Friday, July 18, 2008

TSUNAMI POLITIK - GELOMBANG BELUM BERAKHIR..!!

Tsunami politik selepas PRU ke 12, masih belum berakhir. Walaupun hampir 5 bulan sudah berlalu, tetapi kesannya amat dirasai oleh rakyat kini. Gelombang kesan bahana kenaikan minyak amat dirasai oleh semua lapisan masyarakat samada yang bekerja dengan kerajaan, swasta, berniaga apatah lagi yang bekerja sendiri. Kesan yang ditanggung ini telah memberikan impak kepada emosi setiap individu. Kehidupan tidak lagi selesa sepertimana sebelumnya, dirumah, dipejabat, perjalanan menggunakan kenderaan ataupun pengangkutan awam, semuanya memberikan tekanan dalam kehidupan seharian. Semuanya resah dengan kenaikan harga barang keperluan harian yang mendadak akibat kenaikan harga minyak.

Kemudian diikuti dengan situasi politik negara kini yang mencetuskan suasana yang tegang dikalangan rakyat. Kini rakyat keliru dan perpaduan dikalangan orang-orang Melayu terutamanya telah retak kerana telah disajikan dengan isu-isu keaiban sesama pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Tuduh menuduh dengan isu-isu yang kita sendiri pun tidak tahu kesahihannya. Maka emosi dikalangan penyokong-penyokong akan terserlah dengan kemarahan dan kekacauan. Maka ramailah yang keluar dijalan-jalan berteriak dengan slogan-slogan yang mengutuk dan mengaibkan sesama kita.

Apabila pihak berkuasa membuat sekatan dijalan-jalan, menyebabkan kesesakan lalulintas, maka ramai yang terkandas untuk urusan kerja harian. Emosi tidak terkawal dan kerja tidak lagi produktif. Masing-masing akan meluahkan perasaan tidak puashati dan timbul pula gelombang penyebaran fitnah melalui laman blog dan email yang tidak dapat dibendung. Rakyat disajikan dengan berbagai-bagai cerita yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Rakyat tidak lagi produktif dan mula melemparkan kritikan akibat tindakan pihak berkuasa. Di Parlimen, wakil-wakil rakyat pula bertegang urat bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi untuk melepaskan perasaan geram masing-masing.

Akibatnya, keamanan negara tergugat. Kemakmuran dan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk tidak boleh dibanggakan lagi. Dunia kini memerhatikan kita dengan isu-isu yang boleh menjejaskan kredibiliti sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Negara-negara yang mencemburui kita akan bertepuk tangan dan mungkin ada yang akan mengekploitasi suasana politik dan ekonomi yang tidak menentu ini. Sekiranya kita memenangi 10 pingat emas sukan olimpik ogos ini sekalipun, rasanya tidak boleh memulihkan imej yang telah tercalar dimata dunia, tidak ada yang boleh dibanggakan lagi. Tidak perlu kita memberikan imbuhan RM1 juta kepada pemenang-pemenang pingat emas seperti yang dicadangkan oleh KBS.

Ada baiknya kita memberikan imbuhan ini kepada pemikir-pemikir yang boleh mencetuskan idea dalam kemelut masalah kenaikan harga minyak ini. Kita mempunyai IPTA dan IPTS yang mempunyai prasarana yang boleh mengilhamkan idea dalam mengkaji dan mencipta sumber alternatif tenaga yang baru. Sebagai contoh, biofuel,biodiesel & hydrofuel yang boleh mengurangkan penggunaan minyak kenderaan, tenaga solar bagi menggantikan penggunaan tenaga elektrik, tenaga air dan angin yang mungkin boleh membantu dalam penghasilan tenaga alternatif dan berbagai-bagai idea yang boleh diketengahkan yang lebih ekonomi dan bersifat mesra alam. Dengan imbuhan RM 1 juta ini, kita boleh mengubah minda rakyat daripada ‘pengkritik’ kepada ‘pemikir’. Maka, tidak secara langsung kita dapat melahirkan rakyat yang kreatif, inovatif dan produktif.

Janganlah dibiarkan gelombang tsunami yang sedang bergelora dikalangan rakyat menjadi tsunami yang boleh memusnahkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Janganlah kita lupa pengorbanan wira-wira dan pemimpin-pemimpin kita yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara yang kita kecapi selama ini. Kemenangan wakil-wakil rakyat yang dipilih bukan bermakna ‘kesenangan’ dan ‘kekayaan’ sudah ditangan tetapi merupakan amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin. Kini rakyat sudah semakin matang dan bijak memilih serta menentukan pemimpin. Suara rakyat jangan dipermudahkan lagi sepertimana pilihanraya sebelum ini…!!

Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat, bumi di pijak milik orang,
Nenek moyang kaya raya, tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesama kita, cinta lenyap diarus zaman,

Indahnya bumi kita, warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain, kitakan merintih sendiri,
Jangan buang waktu lagi, majulah raih semua mimpi,
Hapuskan sengketa teruskan usaha, kita gagah dinusantara…!!



Untuk renungan kita bersama..!!

1 comment:

Anonymous said...

anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat, bumi di pijak milik orang,
Nenek moyang kaya raya, tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesama kita, cinta lenyap diarus zaman,

Indahnya bumi kita, warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain, kitakan merintih sendiri,
Jangan buang waktu lagi, majulah raih semua mimpi,
Hapuskan sengketa teruskan usaha, kita gagah dinusantara…!!

dah lama saya tak nyayi lagu ni..masuk tahun ni 51 tahun kita merdeka...Melayu sekarang boleh diibaratkan seperti berada pada angka 3 pada jam dan mungkin akan berganjak ke angka 4,5,6 dan terus terjunam. Ini tak mustahil. Untuk kembali ke angka 12 mungkin memakan masa bertahun tapi tak mustahil kita boleh berubah dari angka 3 ke angka 1 atau kembali semula keangka 12. Jadi kemana haluan kita semua..tak akan tercapai selagi kita tidak memilih islam sebagai landasan kita.