Sunday, May 18, 2008

22 HB. APRIL, HARI KOR JURUTERA DIRAJA

Tahun ini merupakan tahun yang ke 12 saya telah menamatkan perkhidmatan dalam tentera dan telah meninggalkan rakan-rakan seperjuangan dalam Kor Jurutera. Semenjak dari itu saya hanya menghadiri sambutan hari Kor Jurutera, hanya 2 kali sahaja. Pada tahun-tahun yang lain tu saya tidak dijemput ataupun mungkin saya tidak dapat dihubungi, barangkali. Tetapi pada tahun ini saya telah dijemput untuk menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam dan Perbarisan. Walau bagaimanapun saya hanya dapat menghadiri untuk Majlis Jamuan Makan Malam sahaja pada 19 April,2008 di Taiping.

Sebelumnya, saya telah dimaklumkan, iaitu satu rombongan pegawai-pegawai kanan jurutera akan berada di Alor Setar untuk menziarahi seorang rakan yang telah bersara dan baru menjalani rawatan jantung beliau. Jadi pada keesokannya, saya terus ke Alor Setar dan setibanya saya disana, saya telah bertemu dengan rakan-rakan lama, dua orang pegawai kanan yang berpangkat Kolonel, 4 berpangkat Mej & 2 Kapt, yang telah pun berada dirumah rakan yang baru menerima rawatan ini. Setelah bertanya khabar sambil menjamah minuman ringan yang disediakan, saya mengikuti rombongan ini ke Sg.Petani untuk menziarahi pula bekas Ketua Jurutera Brig Jen (B) Dato’ Jamil Tahir yang baru pulang mengerjakan haji beberapa bulan yang lalu. Setibanya dirumah Dato’ Jamil kami dihidangkan dengan jamuan makan sambil beramah-mesra dengan bekas Ketua Jurutera kami dan sebelah petangnya kami berangkat ke Taiping untuk Jamuan Makan Malam.

Disebalik kisah ini, apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai keperihatinan pegawai-pegawai kanan jurutera ini dan rombongannya, yang telah meluangkan masa untuk menziarahi rakan-rakan lama yang telah bersara dan yang dalam rawatan. Walaupun mereka ini sibuk dengan tugasan harian, mereka masih mengambil berat rakan-rakan seperjuangan dan telah menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi.

Pada pendapat saya aktiviti-aktiviti seperti ini harus diteruskan, kerana ianya memberikan satu impak yang positif kepada rakan-rakan yang telah bersara lebih-lebih lagi kepada yang sedang sakit. Kehadiran pegawai-pegawai kanan ini telah menunjukkan sikap keperihatinan mereka kepada rakan-rakan yang telah bersara disamping menghargai perkhidmatan yang telah disumbangkan dan juga merupakan satu aktiviti kebajikan. Sekiranya aktiviti ini dijadikan aktiviti tahunan bagi sambutan hari Kor Jurutera saya percaya ianya akan memeriahkan lagi suasana sambutan dan dapat mengeratkan lagi silaturahim rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan dan yang telah bersara.

Syabas saya ucapkan kepada Kol Abdullah & Kol Nasir serta rombongan.
(Terima kasih juga kepada Mej Shafiee & Mej Zainal kerana jemputan)

No comments: