Monday, June 23, 2008

PENGORBANAN & SETIAKAWAN

Kisah ini berlaku pada tahun 1983, iaitu saya bersama rakan-rakan menjalani kursus Pegawai Jurutera di Kluang, Johor. Kami akan menduduki ujian akhir teori dan selepas itu menjalani latihan praktikal sebelum kami menamatkan kursus ini. Pada malamnya, kami semua sedang bertelaah untuk menghadapi ujian peperiksaan bertulis pada keesokannya. Jadi masing-masing kusyuk mengulangkaji, bila tiba tengah malam masing-masing kelaparan dan nak makan biskut dah habis, mee maggi pun dah tak ada stok lagi. Nak keluar beli makanan masing-masing tak mau, kerana nak study. Jadi kami pun berbincanglah siapa yang patut beli makanan tetapi masing-masing menolak kerana banyak lagi nak diulangkaji, almaklumlah semuanya nak buat saat-saat akhir. Dalam bincang-bincang tu, seorang sahabat ini sanggup berkorban demi kawan-kawan yang kelaparan termasuk beliau sendiri yang jugak kelaparan. Jadi masing-masing pun tulislah apa yang nak dibeli, kira-kira ada lebih daripada 10 bungkus termasuk mee rebus, beehoon sup, nasi goreng, minuman dan lain-lain lagilah.

Jadi kami semua menunggu dengan penuh harapan dan kelaparan. Jam 1 pagi tak sampai lagi, jam 2 pagi pun tak sampai jugak, jadi masing-masing dah tak boleh nak study. Kemudian, saya menerima panggilan telefon dari sahabat saya ini untuk datang mengambil makanan yang dipesan tadi di hospital. Jadi saya agak terkejut dan saya pun terus ke hospital dan diberitahu sahabat saya ni kemalangan semasa perjalanan balik. Kaki sahabat saya ni patah dan terpaksa bermalam di hospital mulai malam tersebut. Beliau telah menyerahkan semua makanan yang dipesan tadi kepada saya untuk disampaikan kepada rakan-rakan semua, kami terharu dan sedih di atas apa yang berlaku. Kerana pengorbanan dan semangat setiakawan, menyebabkan beliau terlantar di hospital.

Sahabat saya ini terpaksa menjalani ujian akhir di hospital dengan kakinya berbalut. Beliau juga telah lulus kursus ini walaupun terpaksa menerima sijil kursus dengan bertongkat. Pengorbanan dan setiakawan yang telah beliau tunjukkan ini menjadi kenangan kami di EOBC83 dan menjadi kenangan dalam diari kehidupan saya sehingga kini. Inilah gambar sahabat saya tu.....!!

No comments: