan satu matlamat hanya untuk menuduh saya sudah lari dari landasan agama saya??? Kini, saya telah terputus hubungan dengan ayah dan adik beradik yang lain.

– Pak Teh Ji,

Kangar, Perlis

Pak Teh Ji,

Menyelami isi hati saudara, Puteri harapkan janganlah perasaan itu mengeruhkan hubungan kekeluargaan kelak. Sebagai anak, saudara perlu mengalah. Tidak perlu terasa hati dengan sikap ayah. Biasalah, orang tua kadang-kadang tidak sedar apa yang mereka ucapkan. Niat mereka hanya ingin mendidik dan membetulkan kita. Apa yang perlu saudara lakukan, bertenang dan cuba bina kembali hubungan tersebut. Ramai yang terputus hubungan kerana perkara kecil seperti ini. Usaha saudara untuk mengunjungi ayah di kampung adalah terbaik. Mengalah dan cuba mengambil hatinya semula. Namun, ia mungkin mengambil masa yang lama. Tetapi sebagai anak jangan sesekali melukai hati bapa selagi ada hayatnya. Inilah peluang untuk kita menghargainya sebagai tanda terima kasih.

Petikan Artikel Mingguan Malaysia, Ahad 21 Jun,2009

No comments: