Thursday, June 26, 2008

MUSIM DURIAN DI BUKIT GANTANG - DOLU2!!

Semasa zaman persekolah dahulu sekitar tahun 70an, musim durian adalah yang paling menggembirakan buat kami sekeluarga. Kampung kami memang terkenal dengan hasil buah durian ni. Bila tiba musim durian kampung kami bertukar menjadi seperti pasar minggu. Setiap pagi orang-orang kampung akan membawa hasil dusun masing-masing untuk dijual kepada pembeli-pembeli yang telah menunggu dengan basikal, motosikal, van dan lori. Pada masa yang sama juga penjual-penjual lain seperti penjual pakaian, barang-barang permainan, makanan dan lain-lain mengambil peluang untuk berniaga disini. Keadaan kampung kami akan menjadi meriah dan ramai saudara-mara dan sahabat handai jauh dan dekat berkunjung untuk menikmati hasil durian ini. Kalau dirumah hidangan pula semuanya ada perasa durian, samada pulut durian, lempuk, tempoyak, kuah durian, ikan keli masak tempoyak, sambal tempoyak dan berbagai-bagai lagi, bak kata semuanya ada durian. Orang-orang kampung tua, muda semuanya gembira, tak ada yang susah hati.

Tetapi yang paling menggembirakan kami ialah duit belanja sekolah tak perlu minta dari emak atau ayah, bak kata kalau musim durian ni nak beli atau makan apa pun kira mewah. Tetapi dulu tak adalah KFC, Mc Donald, ataupun Pizza, jadi masa tu kalau ke bandar Taiping, kami pekena roti canai di Restoran Bismillah, ataupun tengok wayang kat panggung REX. Bila tiba hari sabtu dan ahad adalah hari yang paling ditunggu-tunggu, kerana saya akan bangun seawal 6 pagi, selepas sembahyang subuh terus bergegas ke dusun untuk mencari dan mengutip buah durian. Kadang-kadang kami bermalam didusun durian ini kerana adakalanya pencuri pun ambil kesempatan untuk mencuri.

Tetapi kini keadaan sudah berbeza, durian boleh didapati pada bila-bila masa tanpa menunggu musim. PLUS Expressway Bhd telah menyediakan tempat di hentian R & R arah utara dan selatan di Bukit Gantang untuk membeli berbagai-bagai jenis buah-buahan. Majoriti pengunjung singgah di hentian ini kerana ingin membeli buah-buahan tropika, kerana mereka tidak boleh menemuinya di tempat lain malah mereka tidak perlu memasuki kampung untuk mencarinya. Selain durian kahwin, pengunjung boleh merasai nikmat durian kampung seperti raja kunyit, durian katak, tupai mas, kucing tidur, capri, sarang semut, durian susu dan durian belimbing. .Begitulah ceritanya mengenai durian Bukit Gantang. Kini semuanya hanya tinggal memori indah, kerana keadaan sudah berubah...emak & ayah pun sudah tiada, adik beradik pun membawa hala tuju masing-masing. Kemesraan berkumpul menikmati durian tidak lagi semeriah dulu...!!

No comments: