Friday, July 18, 2008

SETAHUN DI OSHAKATI

Setahun aku meninggalkan tanah air Malaysia, kerana melaksanakan tugas sebagai pasukan pengaman di bawah PBB untuk misi UNTAG di Namibia, yang berpengkalan di Oshakati. Bermakna juga setahun aku meninggalkan keluarga, lebih-lebih lagi berpisah dengan satu-satunya anak aku yang berumur 2 tahun pada ketika itu yang tidak pernah terpisah dengan aku. Suara tangisannya masih aku dengar semasa menghantar aku di Lapangan Terbang Subang pada 20hb. April, 1989. Begitulah juga rasa rindu teramat sangat berpisah dengan mereka. Pada ketika itu hanya surat sebagai penyambung berita, kadang-kadang aku ke Pos Kantoor (Pejabat Pos) untuk membuat panggilan telefon, tetapi adakalanya gagal kerana masalah teknikal. Kadang-kadang rasa pilu apabila melihat rakan-rakan menerima surat serta gambar-gambar keluarga yang dikirim, tetapi aku tidak menerima apa-apa berita. Walau bagaimanapun aku tetap bersyukur kerana Allah SWT memberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas yang memang mencabar di Namibia dan berjauhan dengan keluarga.

Cuaca panas dan bulan puasa pula semasa menjalankan tugas memusnahkan periok api dan UXB, kadangkala mencabar ketabahan dan kesabaran aku. Walau bagaimanapun demi tugas aku terpaksa juga mengharungi cabaran itu. Alhamdulillah, lama kelamaan aku dapat membiasakan diri. Tugas-tugas yang diamanahkan dapat juga aku laksanakan bersama-sama dengan anggota-anggota aku yang memang terlatih bagi menjalankan tugas-tugas ini. Selepas musim panas dan hujan, tiba pula musim sejuk dan adakalanya sampai ketulang hitam. Bila tiba malam minggu kami akan sembelih kambing untuk brai (BBQ). Kambing di Namibia kami tukar je dengan nenas dalam tin, jem dan biskut. Orang tempatan memang suka bila dapat nenas dalam tin ini, sampai menjilat jari.

Masalah utama ialah komunikasi, terpaksa la guna bahasa isyarat, kadang-kadang aku bawa jurubahasa, baru boleh bercakap dengan diaorang. Orang-orang tempatan memang suka dengan tentera Malaysia, sebab kata mereka kita ni baik-baik dan tak sombong (ta tak sombong). Tetapi lama kelamaan aku dapat juga memahami dan bertutur bahasa mereka sikit-sikit. Kalau Selamat Pagi kaum Ovambo kata ‘Wararapo’, kaum Harero pula kata, ‘moro wapenduka’ dan bahasa Afrikaan pula ‘guir more’. Kalau apa khabar, kaum Ovambo kata, ‘ongipi nawa’, kaum Harero kata ‘biri nawa’ dan Afrikaan kata ‘ogandit’. Tetapi bahasa Afrikaan ni ada juga persamaan dengan bahasa kita, contohnya pisang, diorang pun kata pisang, laci pun diorang kata laci dan ada beberapa perkataan lagi yang sama. Sebabnya, pengaruh bahasa dari Malay Cape. Aku pernah bertemu seorang yang berketurunan Malay Cape masa di Whindhoek, dia menceritakan yang datuk beliau berasal dari Johor. Ha...jumpa orang kampung la pulak..!!

Selepas penat menjalankan tugas kami bercuti pusing Namibia. Biasanya aku dengan kumpulan aku yang sehati sejiwa. Kami melawat ke Luderitz, Swakopmund,Walvis Bay, Namib Desert, Meteorite, Hardap Dam, First River Canyon dll. Skot aku Jamal Tohar (Mej(B)KP), pasal makan & pengangkutan dia la yang incharge. Azeri (Kapt(B) Ord), tukang siapkan peralatan khemah & kelengkapan sekali sekala kena buat minuman hot cokelat. Azman (Mej paymaster dlm service lagi kut), dia siapkan RM tukar ke Rand & welfare officer, tak cukup duit Azman la yang jadi banker. Zainol (sekarang Lt Kol kor Ord masih dlm service),jadi driver la tukar-tukar dgn aku. Tapi Zainol dia akan bawa buah dadu dan gantung dlm Land Cruiser UNTAG 1092, kalau tidak dia tak boleh drive..!! Kadang-kadang Ustaz Kapt Nikmat (Mej(B)) pun join kami juga. Seronoknya Ustaz Nikmat ni, dia kelakar...tapi bila kuliah atau Kutbah Jumaat semua lah kena hentam kalau ada yang tak kena...!!

Selepas setahun berada di Namibia, tanggal 3hb.April, 1990 kami selamat tiba di Lapangan terbang Subang disambut oleh kaum keluarga dan sahabat handai serta pegawai-pegawai tinggi ATM. Anak aku Mohd Afiq, mulanya tak dapat mengenali aku kerana setahun berpisah....!! Agak lama juga barulah dia okay...!! Walau bagaimanapun, Alhamdulillah kami dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan jayanya serta mendapat pengikhtirafan dari PBB.



Coretan Kembara Namibia 1989-1990

No comments: