idris@hmetro.com.my
TUNJANG utama Muslim menerima Islam sebagai sistem hidupnya ialah akidah dan ia perlu menepati prinsip digariskan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Penceramah agama, Zulkarnain Hamzah, berkata akidah yang benar dan sah menjadi syarat utama kepada pengakuan seseorang yang menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya.
"Beriman dan yakin bahawa pencipta alam ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain.
"Semua ini dapat dibuktikan melalui keindahan, kerapian dan keselarasan alam ciptaan Allah, yang mana setiap unit alam ciptaan Allah ini memerlukan unit yang lain untuk menjamin kewujudan dan kestabilannya.
"Satu unit daripada kejadian alam ini tidak mungkin wujud dalam keadaan stabil tanpa kewujudan unit lain," katanya dalam Program Pemantapan Iman, di surau The New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program sehari itu disertai lebih 100 warga kerja NSTP termasuk ahli keluarga. Turut hadir, Pengarah Pengeluaran NSTP, Tun Ibrahim Mohd Jafri. Restoran Ali Maju memberi sumbangan 10 hamper untuk program itu.
Zulkarnain yang juga moderator program Astro-Kalam Suci, berkata matlamat dan tujuan Allah menciptakan alam ini sukar difahami secara terperinci kecuali melalui rasul atau wahyu-Nya.
Beliau memetik ayat 115 dan 116 dari surah al-Mukminun yang bermaksud: "Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia."
Jika akidah menjadi syarat utama, ibadat pula adalah kemuncak daripada perasaan tunduk dan patuh kepada Allah.
"Ibadat juga adalah tangga penyambung antara makhluk dan Penciptanya. Selain itu, ibadat mempunyai kesan mendalam di sudut hubungan makhluk dengan Pencipta.
"Logik Islam menuntut supaya seluruh hidup ini adalah ibadat dan taat kepada Allah," katanya.
Perkara itu katanya, selaras dengan maksud firman Allah dalam surah adz-Dzaariyaat, ayat 56 dan 57, maksudnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku sesekali tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan."
Untuk renungan kita bersama.