Sunday, July 20, 2008

SALAM - DISEBALIK BERJABAT TANGAN

BERJABAT tangan, bersalam; satu amalan yang begitu ‘dekat’ dalam kehidupan masyarakat kita sejak dulu lagi. Ia sudah menjadi budaya dan kelaziman, serta pengukur tinggi budi seseorang. Amalan bersalam tidak terbatas untuk masa tertentu saja, malah ia bagaikan satu kemestian dalam jalinan sesebuah hubungan interpersonal. Ia bukan saja diamalkan di kalangan orang kita saja, malah di peringkat global juga walaupun sesetengah negara mempunyai tradisi berlainan dalam menunjukkan ‘salam’ mereka.

Kita sudah terbiasa, bila berjumpa dan diperkenal dengan sesiapa, akan didahului dengan jabat tangan dan apabila hendak berpisah, salam turut dihulur sebagai tanda minta diri. Dalam adat perkahwinan Melayu, sewaktu upacara lafaz akad nikah juga dilakukan secara bersalam antara jurunikah dan pengantin dan juga dalam dunia korporat, amalan ini sering dilihat di waktu perjumpaan, mesyuarat dan tidak ketinggalan di sesuatu majlis menandatangani perjanjian atau kerjasama perniagaan. Jika dilihat dalam kehidupan seharian, khususnya dalam konteks kekeluargaan, bersalam dianggap sebagai tanda hormat kepada seseorang, daripada yang muda kepada yang tua, juga sebaliknya.

Malah, nilai murni ini diterapkan sejak kecil, dan pada peringkat itu lagi kita sudah dididik supaya bersalam dengan orang tua, selain membongkok sedikit bila berjalan di hadapan mereka. Tingginya nilai kedua-dua amalan ini dalam budaya kita hingga seseorang itu dikatakan kurang adab jika tidak melakukannya. Melihat dari gaya hidup masa kini pula, amalan bersalam bukan lagi sekadar perlakuan menghulur dan menyambut tangan semata-mata, tetapi pelbagai jenis salam yang dilakukan segelintir masyarakat pada hari ini.

Diperhatikan, segelintir remaja dan golongan tertentu yang mempunyai gaya bersalam yang tersendiri. Ada yang berjabat tangan, kemudian bercalit ibu jari, ada yang bersalam kemudian berlaga pipi dan tak kurang juga yang sekadar bertampar tangan saja. Yang tak biasa bersalam pun ada! Apapun gaya bersalam yang diamalkan, pokok-pangkalnya kembali kepada diri sendiri. Masing-masing mempunyai hak dalam menentukan tingkah laku masing-masing.

Namun, pada zahirnya, setiap tindak-tanduk dan perlakuan adalah refleksi kepada peribadi kita, seperti yang dikatakan Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof Madya Dr Noriah Mohamed. Ikuti paparan nobel mengenai nilai bersalam dan apakah maksud tersirat yang terselindung di sebalik amalan ini.

Salam tanda hormat, kasih “AMALAN" bersalam sememangnya dianjurkan namun ia masih tertakluk kepada batasan tertentu.“Biarpun ia suatu amalan yang dapat merapatkan hubungan persaudaraan dan persahabatan, ia perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan sesuai dengan adat dan kepercayaan kita,” kata Prof Madya Dr Noriah Mohamed.

Melihatkan cara segelintir orang kita bersalaman hari ini, katanya, dapat dikatakan bahawa kebanyakannya tidak benar-benar mengikut matlamat sebenar amalan bersalam. Ada yang tidak bersungguh-sungguh, bersalam secara sambil lewa, jelasnya. Beliau berkata, bersalam nampak seperti mudah, tetapi pada setiap gerak laku itu sebenarnya memberi makna.

Dr Noriah turut memberi contoh bersalam yang wajar diamalkan. “Pada saya, cara yang elok untuk bersalam adalah dengan menghulurkan kedua-dua tangan, digenggam sedikit, kemudian tangan dilekatkan ke dada masing-masing. “Menghulur kedua-dua belah tangan menunjukkan kita ikhlas memberi salam dan menyambutnya dengan dua belah tangan pula menunjukkan kita benar-benar menghargai salam yang dihulurkan. “Sesudah itu, apabila kita meletakkan tangan ke dada, menggambarkan bahawa kita menyematkan kasih sayang yang dihulur melalui salam itu ke hati, ”katanya.

Mengenai pelbagai cara bersalam ‘kontemporari’ yang diamalkan sekarang ini, Dr Noriah mengulas, kebanyakan cara bersalam yang ditampilkan itu ditiru daripada Barat yang kadangkala tidak bersesuaian dengan norma masyarakat kita yang kuat berpegang kepada adat dan agama. “Mengapa perlu mengikut cara orang lain sedangkan budaya warisan kita sudah cukup cantik untuk diamal dan ditunjukkan? “Kadang-kadang ia bukan saja tak manis dipandang, malah tidak membawa apa-apa makna, lari dari prinsip mengapa amalan ini digalakkan. “Ada juga yang tidak menyedari cara bersalam yang mereka ‘pinjam’ dan praktikkan itu mungkin berasal daripada gaya sesetengah kumpulan tertentu seperti gangster atau kongsi gelap yang menggunakan cara berkenaan sebagai identiti mereka,” katanya.

Seelok-eloknya, kata Dr Noriah, sambil bersalam, mata memandang ke arah orang yang disalam. “Ia menunjukkan yang kita hormat pada orang itu. Tidaklah seperti segelintir yang bersalam tapi tak pandang muka, malah ada juga yang menyentuh hujung jari saja. Itu tidak bagus dan bagi yang tidak selesa bersalam kerana perbezaan jantina, cukup sekadar senyum dan tunduk sedikit,” katanya.Dr Noriah turut berpesan kepada generasi muda supaya memelihara budaya bersalam kerana ia melambangkan jati diri bangsa. “Nilai seperti inilah yang melambangkan warisan dan budi pekerti sesuatu bangsa,” jelas beliau.


INFO SALAM (BERJABAT TANGAN)

Menurut sejarah, amalan bersalam dalam Islam adalah tradisi kaum Yaman pada zaman pra-Islam yang kemudiannya tersebar mengikut perluasan empayar Islam. Tujuan perlakuan salam pada zaman dulu adalah untuk membuktikan bahawa seseorang itu datang secara aman, tidak bersenjata. Melalui salam, kita boleh mendapat gambaran mengenai hubungan yang bakal dilalui dengan orang yang disalam.Ia juga dapat menunjukkan ciri-ciri atau perangai seseorang itu.
  • Ada yang mengatakan orang yang mempunyai tapak tangan besar yang menilai melalui pandangan mata, seorang yang terurus dan bekerja mengikut kaedah.
  • Orang yang bertapak tangan kecil pula mempunyai perancangan yang besar, bervisi dan imaginatif serta tidak gemar kerja bersistem.
  • Jari yang panjang pula menunjukkan orang itu mengambil masa yang lama untuk membuat sesuatu keputusan dan kurang aktif.
  • Yang berjari pendek pula dikatakan agak panas baran, periang, materialistik dan suka mengawal.
  • Tangan yang berpeluh menunjukkan orang itu jenis yang tidak bermuka-muka.
  • Genggaman yang kuat menunjukkan orang itu suka mengongkong.
  • Jika yang menggenggam hanyalah jari, menunjukkan orang itu kurang yakin dengan hubungan yang terjalin.

JENIS JABAT TANGAN

Biasanya tapak tangan akan berpeluh bila anda gugup, jadi pastikan ia kering sebelum bersalam.

  • Jabat tangan lembut - menunjukkan kelemahan, kurang keyakinan, dan kurang minat.
  • Jabat tangan sekadar sentuh - cara begini patut dihindari kerana ia akan membuat orang tidak suka kepada anda. Namun ia boleh terjadi bila anda dalam keadaan tergesa-gesa, oleh itu segeralah meminta maaf.
  • Jabat tangan peras - kadangkala yang bersalam itu ingin membuktikan bahawa dia yang paling kuat. Ada yang suka bersalam cara begini tetapi apa-apapun pastikan orang yang anda salam itu boleh menerima cara anda.

Petikan Balqis: Salam - Disebalik jabat tangan.

2 comments:

Anonymous said...

fauzi,difahamkan salam kalau niat dan ikut sunnah maka dapat pahala.kalau ikut adat maka pahala pun tak dapat.boleh kut demo bagi tip tentang perkara nak dapat pahala semasa bersalam ni.itu gambar bersalam boleh tercabut tangan tu.anyway fauzi seronok baca you punya posting.razalicd

Anonymous said...

Zali, trima kasih. Nak dpt tip pahala ni senang je...baca bismillah pas tu buat la ape-ape dgn jujur & ikhlas..tapi jgn la buat maksiat plak..he..he..!! fauzi